Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

Perutusan Ramadhan Al-Mubarak 1439H Ketua Dewan Ulamak PAs Pusat

1089
SHARE


PERUTUSAN RAMADHAN AL-MUBARAK 1439H KETUA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

Firman Allah SWT:

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ}

“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa.” [al-Baqarah: 183]

Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam kerana mengandungi pelbagai anugerah Allah SWT. Kehadiran Ramadhan adalah untuk membersihkan jiwa dan diri manusia daripada sebarang perkara yang mendatangkan dosa. Sesungguhnya puasa tidak hanya meninggalkan makan dan minum tetapi puasa merupakan ‘junnah’ iaitu perisai. Perisai yang mencegah umat Islam daripada perkara yang keji.

Sabda Rasulullah SAW:

«مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ»

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan keji, maka tiadalah bagi Allah keperluan untuk seseorang itu meninggalkan makan dan minumnya.” [Riwayat al-Bukhari]

Semasa Ramadhan, Baginda Rasulullah SAW tidak hanya berpuasa, namun Baginda SAW juga turut terlibat dalam medan peperangan Badar al-Kubra yang tercetus pada tahun ke-2 Hijrah. Menunjukkan kepada kita bahawa bulan yang mulia ini bukan menjadi alasan untuk beristirehat daripada gerak kerja Islam.

Malah, peperangan Badar al-Kubra yang ditaqdirkan oleh Allah SWT berlakunya pada bulan Ramadhan, memperlihatkan generasi awal di medan peperangan pertama ini telah diberi nusrah kemenangan di saat bilangan tentera yang sedikit dan kelengkapan peralatan yang serba kekurangan.

Firman Allah SWT:

{وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ}

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).” [Ali Imran: 123]

Sehubungan itu, gerak kerja Islam tetap diteruskan walaupun telah berlalunya PRU-14. Kita terus menyeru masyarakat agar berusaha memahami tuntutan al-Quran dan mempraktikkannya dalam seluruh kehidupan.

Marilah kita sama-sama membina ketaqwaan dalam diri kita dengan sebenar-benar ketaqwaan sebagaimana nukilan Imam al-Ghazali dalam kitab Minhaj al-‘Abidin:

1. Menjaga diri daripada terjebak dengan amalan syirik dan kufur.
2. Menjaga diri daripada melakukan kemungkaran dan dosa besar.
3. Menjaga diri daripada berterusan melakukan dosa-dosa kecil.

Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan selamat beribadah di bulan Ramadhan al-Mubarak dengan penuh keimanan dan mengharapkan keampunan daripada Allah SWT. Semoga bulan mulia ini, menjadi medan tarbiyah yang melahirkan ummah yang bertaqwa dan seterusnya mendapat nusrah daripada Allah SWT dalam perjuangan menegakkan tuntutan Islam.

“Sejahtera Bersama Islam”

“Membina Negara Sejahtera”

USTAZ DATO’ DR. HAJI MAHFODZ MOHAMED
Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat

1 Ramadhan 1439H