PAS Selangor menjunjung kasih atas titah DYMM Sultan Selangor berhubung petikan ucapan Tun Dr Mahathir yang menghina dan memperlekeh bangsa Bugis.
Allah menjadikan manusia dari pelbagai bangsa dan kaum adalah dengan tujuan supaya berkenalan dan berkasih sayang serta hidup dengan kerukunan.
Firman Allah swt
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). Al Hujurat 13
Keburukan perilaku atau perkara yang tidak baik seseorang seharusnya tidak disandarkan kepada kaum atau keturunan.
Sementelah bangsa Bugis merupakan sebahagian salasilah keturunan keluarga di Raja Selangor dan sejarah telah merakamkan kepahlawanan serta kehebatan bangsa Bugis yang menjadi kebanggaan rakyat negeri khususnya.
Justeru PAS Selangor bersama dengan titah DYMM tuanku dan mengharap agar kita sentiasa mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera serta menjauhi amalan politik perkauman dan benci membenci.
Yang Berhormat
YB Ustaz Sallehen Mukhyi
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor