Home Berita PAS Pahang

52 Imam di Kuantan teraju Program Khatam Al-Quran Sepanjang Tarawih

93
SHARE

Oleh : KHAULAH AL AZWAR

KUANTAN, 23 Mac ♦ Seramai 52 imam di Kuantan terpilih menerajui program ‘Khatam Al-Quran Sepanjang Tarawih’ kali kedua (KAST2.0) 1444H/2023 anjuran Sahabat Huffaz Pahang.

Malam tadi, bertempat di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) telah diadakan upacara perasmian malam pertama KAST2.0 oleh Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Dato’ Ustaz Abdul Zaki Mohd Zain.

Dalam ucapannya  beliau berkata, KAST menawarkan satu kelainan bagi memuliakan Ramadan dengan khatam Al-Quran di dalam solat tarawih.

“Ia merupakan program yang sangat baik. Saya amat mengalu-alukan jamaah mengambil peluang menjayakan program ini dan berharap ia dapat diperluaskan lagi ke daerah seluruh Pahang pada masa hadapan bagi memberi peluang kepada guru-guru hafiz Al Quran untuk mengulang Al Quran sempena Ramadan ini.” ujar beliau.

Pihak penganjur masih mengekalkan kolaborasi tiga buah masjid sekitar Kuantan bagi menjayakan program ini, di mana Masjid UNIPSAS telah dipilih sebagai lokasi untuk sepuluh malam pertama Ramadan.

Ini disusuli Masjid Sultan Ahmad Shah UIAM, Kuantan bagi sepuluh malam kedua dan Masjid Al Hidayah, Paya Besar untuk khatam sepuluh malam terakhir Ramadan.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Mahaad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Lajnah Pendidikan PASKIM, Maahad Tahfiz Darul Fikri (MTDF) dan Maahad Tahfiz Al Istiqamah (MTIS), Temerloh.

Sempena majlis perasmian, turut diadakan gimik penyerahan sumbangan dari Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) kepada Pertubuhan Sahabat Huffaz Pahang bagi tujuan pengurusan program KAST2.0 sebanyak RM20 ribu dan RM100 ribu kepada Masjid KUIPSAS bagi tujuan program Ihya Ramadan.

Turut diagihkan sumbangan bernilai RM312 ribu kepada Maahad Tahfiz Madrasah dan Pondok Negeri Pahang bagi menjayakan program pengimarahan ihya Ramadan.

Majlis tersebut turut mendapat liputan langsung oleh TV Makmur, tv internet rakan penyiar MUIP.