Oleh: Muhammad Hadi
KANGAR : Kewujudan rangkaian PASTI di seluruh negara menjadi bukti PAS memandang serius soal pendidikan, demikian menurut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hj. Hashim Jasin.
Katanya, sedari dulu lagi, PAS melihat aspek pendidikan (tarbiyyah) sebagai suatu aspek yang sangat penting kerana ianya berkait rapat dengan soal pembinaan insan serta generasi yang akan mewarisi negara pada masa yang akan datang.
Beliau mengumpamakan pendidikan sebagai proses memilih benih yang terbaik, untuk ditanam bagi menghasilkan sebuah pokok subur dan mampu memberikan hasil yang diinginkan.
“Bercakap mengenai PASTI, kita melihat secara bersungguh persoalan yang berkait dengan tarbiyyah (pendidikan).
“Ini kerana, pendidikan bagi kita adalah (ibarat) proses pilihan benih yang kita nak suburkan pokoknya, untuk mendapatkan hasilnya nanti,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru PASTI Kawasan Arau, di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) pada 13 Mei yang lalu.
Menyedari hakikat ini katanya, PAS telah mengorak langkah menubuhkan PASTI agar proses pendidikan ini dapat dimulakan seawal usia kanak-kanak.
Ini kerana, pada peringkat ini (kanak-kanak), mereka lebih mudah dibentuk dan dididik dengan ajaran Islam, agar mereka menjadi insan yang beriman kepada Allah S.W.T.
“Apabila kita membentuk anak-anak kita ini daripada kecil, dengan acuan pendidikan yang bertepatan, bersesuaian, maka ia (ilmu yang diberi) akan kekal (tahan lebih lama).
“Saya suka tegaskan juga bahawa pendidikan daripada kecil diibarat seperti mengukir di atas batu, ukiran yang dibuat di atas batu dia akan tahan lama, dia akan terus berkekalan beribu-ribu tahun,” jelasnya.