Home Kenyataan Media Presiden PAS

Kenyataan Media Presiden PAS : Peluang Pekerjaan Atasi Pengangguran

4552
SHARE

Kenyataan Media Presiden PAS
PELUANG PEKERJAAN ATASI PENGANGGURAN

Isu pengangguran terus menghantui kehidupan manusia sepanjang zaman, termasuk di negara yang dikatakan paling maju, apatah lagi negara miskin atau sedang membangun. Perbezaannya banyak atau sedikit sahaja, namun sukar dihapuskan.

Apabila Allah telah menetapkan dasar secara naluri dan pilihan di dalam Al-Quran, nyatalah bahawa kesilapannya adalah manusia sendiri. Walaupun mereka mendabik dada dan mengaku pandai, pakar, bijak, bertamadun dan maju jaya, namun terus berlakunya masalah tiada peluang pekerjaan, pengangguran dan kos sara hidup yang terhimpit.

Allah berfirman:

تَبَارَكَ ٱلَّذِي نَزَّلَ ٱلۡفُرۡقَانَ عَلَىٰ عَبۡدِهِۦ لِيَكُونَ لِلۡعَٰلَمِينَ نَذِيرًا ١ ٱلَّذِي لَهُۥ مُلۡكُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَمۡ يَتَّخِذۡ وَلَدٗا وَلَمۡ يَكُن لَّهُۥ شَرِيكٞ فِي ٱلۡمُلۡكِ وَخَلَقَ كُلَّ شَيۡءٖ فَقَدَّرَهُۥ تَقۡدِيرٗا ٢ الفرقان

“Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqan (Al-Quran) kepada hamba-Nya (Muhammad S.A.W), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam. (1) Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahan-Nya dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna. (2)” (Surah Al-Furqan: 1-2)

Allah telah mencipta manusia bernalurikan Masyarakat Madani tanpa bersendirian, mewajibkan bertaaruf dan berkhilafah. Ini bermaksud berhubungan, bertolong-menolong dan berurusan secara naluri, serta mentadbir kehidupan dunia dengan petunjuk-Nya, bersama kemampuan akal dan pengalaman yang berbeza berkonsepkan kemampuan secara bersendiri dan bersepadu dalam kehidupan bermasyarakat dengan sumber rezeki Allah yang mencukupi walaupun berbeza bahannya bagi kemudahan makanan, pakaian, kediaman, perhubungan, perhiasan dan lain-lain. Sekiranya bermasalah adalah kesilapan manusia sendiri.

Ibnu Khaldun, Bapa Ilmu Sosiologi merumuskan bahawa sumber kehidupan yang menyumbang rezeki melalui pekerjaannya adalah Imarah (kepimpinan yang mengurus), Tijarah (perniagaan), Zira’ah (pertanian), Sina’ah (industri) dan tambahannya ialah Khidmah (perkhidmatan). Semuanya menjadi lapangan pekerjaan dan sumber rezeki yang diusahakan.

Katanya juga bahawa sepatutnya semakin ramai penduduk, semakin banyak keperluan dan meningkatnya peluang pekerjaan dengan hasil yang bertambah banyak pula, seterusnya menjadikan negara itu makin kuat dan maju, makin pesat kemajuan ekonominya, bertambah peluang pekerjaan dan meningkatnya pula pendapatan. Pemerintah adalah pengurus dan pengawasnya, semua rakyat adalah jenteranya di tempat masing-masing. Ia sangat berbeza dengan teori ahli falsafah Barat yang menganggap perkembangan ini menjadi ancaman kepada rezeki dan kehidupan manusia.

Aspek naluri, jasad, roh dan akal manusia bersama kehidupan bermasyarakat Madani yang bertaaruf dapat mengurus rezeki Allah yang melimpah ruah daripada langit dan keluar daripada bumi.

Firman Allah:

ياأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُمۡ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ٢١ ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ فِرَٰشٗا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءٗ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ فَأَخۡرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزۡقٗا لَّكُمۡۖ فَلَا تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ أَندَادٗا وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ٢٢ البقرة

“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa. (21) Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan diturunkan-Nya air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa). (22)” (Surah Al-Baqarah: 21-22)

Ayat ini menunjukkan bahawa konsep ibadah itu mengikut takrif Islam, bukan takrif yang sempit, bahkan meluas kepada seluruh kehidupan manusia dan segala aspeknya kerana sifat manusia itu di bawah kerajaan Allah Pencipta dan hamba Allah yang mengurus alam, bukan rakyat dan warganegera kepada kerajaan di bumi yang dibahagikan mengikut negara masing-masing.

