Kuantan, 21 Disember – Pejabat Khidmat Masyarakat Dun Tg. Lumpur mengagihkan Baucar Sumbangan Pakaian Sekolah yang bernilai RM100 kepada 100 orang pelajar fakir, miskin dan yatim pagi ini.
Penerima terdiri daripada anak-anak di bawah Dun Tg. Lumpur.
Majlis yang berlangsung di Pasti Az-Zahrah, Tanah Putih Baru itu dimulakan dengan tazkirah ringkas dan penyampaian baucar sumbangan oleh YB Ust. Rosli Abd Jabbar, Adun Tg. Lumpur sendiri.
Beliau sempat mengingatkan kepada semua ibu bapa yang hadir akan kepentingan memberikan didikan kepada anak-anak.
“Ibu bapa hendaklah memberikan didikan & bimbingan bukan sekadar mengajar. Bermaksud ibu bapa hendaklah mengajar & menunjukkan contoh kepada anak-anak.”
“Contohnya bila menyuruh anak solat, pastikan ibu bapa juga solat. Apabila menyuruh anak berkelakuan baik, ibu bapa juga mestilah berkelakuan baik,” ucap beliau dalam tazkirah pendek yang disampaikan tadi.
Program agihan baucar pakaian sekolah ini adalah program tahunan yang diadakan setiap hujung tahun bagi membantu pelajar fakir, miskin & yatim dalam Dun Tg. Lumpur.
Setiap tahun hampir 500 orang pelajar menerima baucar sumbangan tersebut dan sumbangan ini adalah hasil daripada sumbangan orang ramai sama ada syarikat, NGO ataupun persendirian.
Sumbangan melalui jualan baucar pakaian sekolah ini masih lagi dibuka kepada orang ramai yang ingin menyumbang sehingga akhir bulan Disember ini.