?Tadabbur Al Quran?
Siri 24/2018
SURAH AL-KAHFI: PERTEMUAN NABI MUSA A.S DENGAN KHIDHIR: 65-70
? Firman Allah SWT serta terjemahannya :
فَوَجَدَا عَبْدًا مِنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِنْ لَدُنَّا عِلْمًا٦٥
Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami
قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَنْ تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا٦٦
Musa berkata kepada Khidhir: “Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu?”
قَالَ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا٦٧
Dia menjawab: “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersama aku.”
وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا٦٨
Dan bagaimana kamu dapat sabar atas sesuatu, yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu?”
قَالَ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا٦٩
Musa berkata: “Insya Allah kamu akan mendapati aku sebagai orang yang sabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusanpun”.
قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَنْ شَيْءٍ حَتَّىٰ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا٧٠
Dia berkata: “Jika kamu mengikutiku, Maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apapun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu”.
? Tafsir Ringkas :
1. Ayat ini adalah sambungan siri yang lalu mengenai perjalanan nabi Musa A.S dan sahabatnya Yusha’ untuk mencari seorang hamba Allah yang soleh, iaitu Khidhir. Akhirnya mereka bertemu juga dengan Khidhir yang Allah anugerahkan kelebihan dengan mendapat ilmu secara langsung daripada Allah. Ilmu itu tidak diberikan kepada nabi Musa.
2. Antara butiran perbualan mereka dalam pertemuan itu adalah:
i. Nabi Musa meminta izin untuk mengikut Khidhir supaya dia mengajarkan kepada Nabi Musa A.S ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah Khidhir pelajari. Nabi Musa meminta hal tersebut kepada Khidhir kerana menambah ilmu adalah suatu perkara yang sangat dituntut.
ii. Khidhir memberikan jawapan serta menyatakan sebab bahawasanya nabi Musa tidak akan dapat bersabar jika terus-menerus menyertainya.
iii. Nabi Musa berjanji untuk bersabar dan tidak akan mengingkari urusan yang dikerjakan oleh Khidhir. Nabi Musa mengungkapkan jawapannya dengan menggantungkan kemampuannya kepada kehendak Allah, kerana baginda merasa kurang yakin akan kemampuan dirinya dalam menghadapi apa yang harus ia lakukan. Perkara ini merupakan kebiasaan para nabi dan para wali Allah, iaitu mereka sama sekali tidak pernah merasa percaya terhadap dirinya sendiri walau hanya sekejap, sepenuhnya mereka serahkan kepada kehendak Allah.
3. Dalam ayat ini menceritakan, akhirnya Khidhir bersetuju dan menerima permintaan nabi Musa dengan syarat nabi Musa tidak mempersoalkan tentang sesuatu pun dan bersabar sehingga Khidhir menerangkan kepadanya sebab musababnya. Lalu Nabi Musa menerima syarat itu, iaitu memelihara etika dan sopan santun murid terhadap gurunya.
? Pengajaran :
1. Pendidik atau guru harus mengetahui karakteristik dan kemampuan pelajar dengan mengujinya.
2. Tugas pendidik adalah memberikan ilmu kepada pelajar menurut kadar pemahamannya dan tidak menyampaikan kepada pelajar akan sesuatu yang melampaui akalnya.
3. Tugas pendidik atau guru adalah mendidik yang dilakukan dalam bentuk mengajar. Sebahagiannya adalah dalam bentuk memberikan dorongan, memuji, menghukum, memberi contoh, membiasakan dan lain-lain.
4. Dalam menuntut ilmu, seorang pelajar harus memiliki niat yang mulia dan menyenangkan hati guru. Antaranya adalah dengan tidak terlalu banyak bertanya perkara-perkara yang menyusahkan mereka.
5. Penuntut ilmu harus menghormati guru dan berusaha memperoleh keredhaannya dengan cara yang baik, di mana pelajar harus bersikap sopan kepada guru.
6. Penuntut ilmu perlu bersabar dan tidak terburu-buru untuk mendapatkan hikmah dan kebijaksanaan daripada setiap peristiwa yang dialami dan harus bersedia mendengar penjelasan seorang guru dari awal hingga akhir sebelum bertindak di luar perintah. Kisah Khidhir ini juga menunjukkan bahawa Islam memberikan kedudukan yang sangat istimewa kepada pendidik.
7. Ilmu merupakan suatu kurnia terbesar yang diberikan oleh Allah SWT. Tidak ada makhluk yang lebih berilmu dariNya.
? Rujukan :
Tafsir Al-Jalalain & Tafsir Ibnu Kathir
Disusun oleh :
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
12 Januari 2018/ 24 Rabiul Akhir 1439