Firman Allah:

فَاطِرُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۚ جَعَلَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا وَمِنَ ٱلۡأَنۡعَٰمِ أَزۡوَٰجٗا يَذۡرَؤُكُمۡ فِيهِۚ لَيۡسَ كَمِثۡلِهِۦ شَيۡءٞۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ ١١ لَهُۥ مَقَالِيدُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۖ يَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقۡدِرُۚ إِنَّهُۥ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمٞ ١٢ الشورى

“Dialah yang menciptakan langit dan bumi; Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkan-Nya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifatNya dan pentadbiran-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (11) Dialah jua yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; Dia memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut peraturan itu); sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (12)” (Surah As-Syura: 11-12)

Firman Allah:

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦ الأعراف

“Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Al-Aaraf: 96)

Keberkatan ialah mendatangkan faedah di dunia dan akhirat. Allah telah menurunkan rezeki sumber asli dan tenaga manusia yang mencukupi dan seimbang.

Kekuatan jasmani dan rezeki rohnya pula ialah akal, ilmu dan hidayah Islam yang memandu kehidupan manusia dalam aspek akidah dan akhlak yang mengawal akal dan perasaan, serta kemampuan jasad secara individu dan bertaaruf secara bermasyarakat madani, serta akhlak bertimbang rasa, berkasih sayang yang menciptakan konsep bertolong-menolong (bertaawun), walaupun adanya kepelbagaian kemampuan, kemahiran dan hasil yang berbeza.

Tanpa dinafikan ada manusia yang terbatas kemampuannya sehingga ada juga yang malas, bodoh dan jahat yang bermasalah. Ada negeri yang banyak hasilnya dan ada yang sedikit, ada pula yang banyak tenaga manusia dan ada yang sedikit, namun tidak boleh mempengaruhi kehidupan manusia umum yang dikawal oleh undang-undang dan sempadan kehidupan.

Secara tabiinya sebagai contoh, manusia berhajat kepada pakaian, sekurang-kurangnya untuk menjaga jasad daripada alam sekeliling yang mendatangkan penyakit dan gangguan cuaca, kerana ketahanan kulitnya tidak seperti binatang yang tidak memerlukan pakaian dan tidak bermaruah tinggi. Lebih-lebih lagi manusia itu demi menjaga agama dan maruahnya yang mewajibkan menutup aurat, termasuk yang menjaga adab dan akhlaknya tanpa mengira agama dan bangsa, bahkan yang tidak ada agama dan tidak berakhlak semuanya mahukan pakaian.

Justeru itu, apabila semua manusia berhajat kepada keperluan kain. Maka memerlukan pertanian, bidang pengurusan, tanah dan jentera untuk menanam kapas dan sebagainya untuk menghasilkan benang. Kemudiannya kain yang ditenun akan dijahit dan memerlukan jarum yang perlu adanya bidang perlombongan, perindustrian, perniagaan dan pengurusan untuk menghasilkannya.

Begitulah juga keperluan makanan, kediaman, kenderaan dan sebagainya yang memerlukan berbagai sumber semula jadi dan ciptaan yang menghasilkan peluang pekerjaan dan tenaga kerjanya yang banyak, walaupun berlakunya kemajuan sains dan teknologi.

Allah berfirman:

أَهُمۡ يَقۡسِمُونَ رَحۡمَتَ رَبِّكَۚ نَحۡنُ قَسَمۡنَا بَيۡنَهُم مَّعِيشَتَهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَرَفَعۡنَا بَعۡضَهُمۡ فَوۡقَ بَعۡضٖ دَرَجَٰتٖ لِّيَتَّخِذَ بَعۡضُهُم بَعۡضٗا سُخۡرِيّٗاۗ وَرَحۡمَتُ رَبِّكَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ ٣٢ الزخرف

“(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan Rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan: Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita) dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian daripada mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya daripada (bantuan) setengahnya yang lain dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.” (Surah Az-zukhruf: 32)

Di sini Allah menegaskan konsep pendapatan melalui pembahagian rezeki dan pembahagian kerja yang wajib disaksamakan. Makin ramai manusianya, makin banyak keperluan yang wajib dimajukan tanpa melampau. Sepatutnya makin banyak peluang pekerjaan bagi membanyakkan hasil, sepatutnya juga masalah pengangguran dapat di atasi termasuk yang tidak berupaya tidak tercicir dan terbiar.

