Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Ustazah Mastura Inspirasi Wanita Muda

5121
SHARE

KEPALA BATAS: Pelbagai isu yang melanda wanita khususnya wanita muda dewasa ini harus dipandang serius oleh pelbagai pihak.

Isu keganasan rumahtangga, anak tidak sah taraf, hedonisme dan banyak lagi menimbulkan kerisauan akan sejauhmana nasib para wanita dibela seadilnya.

Oleh itu, pemilihan Ustazah Siti Mastura Muhammad sebagai calon kerusi P.041 Kepala Batas jelas menampakkan kesungguhan PAS membawa suara wanita muda ke Dewan Rakyat sekaligus menawarkan Islam sebagai penyelesaian yang menjadi antara konten utama perjuangan parti itu.

Ustazah Siti Mastura merupakan anak jati Kepala Batas dan pemegang Ijazah Sarjana Muda dari institusi pengajian tinggi agama terkemuka; iaitu Universiti Al-Azhar, Mesir.

Usia muda tidak menghalang beliau untuk mencurahkan bakti di tanah air sendiri. Beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang serta ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.

Selain itu, bakat kepimpinan beliau yang telah digilap sejak awal lagi melayakkan Ustazah Siti Mastura menyandang portfolio Timbalan Ketua Muslimat Negeri Pulau Pinang.

Lebih membanggakan, di sebalik kesibukan kerjaya dan kerencaman politik tanah air, Ustazah Siti Mastura juga seorang calon Doktor Falsafah di Universiti Sains Malaysia sekaligus membuktikan penglibatan dalam politik tidak menghalang kemajuan akademik dan pendidikan.

Insyaallah, calon paling muda yang profesional ini bakal menawan parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum ke 14 nanti.