Home Kenyataaan Media PAS Perak

Adun PAS Perak : Isu Banjir Kilat Di Batu Gajah

1220
SHARE

1. Saya merujuk kepada banjir kilat yang melanda kawasan jalan raya dan persekitarannya terutama di hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan St. Bernadette Convent Batu Gajah pada petang hari Isnin, 26 Mac 2018. Ia adalah kejadiaan berulang buat sekian kalinya di tempat yang sama sejak sekian lama tanpa penyelesaian yang konkrit dari pihak kerajaan.

2. Semua pihak sudah maklum akan perkara ini, termasuklah MDBG, JKR, JPS, bahkan Kerajaan Negeri Perak. Bahkan saya pernah turun padang semasa hujan dan meninjau isu ini selama dua jam bersama-sama SU MDBG, Tn Hj. Shahiri Tan lebih tiga tahun lalu.

3. Kawasan yang dibanjiri sejak saban tahun ini ternyata begitu rendah seolah-olah kawah yang terpaksa menadah dan menerima semua air daripada kawasan sekeliling yang jauh lebih tinggi.

 

4. Ini termasuklah kawasan yang tinggi seperti Kompleks Batu Gajah Central, Tanah Perkuburan Cina, Taman Mewah dan termasuklah juga kawasan pembangunan baru kuarters kakitangan Sekolah Seri Puteri yang sedang rancak djalankan yang ternyata menambah parahkan lagi kesan banjir ini apabila air tanah merah dan longgokan batu turut menggelungsur turun dari arah kawasan pembinaan tersebut semasa hujan lebat.

5. Daripada pemerhatian saya, longkang bersebelahan jalan raya yang terlalu sempit dan cetek amat tidak sesuai lagi dan tidak mampu menampung jumlah isipadu air yang semakin meningkat serta perlu diganti dengan longkang bersais lebih besar seperti monsun drain.

6. Alur sungai kecil dan semua longkang sekitar jalan raya berkenaan mesti dibersihkan selalu kerana longgokan pasir, tanah dan sampah-sarap yang jatuh ke dalamnya adalah antara penyumbang masalah banjir kilat ini apabila longkang tersumbat dan sungai tersekat-sekat alirannya.

7. Pada hemat saya, kawalan pembangunan kawasan sekitar yang lebih bersepadu, teliti dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa seperti MDBG dan lain-lain perlu dijalankan dengan lebih ketat dan berkesan.

8. Kerajaan perlu menyediakan bajet yang secukupnya dalam RMK-11 ini untuk menyelesaikan isu ini yang telah berlanjutan sejak sekian lama dan telah menghantui masyarakat setempat.

YB Radzi Zainon
ADUN Sg. Rapat
28 Mac 2018