Mengapa boleh berlaku masalah pengangguran dan tiadanya peluang pekerjaan? Puncanya ialah diri manusia sendiri yang tidak memenuhi hikmah tujuan mereka diciptakan.

Dunia hanya mengenali pendekatan secara teori dan ideologi ciptaan manusia sendiri tanpa kembali kepada petunjuk Allah yang bernama Islam. Dalam pendekatan ekonomi, mereka hanya mengenali aliran kanan dan kiri, Liberal Kapitalisma, Sosialisma, Komunisma atau Pragmatisma. Islam pula dilupakan atau sengaja tidak dipandang kerana menganggapnya tidak penting atau dengki yang menyemarakkan Islamofobia.

Sejarah Islam memulakan agenda pembangunan manusia daripada Makkah yang kering kontang dan berhijrah ke Yathrib yang ditukar kepada nama Madinah yang disinonimkan dengan Islam sebagai Al-Din dan berjaya menangani Masyarakat Madani berbagai kaum dan agama, berbeza kemampuan, pendapatan dan pekerjaan.

Modelnya bermula daripada bumi padang pasir yang tiada hasil dengan membangunkan jati diri manusia yang sempurna dengan jasad, roh dan akal beracuankan ilmu wahyu yang memberi hidayah kepada ilmu akal dan pengalaman. Akhirnya berjaya membetulkan tamadun kebendaan Rom, Parsi, Greece, Mesir, China dan India, bukan menghapuskan semuanya.

Islam mencipta tamadun sejagat dinamakan Hadharah Islamiyyah dan memerintah Timur dan Barat di zaman keemasan Islam yang diamalkan secara menyeluruh, sehingga diterima oleh masyarakat majmuk berbagai agama, bangsa dan budaya serta mampu menyara rakyat semuanya.

Saya pernah mendengar temu bual RTM bersama YM Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid beberapa tahun lepas. Beliau menegaskan betapa nelayan di pantai dan penoreh getah di kawasan pedalaman keluar awal pagi, menunjukkan bahawa masyarakat yang miskin itu bukannya pemalas.

Hari ini kita menyaksikan anak muda yang berpendidikan tinggi, termasuk yang tidak tinggi pelajarannya tetapi tetap bertenaga muda susah mendapat peluang pekerjaan. Termasuk juga ada yang menganggur atau pendapatan yang tidak mampu menyara hidup di bumi yang banyak hasilnya dan ramai tenaga kerjanya, tetapi masih ramai yang menganggur dan yang telah berkerja pula ramai yang dibuang kerja atau dipotong pendapatannya. Mengapa kehidupan mereka terhimpit?

Masalah ini menunjukkan ada perkara yang salah dengan pendekatan yang tidak betul atau dasar yang tersesat jalan. Sepatutnya pemandu yang mengambil alih silih berganti jangan meneruskan kesilapan pemandu terdahulu dan jangan meninggalkan yang betul, cuma membetulkan kesilapan, bertaubat kalau berdosa, bukan sekadar meminta maaf tanpa mengaku kesalahan dan kelemahan makhluk.

Lakukan muhasabah secara menyeluruh. Percaya bahawa Islam daripada Allah adalah penyelesaiannya berkonsepkan sempurna dan holistik. Bukannya mengumpulkan kekayaan yang berpusing di sekitar keluarga dan kroni sahaja dengan tuduhan orang lain semuanya bodoh, dibiarkan sekadar negara maju walaupun rakyatnya miskin dan menganggur.

Firman Allah:

قُلۡ هَٰذِهِۦ سَبِيلِيٓ أَدۡعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۠ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِيۖ وَسُبۡحَٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ١٠٨ يوسف

“Katakanlah (wahai Muhammad S.A.W): “Inilah jalanku dan orang-orang yang mengikut ajaranku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah (Islam) dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Surah Yusuf: 108)

“Sejahtera Bersama Islam”

 

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 15 Rabiul Akhir 1439 / 3 Januari 2018