Home Berita PAS Perak

Berita l Khatan Perdana Bukit Gantang Mendapat Sambutan

1485
SHARE

Oleh : Ez

BUKIT GANTANG : Berkhatan adalah kewajipan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan penjagaan kebersihan daripada sudut rohani dan jasmani. Ianya juga melibatkan hal berkaitan dengan penerimaan ibadah di sisi Allah SWT.

Bagi merealisasikan ibadah ini , Pusat Khidmat Ahli Parlimen dengan kerjasama Masjid Jamek Bukit Gantang telah mengadakan satu Program Khatan Perdana sempena awal cuti persekolahan pada 26 November yang lalu.

Seramai 34 kanak-kanak berusia antara enam hingga 10 tahun menyertai program ini yang telah berlangsung di perkarangan Masjid Jamek Bukit Gantang, di sini.

Ketua Penyelaras program, Tuan Haji Zainudin berkata, majlis khatan beramai-ramai itu merupakan program tahunan peringkat Parlimen Bukit Gantang bertujuan menghidupkan semula budaya berkhatan secara beramai-ramai .

“Walaupun penganjuran program ini berbayar untuk mengkhatankan anak mereka dengan kos sebanyak RM70, dalam usaha menghidupkan budaya khatan beramai-ramai kita jalankan juga program ini.”

“Sambutan yang diterima masyarakat setempat amat menggalakkan,” katanya.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang , Ustaz Idris Ahmad dan sedikit maklumat khatan disampaikan oleh Encik Syarhan Yahya yang bertindak selaku tok mudim untuk program ini.

Turut serta dalam program ini ialah YDP Pas Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman dan Pengerusi Masjid Jamek Bukit Gantang , Encik Yuan Haji Ghazali.

Program berkhatan itu mendapat kerjasama anggota Balai Bomba dan Penyelamat , di sini, yang hadir dengan jentera bomba khusus untuk menyembur air kepada peserta-peserta khatan di awal majlis.

Program ini telah berlangsung mulai jam 8.00 pagi berakhir kira-kira pukul 1.00 petang.