SHAH ALAM, 10 NOV: Projek naik taraf Kunci Air No 51 ke Pintu Air Automatik, di Jalan Papan Pandamaran dianggarkan menelan kos RM3 juta.
Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, reka bentuk akhir sudah siap dan dokumen tender juga sudah dikemukakan perunding.
Katanya, dokumen tender itu kini dalam semakan Bahagian Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor.
“Kerja dijangka ditender, pada akhir bulan ini,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran, Tan Pok Shyong berhubung projek berkenaan, di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Zaidy yang juga ADN Taman Templer berkata, skop kerja yang akan dilaksanakan adalah menaik taraf ‘screwdown gate’ bersaiz 6′ x 6′ kepada ‘roller gate’ (saiz 12′ x 14′) serta kerja lain yang berkaitan.
“Ia akan beroperasi secara automatik berdasarkan paras air,” katanya.
Berita asal : SelangorKini