PAS Kawasan Rembau siapkan projek bilik tambahan untuk anak OKU
Oleh: Rusilah Md Som
REMBAU: PAS Kawasan Rembau telah menyiapkan sepenuhnya projek pembinaan sebuah bilik tambahan untuk kegunaan anak OKU sebuah keluarga di Kampung Titian Akar di sini, semalam.
Usaha menyiapkan projek pembinaan yang diketuai oleh Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Rembau, Ishak Omar dan Izamri Med adalah bertujuan untuk memenuhi hasrat ibu tunggal Shamsiah Buyong yang perlukan bilik khas untuk menempatkan anaknya yang OKU.
Projek pembinaan yang menelan belanja hampir lima ribu ringgit itu dibuat secara berperingkat-peringkat dan PAS telah berusaha mendapatkan sumbangan daripada masyarakat dalam dan luar kawasan Rembau.
Shamsiah merakamkan rasa terima kasih kepada semua pihak terutama kepada pihak PAS yang bersungguh-sungguh membantu beliau sekeluarga sehingga bilik tambahan itu kini sudah boleh digunakan.
Turut terlibat dengan pengumpulan dana projek tersebut ialah Bendahari PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mustafa Dolah.