*??Tadabbur Ramadhan ??*
_Siri 04 /1439H_
*Surah Ali Imran: Ayat 130-131: Pengamal Riba dan Akibatnya*
? *Firman Allah serta terjemahannya:*
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُضَاعَفَةً ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (١٣٠)
_Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya._
وَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ (١٣١)
_Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir._
? *Tafsir ringkas:*
1. Melalui ayat di atas, Allah melarang hamba-hambaNya yang beriman mengambil riba dengan berlipat kali ganda sebagaimana yang mereka lakukan pada zaman jahiliyah.
2. Antara bentuk amalan riba jahiliyah ialah apabila hutang sudah sampai tempohnya, maka pengutang diberi dua pilihan sama ada membayar hutang itu atau dikenakan bunga. Jika dibayarkan, maka selesai urusannya. Jika tidak dibayar, maka dikenakan bunga yang kemudian ditambahkan kepada pinjaman pokok. Maka pinjaman yang sedikit akan bertambah besar berlipat kali ganda kerana pinjaman pokok ditambah bunga, lalu dikenakan bunga lagi.
3. Allah juga memerintahkan hamba-hambaNya untuk bertakwa agar mereka memperolehi keuntungan di dunia dan akhirat.
4. Allah mengancam dan memberi peringatan kepada orang-orang beriman agar menjaga diri dari api neraka yang disediakan bagi orang-orang yang kafir dengan menjauhi perkara yang mendekatkan mereka kepada riba.
? *Pengajaran*
1. Menurut Prof. Hamka ayat ini menunjukkan Islam itu agama yang kompleks dan sempurna. Maksud ajaran Islam bukanlah semata-mata memperbaiki hubungan dengan Allah, bahkan juga mengukuhkan hubungan sesama manusia. Jika perbuatan jahiliyah seperti riba masih dilaksanakan, maka sia-sia sahaja kita menegakkan agama; sekalipun sudah mengucapkan _syahadatain_, namun masih mengamalkan sikap orang kafir jahiliyah yang mengambil riba.
2. Jauhilah daripada membuka pintu riba dalam kehidupan kita kerana ia merupakan perbuatan dosa besar yang mendapat ancaman daripada Allah Taala agar memerangi golongan yang menghalalkan perbuatan riba samada mereka yang memberi dan menerima riba. Antara pintu riba yang berleluasa adalah institusi perbankan. Seboleh-bolehnya, jauhi daripada berurusan dengan mana-mana bank atau institusi kewangan yang melibatkan sistem riba.
3. Ketahuilah bahawa orang yang memakan harta riba akan menghilangkan keberkatan di dalam hartanya dengan sentiasa merasa tidak cukup dan membawa kepada kefaqiran dunia dan akhirat.
4. Dalam menjalani sistem kehidupan yang sudah dipengaruhi dengan unsur riba, sewajarnya kita selaku umat Islam yang menyedari akan dosa riba mestilah berhati-hati dalam melakukan urusan mualamat jual beli / urusan kewangan terutamanya dengan memilih sistem yang mengeluarkan kita dari unsur-unsur riba seperti perbankan Islam.
5. Usahakan untuk menambah pengetahuan dengan belajar tentang unsur-unsur riba yang berselindung di sebalik terma-terma lain seperti
faedah atau interest, dividen, penalti, hadiah dan sebagainya supaya dapat membezakan antara keuntungan yang halal dengan riba yang haram.
*? Rujukan:*
Tafsir Ibnu Kathir
Tafsir Munir Wahbah Zuhaily
Tafsir Al-Azhar
*Disusun oleh:*
*Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.*
_4 Ramadhan 1439_ / _20 Mei 2018_