Home Berita PAS Pahang

SIRI 6 | Beginilah Pengalaman Hidup Mengajarku

708
SHARE

Ada satu perkara yang terpaksa diakui oleh semua pihak, bahawa ahli PAS rata-ratanya sangat taat kepada kepimpinan mereka. Apabila dikerahkan untuk turun berhimpun, maka mereka berbondong-bondong turun. Andai sekadar datang untuk mendengar taujihat dan ucapan, mereka boleh mendapatinya secara online dan live. Sementelah pula ramai datang bersama keluarga dengan anak-anak kecil. Sudah pastinya fokus untuk mendengar pengisian 100% sedikit sebanyak terganggu. Lalu apakah sebabnya mereka hadir?

Ada yang mengendong anak kecil, ada yang keuzuran terincut-incut menapak lebih 1km. Orang tua, anak muda dan kanak-kanak datang dari seluruh negara. Mereka tidak dibayar. Sewa bas dengan kutipan duit poket sendiri. Beli baju rasmi Fastaqim 2.0 dengan duit masing-masing. Ada yang tidak mampu, memakai baju fastaqim 1.0 yang lepas. Yang tiada tetap memakai baju-baju berwarna hijau yang mereka ada. Sarapan pagi, tengahari, petang dan malam dengan belanja sendiri. Tiada makanan percuma disediakan. Para peniaga gerai khasnya gerai makanan dan minuman tersenyum lebar keuntungan. Apakah sebabnya mereka hadir?

Kerana adanya arahan dan kerahan yang jelas dari pimpinan untuk hadir bagi tujuan menonjolkan quwwah dan menyuntik semangat juang. Ahli PAS ini hadir kerana taatnya. Bukan taat pada batang tubuh individu dan peribadi pemimpin secara membuta tuli. Tetapi taat hasil dari keyakinan mereka kepada prinsip dan dasar perjuangan PAS serta thiqah kepada pemimpin yang ada selagi berada di atas paksi kebenaran. Ahli PAS tidak taksub dengan individu pemimpin. Justeru itulah walau sebilangan pemimpin tertinggi PAS yang tidak terpilih dalam muktamar 2015 keluar dan menubuhkan PAN, majoriti ahli PAS kekal beristiqamah.

Melahirkan ahli yang taat dan istiqamah dari latar belakang yang pelbagai, rencam dan berbeza ini bukan suatu yang mudah dan kebetulan. Ia adalah hasil dari agenda tarbiah yang konsisten berjalan dalam PAS walaupun dalam pelbagai bentuk, kaedah dan pendekatan mengambil kira kerencaman latar belakang ahli itu sendiri. Ada yang istiqamah dengan usrah mingguan dan tamrin berkala. Ada yang hanya mampu menyertai usrah gabungan atau ijtimak bulanan. Ada juga yang mencedok kefahaman dari liqa fikri. Ada yang mendapat pengisian melalui kuliah-kuliah haraki dan kuliah maghrib yang disampaikan oleh penceramah PAS. Ada yang mengutip mutiara fikrah dari tazkirah ringkas di program-program santai PAS. Bekalan penghayatan dan kefahaman mereka itu pun pelbagai mengikut tahap kemampuan dan tahap masing-masing.

Namun, usaha berterusan para ulama’. asatizah, nuqaba’ dan qiyadah PAS di semua peringkat menekankan aspek tarbiah selain kebajikan, dakwah dan politik itu sedikit sebanyak membuahkan hasilnya. Kita tidak mendabik dada untuk mengaku bahawa tarbiah PAS itu kemas dan jauh lagi dari sempurna, namun ia berjalan sebagai agenda yang utama dan berimpak. Namun untuk menghasilkan kesan yang lebih besar, ia memerlukan usaha pemantapan, pemerkasaan dan peningkatan yang lebih lagi.

Alhamdulillah, himpunan Fastaqim 2.0 ini boleh dikatakan berjaya menonjolkan quwwah (kekuatan) yang menggetarkan hati musuh. Buktinya tidak sedikit dari kalangan lawan PAS yang bereaksi, memberi komentar sinis dan menyebarkan fitnah. Marilah dengan gelombang kekuatan ini, kita ahli PAS mengekalkan momentumnya melalui gerakkerja yang berterusan, bersungguh dan berfokus sehingga mencapai sasaran target serta kemenangan. Gerakerja pilihanraya digandakan, usaha dakwah digiatkan, kebajikan diperluaskan dan tarbiyah terus-menerus diperkasa. Seimbang, bersepadu, bersungguh-sungguh dan bersama!

Ustaz Hazmi bin Dibok

Ketua,

Pemuda PAS Negeri Pahang

3 Oktober 2017