Home Kenyataan Media PAS Terengganu

500K Penganggur: Segera Buat Pembetulan, Atasi Masalah Pengangguran Belia, Siswazah

2577
SHARE

Kenyataan Media
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
AJK PAS Pusat / Ahli Parlimen Kuala Nerus

Selasa 09 Januari 2018 | 21 Rabiulakhir 1439H

500K PENGANGGUR; SEGERA BUAT PEMBETULAN, ATASI MASALAH PENGANGGURAN BELIA, SISWAZAH

1. Menteri ketika menjawab soalan saya di Dewan Rakyat pada 29 November 2017 yang lalu tentang kadar pengangguran di Malaysia menjawab bahawa ia pada kadar 3.5 peratus atau seramai 504,100 orang penganggur daripada jumlah guna tenaga negara seramai 14.67 juta orang. Statistik Jabatan Imigresen Malaysia pula setakat 30 Jun lalu menunjukkan seramai 1,781,598 pekerja asing sah berada di negara ini.

2. Setinggi mana pun prestasi ekonomi negara, soalan penting yang tetap perlu dijawab oleh Kerajaan adalah sejauh mana telah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan dan mengatasi pengangguran.

3. Buktinya, menerusi kajian yang dilakukan oleh Agensi Penyelidikan Pasaran Global (IPSOS) terhadap 2027 orang responden berumur 15 hingga 64 tahun di negara ini, isu penggangguran tersenarai pada kedudukan ke-3 tertinggi dalam “Apa yang Merisaukan Malaysia” pada 2017.

4. Kaji Selidik yang dibuat oleh Astro AWANI juga menunjukkan isu penggangguran mendapat undi sebanyak 26% (kedudukan ke-2 tertinggi) daripada 3,638 orang responden.

5. Kerisauan awam ini bukanlah suatu persepsi semata-mata. Ia mempunyai asas yang kuat. Laporan Tahunan 2016 yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia antaranya menyatakan :

(a) Pengangguran belia mencecah 10.7% pada tahun 2015 iaitu tiga kali lebih tinggi daripada kadar pengangguran negara sebanyak 3.1%.

(b) Pengangguran belia semakin meningkat dalam tempoh kebelakangan ini kerana kadar pengambilan pekerja yang menurun sejak akhir tahun 2014 disebabkan oleh sentimen perniagaan yang berhati-hati dan prestasi ekonomi yang makin sederhana.

(c) Kadar pengangguran dalam kalangan belia yang berpendidikan tinggi adalah lebih tinggi pada 15.3%, berbanding belia yang tidak berpendidikan tertiari iaitu 9.8%.

6. Paling menghairankan, saban tahun terutamanya semasa pembentangan Bajet, Kerajaan mengumumkan cecah puluh dan ratus ribu peluang pekerjaan baru diwujudkan. Namun, ia tetap tidak menyelesaikan isu pengangguran di negara ini, terutamanya dalam kalangan belia dan siswazah.

7. Ini menunjukkan masih terdapat masalah yang lebih asas dibiarkan tanpa pembetulan sehingga menjejaskan struktur dan ekosistem ekonomi di negara ini sehingga menatijahkan isu penggangguran ini terus berlarutan sehingga kini.

8. Oleh itu, saya menggesa Kerajaan supaya :

(a) Melihat kembali kewajaran lambakan pekerja asing sehingga menjangkau 1.7 juta orang sebagaimana stastistik yang saya kemukakan di atas termasuk yang berkemahiran tinggi.

(b) Memastikan jenis pekerjaan yang diwujudkan sepadan dengan pencapaian pendidikan tenaga kerja yang dibekalkan; termasuk dengan memberikan penempatan segera kepada golongan siswazah dalam profesion keguruan dan kedoktoran yang masih ramai menganggur sehingga kini.

(c) Menilai kembali sistem pendidikan bagi melahirkan insan berdikari dan berinovasi tinggi yang mampu “mencipta pekerjaan” selepas alam pengajian. Ia perlu menjadi sebahagian agenda pendidikan di peringkat menengah dan universiti.

(d) Menggalakkan lagi aktiviti kreatif dan inovasi sebagai sumber pertumbuhan juga merintis peluang kepada golongan belia untuk mencipta kerjaya dan pendapatan sendiri; bukan semata-mata menekankan kecekapan kos dan pergantungan pada tenaga kerja yang murah serta makan gaji.

(e ) Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk sektor berkemahiran tinggi disamping pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana sebagai perangsang yang lebih berkesan ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

(f) Memberdayakan lagi peluang kerjaya di bidang pertanian bersifat lebih kormesial dan keusahawanan dengan menyediakan kemudahan dan pasaran yang lebih kondusif. Dengan sumber bumi yang banyak dan tanah yang subur pertanian sewajarnya diberi ruang menjadi antara kerjaya pilihan siswazah dan belia.

Apabila Allah bercerita tentang pertanian dalam surah Yaasin ayat 33 dan 34, Allah menyebut:

لِيَأْكُلُوا مِنْ ثَمَرِهِ وَمَا عَمِلَتْهُ أَيْدِيهِمْ أَفَلا يَشْكُرُونَ
“Untuk mereka makan daripada hasilnya dan apa yang dikerjakan oleh tangan mereka, justeru, tidakkah mereka bersyukur?”

(g) Menyelesaikan kemelut ekonomi rakyat yang boleh memberi kesan kepada peluang pekerjaan dengan menghapuskan sistem percukaian GST yang menjadi sebab kenaikan inflasi dan memperkukuhkan lagi nilai mata wang negara.

9. Kerajaan juga digesa agar memberikan perhatian serius terhadap apa yang disuarakan oleh Presiden PAS mengenai perkara ini dalam artikel beliau bertajuk “Peluang Pekerjaan Atasi Pengangguran”. Antaranya :

(a) Kewajipan manusia yang berbeza ilmu dan kemahiran untuk saling bantu-membantu mengusahakan sumber yang disediakan oleh Allah bagi mencukupkan keperluan semua dan menambah pesat kemajuan.

(b) Pengurusan ekonomi dan pentadbiran negara berasaskan keimanan dan ketakwaan sehingga dikurniakan keberkatan yang mendatangkan faedah bagi kehidupan di dunia dan di akhirat.

(c) Penghapusan amalan monopoli dan kronisme kerana menjadi akibat ketidakseimbangan agihan ekonomi dalam kalangan rakyat.

Sekian.

“Sejahtera Bersama Islam”