Dataran Wangsa Melawati – PAS Kawasan Wangsa Maju terus komited mempromosikan PAS kepada warga Wangsa Maju melalui Fiesta Hijau yang telah dianjurkan pada 29 Oktober 2017 yang lalu.
“Program ini adalah permulaan yang sangat baik bagi PAS Wangsa Maju dalam menyatakan kesediaan PAS untuk meletakkan calon pada PRU-14 memandangkan Parlimen Wangsa Maju merupakan salah satu daripada 9 parlimen yang menjadi sasaran PAS di Wilayah Persekutuan”, ujar Yang DiPertua PAS Wangsa Maju, Tn Hj Razali Tumirin.
Menurut Pengarah program, En Mus’ab Zainal Abidin , program ini sangat berjaya jika dilihat dari jumlah pengunjung yang hadir. Dianggarkan seramai 500 orang telah hadir ke Dataran Wangsa Melawati sepanjang program ini berlangsung dari petang hinggalah malam, menepati sasaran awal yang telah ditetapkan.
“Konvoi bermotor Yang disertai oleh 50 orang anak muda Alternative Riding Club (ARC) mengelilingi kawasan sekitar Wangsa Maju dengan berpakaian hijau sudah cukup menggambarkan kemeriahan & sambutan golongan muda walaupun mereka berkonvoi dalam keadaan hujan. Kita juga telah melancarkan Kelab ARC Wangsa Maju pada masa yang sama sebagai menyahut permintaan golongan muda Di Wangsa Maju”, tambah beliau lagi .
Turut hadir menjayakan Fiesta Hijau, Ketua Muslimat PAS Wangsa Maju, Ustazah Hanisah yang menzahirkan rasa gembira atas sambutan orang ramai terutama golongan ibu bapa & wanita melalui acara pentas antaranya pertandingan melukis dan mewarna, demonstrasi membuat ‘brownies’ dan juga sembang santai muslimah. Kemuncak program ini diserikan dengan slot ‘Tanyalah Ustaz’ yang menampilkan Ust. Ghazali, Ust. Fadzil & PU Izzat.
Ketua Dewan Pemuda PAS Wangsa Maju, Ustaz Abdul Hadi yang merupakan tunjang utama terhasilnya program ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyumbang, Pengurusan & peniaga Dataran Food Truck, pihak DBKL, pihak polis dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Fiesta Hijau.
Program ini merupakan permulaan awal bagi PAS Wangsa Maju. Sudah pastinya banyak lagi program yang telah direncanakan bagi penduduk setempat, sebelum tibanya PRU-14 bila-bila masa dari sekarang.