Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Pelajar Tahfiz Ittifaqiyyah – Allah Menyayangi Kalian

2850
SHARE

Pelajar Tahfiz Ittifaqiyyah – Allah Menyayangi Kalian

27 Februari 2018, Kuala Lumpur : “Zun Nun” – Sungguh indah nama diberi. Menurut Puan Fatimah ibu kepada adik Zun Nun, nama itu diambilnya dari buku sirah nabi yang dibacanya ketika sedang mengandung adik Zun Nun. Adik Zun Nun adalah anak kedua Puan Fatimah yang juga merupakan salah seorang pelajar tahfiz Ittifaqiyyah yang terselamat dari kebakaran 5 bulan yang lalu.

Sabtu yang lalu, pada 25 Februari 2018, Skuad Prihatin Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKK DMPM) sekali lagi meneruskan ziarah serta menyampaikan sumbangan orang ramai yang masih berbaki kepada mangsa dan waris mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqiyah Dato’ Keramat.

Kira-kira pukul 10 pagi, kami bersama Timbalan Pengerusi Lajnah LKK DMPM, Puan Zurina sampai di rumah Puan Fatimah di PPR Desa Rejang Kuala Lumpur. Kami disambut dengan ramah sekali oleh Puan Fatimah. Kami dibawa ke ruang tamu dan duduk bersama adik Zun Nun yang sedang menikmati sarapannya.

Adik Zun Nun kelihatan sihat semasa ziarah pagi itu, namun siapa tahu apa yang tersembunyi di hatinya berikutan trajedi kebakaran tersebut. Pada mulanya, adik Zun Nun keberatan untuk berkongsi cerita tentang hari kejadian, namun setelah beberapa ketika, dengan tenang dia mula menceritakan sedikit demi sedikit tentang keadaan yang dia sendiri alami semasa kejadian itu.

Adik Zun Nun merupakan pelajar tingkatan 3 yang cedera terbakar di bahagian belakangnya. Dia juga antara pelajar yang telah berjaya menyelamatkan diri dengan menggelongsor melalui batang paip di tepi bangunan Pusat Tahfiz. Menurut adik Zun Nun, dia adalah orang yang terakhir turun pada ketika itu.

Bahagian belakang adik Zun Nun melecur teruk, sambil dia mengangkat bajunya dan menunjukkan pada kami keadaan bahagian belakangnya. Menurut ibunya Puan Fatimah, apa yang peliknya, baju Zun Nun, tidak terbakar langsung pada hari kejadian. Tetapi badannya melecur hanya akibat bahang panas asap kebakaran.

Saya tergerak untuk bertanya pada adik Zun Nun kenapa tadi pada mulanya adik Zun Nun tidak mahu berkongsi cerita dan adik Zun Nun kata kalau boleh hendak lupakan semuanya. Dia hanya tersenyum kecil dan tunduk ke lantai. Puan Fatimah menjawab bagi pihak Zun Nun kata Puan Fatimah, dia masih belum dapat menerima kehilangan adiknya yang juga salah seorang Syahid dalam kebakaran tersebut. As-Syahid Muhammad Nizamudin satu-satunya adiknya yang paling akrab dengannya. Ke mana sahaja mereka pergi, mereka sentiasa bersama.

As-Syahid Nizamudin merupakan seorang anak yang sangat baik, berakhlak dan taat kepada ibu bapa. Adik Zun Nun dapat tahu bahawa adiknya sudah tiada selepas 5 hari dia terlantar di atas katil Hospital. Bermula dari hari pertama lagi dia sering bertanya tentang adiknya selepas kejadian itu. Tetapi, atas nasihat doktor sebaik-baiknya perkara itu dirahsiakan dahulu dari adik Zun Nun sehingga emosinya benar-benar stabil. Namun, hati seorang ibu tidak sampai hati melihat Zun Nun yang sering merindui adiknya dan setiap hari minta untuk berjumpa adiknya.

Akhirnya Puan Fatimah memberitahu kepada Zun Nun tentang adiknya dengan penuh hikmah. Adik Zun Nun pada ketika itu, hanya mampu menerima berita itu dengan lelehan air mata. Semenjak itu, adik Zun Nun tidak dapat melelapkan matanya pada waktu malam. Bila ditanya ibunya kenapa tidak tidur, jawapan adik Zun Nun sangat meluluhkan hati; “Sebab Zun Nun seorang abang yang gagal ummi. Zun Nun gagal untuk selamatkan adik”.

Di sebabkan itu juga, adik Zun Nun hampir putus asa dan tidak mahu lagi ke sekolah. Katanya, dia tidak ada kawan rapat. Satu-satunya kawan rapatnya adalah adiknya As-Syahid Muhammad Nizamudin. Mujur ada kakaknya yang juga pelajar Tahfiz yang selalu memberi motivasi kepadanya. In shaa Allah adik Zun Nun akan mula semula ke sekolah Tahfiz yang sama dengan kakaknya di Shah Alam bulan hadapan.

