“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami (sasaran) fitnah bagi orang-orang kafir. Da ampunilah kami wahai Tuhan kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. [ Q:S. Al-Mumtahanah : 5 ]
1. Gejala penularan melalui media sosial tanpa sumber sahih semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat awam tanpa mengira latar belakang sosial. Hal ini terus meningkat dari masa ke semasa terutama pasca ambang PRU-14 dan berterusan hingga saat ini.
2. PAS dilihat telah menjadi sasaran segenap penjuru lawan untuk dijadikan mangsa pelbagai fitnah yang akhirnya menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap PAS bahkan tidak terkecuali dalam kalangan penyokong PAS sendiri juga terkesan kerana fitnah yang dilempar bertubi-tubi dan tidak pernah henti.
3. Justeru, Muslimat PAS atas dasar tanggungjawab terhadap parti menegaskan tindakan seumpama itu adalah satu budaya tidak bermoral dan merosakkan minda rakyat terutama bagi generasi muda yang menjadi pengguna utama di media sosial.
4. Kami merayu dan memohon agar seluruh pihak menghentikan politik fitnah dan persepsi yang hanya akan menimbulkan sangka buruk dan pelbagai aura negatif terhadap PAS serta para pimpinannya.
5. Sesungguhnya fitnah ini sangat buruk dan bahaya sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud;
“……..fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan……..”
[ Q:S. Al-Baqarah : 191 ],
“……..berbuat fitnah lebih besar dosanya daripada membunuh……..”
[ Q:S. Al-Baqarah : 217 ]
6. Dalam sebuah hadits riwayat Ar-Rafii ada menyebutkan bahawa,
“Fitnah itu sedang tidur dan laknat Allah terhadap mereka yang membangunkannya”.
7. Peringatan juga kepada semua jentera PAS, agar sentiasa menahan diri daripada menyebarkan fitnah dan berita yang belum tentu kebenarannya. Sebagai ahli gerakan Islam, kita seharusnya berakhlak dengan akhlak yang mulia dan menjadi contoh buat sahabat yang lain.
8. Di kesempatan ini, kami Muslimat PAS juga mengajak semua pihak terutama penyokong dan pendokong PAS baik pimpinan mahupun ahli agar memeriksa dahulu kebenaran sesuatu berita yang diperoleh sebelum disebar secara meluas sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud;
“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”
[ Q:S. Al-Hujuraat : 6 ]
Nuridah Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
25 Mei 2018 bersamaan 9 Ramadan 1439