KONVOI JELAJAH HIJAU MENUJU KEMENANGAN, PARLIMEN PADANG SERAI, BAWA SYIAR KDH 2018
PADANG SERAI \ 31 MAC 2018
Konvoi Jelajah Hijau Parlimen Padang Serai telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada kalangan anak muda. Deruman enjin hampir 500 buah jentera motorsikal berkuasa tinggi dan sederhana memecah keheningan Parlimen Padang Serai , berjaya menghijaukan jalan raya dengan kibaran bendera PAS yang dibawa oleh para peserta.
Konvoi yang mengangkat tema “ Kesejahteraan, Dinamik dan Harmoni “ @ KDH 2018 ini, bermula pada jam 10 pagi dan berakhir sehingga jam 6 petang. Konvoi kali ini menyaksikan 6 Lokasi Rendezvous@ RV menjadi destinasi. Berjaya melalui 10 taman perumahan, belasan Kawasan perkampungan . Memberi isyarat yang jelas bahawa PAS akan bertanding di Parlimen Padang Serai, serta mempertahankan DUN Merbau Pulas dan merampas DUN Lunas.
Konvoi anjuran Dewan Pemuda PAS Padang Serai ini dikawal selia dengan begitu rapi oleh Unit Marshall ARC Padang Seramai seramai 20 orang.
Sebelum para bikers dilepaskan, Tuan Hj Muhamad Sobri Osman, Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah mengingatkan “ Sekiranya kenderaan kita selamat, jalan yang kita lalui juga selamat, serta akhlak dan etika pemanduan kita selamat, maka konvoi kita akan jadi konvoi yang selamat. Mesej Keselamatan dan Kesejahteraan inilah yang kita nak zahirkan kepada masyarakat di Padang Serai, bahawa inilah yang bakal ditawarkan oleh Kerajaan PAS sekiranya menawan Negeri Kedah kelak “.
Para Bikers kental diperingatkan agar mengikhlaskan niat sepanjang perjalanan dan menjaga adab Islami, lalu dilepaskan oleh YB Ustazah Asyah Hj Ghazali, dengan laungan kemenangan yang sangat Dinamik iaitulah : PAS Menang .
Kehadiran ramai anak-anak muda dalam konvoi tersebut membuktikan bahawa golongan muda memiliki kesedaran yang tinggi dalam politik dan perjuangan Islam dan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah dan habuan keduniaan kerana mereka berkonvoi tanpa ada apa-apa upah daripada pihak penganjur.
Sesi Ngeteh dalam konvoi ini diisi dengan tazkirah yang penuh inspirasi daripada Tuan Guru Hj Adnan Abdul Majid dan taujihat penuh motivasi daripada Tuan Guru Hj Marzuki Pondok Kejai.
Qasidah kontemporari bertajuk I Love You Nabi , menjadi halwa telinga buat peserta konvoi dengan lirik yang sangat menyentuh hati :
Jangan bilang kau pemuda kuat
Jangan mentang-mentang badan sihat
Apabila sering kau tinggal solat
Inna lillah, Inna Lillah, Inna Lillah
Bila dirimu cinta Selawat
Bila hatimu rindu Muhammad
Itu baru pemuda yang hebat
Masya Allah, Masya Allah.
Pemuda Sejati
Dicinta oleh Nabi
Bukannya berotot besi
Apalagi Tongkat selfie
Pemuda anti maksiat
Gemar membaca selawat
Dan tak pernah lupa mengerjakan solat
Kenduri Rakyat di Bikan serta Solat Zuhor dan Asar berjemaah antara yang melatari perjalanan konvoi kali ini. Sungguh , ia menggambarkan nilai Istiqamah yang tinggi dalam kehidupan bersendikan syariat yang cuba dipaparkan oleh para pemuda yang mara menuju cita ini.
Konvoi menuju ke hentian terakhir di Padang Awam Taman Kucai . diakhiri dengan sesi penyerahan Manifesto Gagasan Sejahtera daripada wakil Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah. Sesi bergambar bersama seluruh peserta konvoi turut disertai oleh pimpinan daripada PAS Kawasan Padang Serai diakhir program.
Catatan Kembara
Lajnah Dakwah
Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai.