Lembah Pantai, 13 November 2017 – Sebuah keluarga yang menetap di Pangsapuri Suci terpaksa hidup bergelap ekoran bekalan eletrik telah dipotong kerana bayaran tertunggak selama 8 bulan.
Hal ini mendapat perhatian Ketua Lajnah Kebajikan PAS Lembah Pantai, Saudara Wan Mustaffa Wan Abdul Razak beserta 9 ahli rombongan lain yang meluangkan masa menziarahi mereka.
Dalam pertemuan tersebut, ketua keluarga berkenaan, Saudara Alastri bin Mohd menjelaskan faktor kewangan yang kurang stabil menyebabkan beliau terpaksa mendahulukan perbelanjaan lain dan hanya mampu membayar tunggakan bil eletrik secara ansuran dalam jumlah yang sedikit.
Beliau yang cuma berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual aksesori telefon bimbit tidak memiliki pendapatan bulanan yang tetap.
Manakala isteri beliau seorang suri rumahtangga dan mempunyai seorang anak yang masih bayi.
Rombongan yang turut disertai oleh En Ahmad Sathola Khan selaku Timbalan Yang Dipertua serta Bendahari Kawasan, Tuan Haji Fauzi telah mengambil tindakan segera dengan mengadakan pertemuan bersama pegawai TNB Bredford Business Park bagi merundingkan permasalahan tersebut.
“Kita berusaha sedaya upaya bagi membantu meringankan beban keluarga ini supaya mereka juga mampu menikmati kehidupan seperti komuniti lain”, ujar Tuan Haji Fauzi.
Tambahnya lagi, desakan ekonomi menjadi punca rakyat terhimpit dalam kemiskinan dan perlu bekerja keras bagi mendapatkan sesuap nasi.
Hasil perbincangan memberi impak positif apabila pihak TNB bersetuju menerima bayaran 80% dari jumlah tunggakan dan menyambungkan semula bekalan eletrik ke rumah terbabit.
PAS terus bergerak aktif menjalankan aktiviti kemasyarakatan agar nasib rakyat sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya.