Saya telah melakukan tinjauan ke Pasar Pagi Inai dekat Stesyen LRT Pandan Indah pagi tadi. Saya mendapati jumlah peniaga semakin berkurangan dan begitu juga pengunjung. Oleh yang demikian para peniaga telah mengadu kepada saya bahawa pendapatan mereka semakin berkurangan.
Seorang peniaga, En. Koo Ting Ming yang menjual suratkhabar dan roti telah menerangkan kepada saya secara terperinci masalah yang beliau hadapi. Katanya, beliau mendapat pulangan 50 sen bagi setiap akhbar yang dijual dan beliau boleh menjual di antara 30 hingga 50 akhbar setiap hari. Beliau juga menjual pelbagai jenis roti dan purata pulangan bagi setiap roti yang dijual adalah 30 sen. Setiap hari pendapatan beliau adalah sekitar RM20 sehari.
Walau bagaimanapun beliau perlu membayar RM4 sehari kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya ( MPAJ ) untuk kos pembersihan dan pengurusan pasar tersebut. Oleh yang demikian pendapatan bersih harian beliau adalah sekitar RM15 hingga RM16 sehari. Beliau merayu agar bayaran kepada MPAJ ini diturunkan ke RM2.
Saya berpandangan permohonan dari En. Koo ini wajar memandangkan bilangan peniaga yang kecil di pasar tersebut dan tidak menjana banyak sampah. Saya berharap pihak MPAJ akan dapat mempertimbangkan permohonan ini.
Saya mencadangkan MPAJ tidak memungut caj ini setiap hari tetapi dua hari sekali untuk meringankan beban peniaga. Saya akan membawa perkara ini kepada MPAJ.
YB Dato’ Iskandar A. Samad
Ahli Dewan Negeri Chempaka
Selangor Darul Ehsan
17 Januari 2018