Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 15/2017

1125
SHARE

SURAH AL-KAHFI: NASIHAT KEPADA PEMILIK KEBUN YANG KUFUR: 37-39

Firman Allah SWT serta terjemahannya:

قَالَ لَهُ صَاحِبُهُ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَكَفَرْتَ بِالَّذِي خَلَقَكَ مِن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ سَوَّاكَ رَجُلًا (٣٧)

Berkatalah rakannya kepadanya, sambil berbincang dengannya: “Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air mani, kemudian Ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?

لَّٰكِنَّا هُوَ اللَّهُ رَبِّي وَلَا أُشْرِكُ بِرَبِّي أَحَدًا (٣٨)

Tetapi aku sendiri (saudaranya yang mukmin) percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku.

وَلَوْلَا إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ إِن تَرَنِ أَنَا أَقَلَّ مِنكَ مَالًا وَوَلَدًا (٣٩)

Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: “MashaAllah, La quwwata ila billah” (Sesungguhnya, atas kehendak Allah, semua ini wujud, (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah) walaupun, engkau (orang kafir itu) mengganggap harta dan keturunanku lebih sedikit berbanding denganmu.

Tafsir ringkas:

1. Ayat di atas merupakan kesinambungan dari siri tafsir yang lepas yang menceritakan tentang sikap kufur si pemilik dua kebun. Kesuburan kebunnya dan kekayaan yang dihasilkan daripada kebunnya telah menyebabkan dia menjadi sombong dan bongkak.

2. Siri kali ini merenungi nasihat-nasihat yang diberikan oleh saudaranya yang beriman. Antara nasihat kepada pekebun yang kafir itu ialah:

i. Ayat 37: Saudaranya yang beriman, mengingatkan orang kafir itu supaya tidak sombong kerana kita diciptakan dari tanah dan dari setitis air yang hina (mani), lalu menjadi manusia yang sempurna.

ii. Ayat 38; orang mukmin itu menegaskan bahawa dia tidak sependapat dengan saudaranya yang kufur itu, bahkan meyakini Allah yang Maha Esa, dan tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu pun.

iii. Ayat 39 ; Beliau juga menasihatkan pemilik kebun itu supaya membaca doa (ما شاء الله لا قوة الا بالله ) apabila masuk ke dalam kebun untuk menunjukkan rasa kagum kepada kekuasaan Allah yang telah menjadikan kebunnya subur dan mengeluarkan hasil yang banyak.

Pengajaran:

1. Sebagai manusia yang lemah, kita hendaklah sentiasa memperkukuhkan dan menguatkan aqidah kita supaya tidak leka dengan arus kehidupan dunia yang banyak melalaikan.

2. Sentiasa bermuhasabah diri bahawa kita diciptakan dari tanah. Justeru itu, tiada apa yang perlu dibanggakan dengan diri kita.

3. Sentiasa bersyukur kepada Allah, atas segala kurniannya dan membaca doa apabila mendapat nikmat dan rezeki.

4. Ingatlah bahawa rezeki yang dikurniakan kepada kita, datangnya dari Allah Swt yang Maha Kaya lagi Maha Berkuasa.

Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Katsir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
Tarikh: 10.11.2017 / 21 Safar 1439H