Adik Zun Nun kemudiannya masuk ke dalam dan meninggalkan kami di ruang tamu yang sedang khusyu’ mendengar perkongsian dari ibunya Puan Fatimah. Menurut Puan Fatimah, tidak terungkap bagaimana perasaan beliau kehilangan anak bongsunya, As-Syahid adik Muhammad Nizamudin. Pada hari kejadian, dia dan suaminya bergegas ke tempat kejadian. Mereka hanya mampu melihat dari bawah bangunan, api yang sedang marak di tingkat 3 bangunan tersebut.

Pada ketika itu, matanya tidak beralih dan hanya memandang ke arah tingkap tempat anaknya tidur. Sambil di dalam hatinya tidak putus berdoa dan berharap akan nampak kelibat anaknya keluar dari bangunan tersebut. Tidak mengapa kalau keluar dalam keadaan cedera asalkan anaknya masih hidup dan sempat melihat senyuman anaknya.

Lama dia memandang ke arah tingkap yang berjeriji tersebut, tiba-tiba Allah makbulkan doanya. Dia melihat adik Nizamudin sedang berdiri di tingkap di sebalik jeriji sambil melambai-lambai tangan ke arahnya. Terukir senyuman di wajah bersih adik Nizamudin sehingga menampakkan giginya yang putih dengan pakaian yang serba putih. Lambaian tersebut seolah-olah dia ingin menyatakan selamat tinggal kepada ibunya.

Beberapa saat kemudian, adik Nizamudin berlalu pergi sehingga hilang dari pandangan ibunya. Kemudian, suami Puan Fatimah datang dan memberitahu Puan Fatimah bahawa adik Nizamudin sudah tiada. Puan Fatimah menafikan berita yang disampaikan suaminya kerana dia baru sahaja melihat adik Nizamudin berdiri di tingkap tersebut dalam keadaan baik sahaja.

Anak sulung Puan Fatimah, adik Zun Nur yang juga merupakan pelajar Tahfiz, sama seperti adik Zun Nun yang pada mulanya sukar menerima akan kehilangan adik mereka. Semangat belajar dan menghafaz kian pudar. Mereka sangat merindui adik mereka. Melalui perkongsian adik Zun Nur pada ibunya; satu malam, sedang adik Zun Nur menghafaz Quran, dia tertidur di atas rehal. Tidur yang hanya 5 minit itu terasa sangat panjang kerana dia bermimpi bertemu adiknya As-Syahid Nizamudin.

Dia melihat adiknya diterbangkan di tempat yang tinggi sambil dia melambai-lambaikan tangannya pada kakaknya. Wajahnya sangat tenang dan bersih sambil tersenyum pada kakaknya. Agak lama dia berborak-borak dan melepaskan kerinduan pada adiknya di tempat yang indah tersebut. Di akhir mimpi, adiknya ingin mencapai tangan kakaknya, namun kemudian adik Zun Nur terjaga dari tidur dalam keadaan tersenyum.

Pada ketika itulah, adik Zun Nur sedar bahawa itu merupakan hadiah yang paling istimewa dari Allah kerana menemukan dia dan mengubat kerinduannya pada adiknya. Mimpi tersebut ternyata memberi satu semangat baru kepada adik Zun Nur untuk meneruskan hafazannya dan akan terus memberi motivasi kepada adiknya Zun Nun.

Puan Fatimah juga sering berdoa kepada Allah agar dikurniakan mimpi bertemu anak bongsunya, dan Alhamdulillah, Puan Fatimah sudah beberapa kali mengalami mimpi indah bertemu anaknya di tempat yang sangat indah dalam masa 5 bulan ini.

Di akhir pertemuan itu, Puan Zurina selaku Timbalan Pengerusi LKK DMPM menyampaikan sumbangan kepada Puan Fatimah.

Pada 17 Februari 2018, terdahulu dari ziarah adik Zun Nun ini juga, LKK DMPM bersama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh telah menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada beberapa keluarga adik-adik Tahfiz Ittifaqiyyah yang terlibat dalam kebakaran itu. Mereka adalah:

1. Adik Muhammad Haqimie Hairul Izwan, 11 tahun di Keramat Hujung. Sumbangan disampaikan kepada ibunya Puan Norazlin Abd Aziz.

2. Adik Azkar Abiedi F. Zaska, 11 tahun dan Adik Azkar Dariemi F. Zaska, 8 tahun di Klang. Sumbangan di sampaikan kepada ibu mereka Puan Emmi Farizah Aziz.

3. Adik Muhammad Aidil Aqmal Mohd Zamzuri, 10 tahun di Keramat Hujung. Sumbangan disampaikan kepada bapanya iaitu Sarjan Zamzuri.