Oleh : Abdullah Somad
LABUAN, Isnin: Empat (4) wakil PAS Kawasan Labuan menerima watikah Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Labuan sesi 2020 / 2021 yang berlangsung di Wisma Perbadanan Labuan kelmarin.
Majlis penerimaan watikah ini disempurnakan oleh YB Tan Sri TPr Annuar Musa selaku Menteri Wilayah persekutuan Labuan. Seramai 18 orang penerima watikah dalam majlis tersebut yang terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha Zon dan 5 Sub Zon di Labuan.
YB Tan Sri berharap agar agenda Kerajaan dapat dirasai oleh seluruh rakyat Labuan melalui MPPWP yang telah dilantik dan MPPWP perlu membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
“MPPWP adalah jambatan kepada rakyat dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menyalurkan segala masalah yang dihadapi di setiap kampung. Saya mengharapkan juga kerjasama antara Kerajaan dan rakyat terutamanya dalam menangani isu kos saran hidup dan hilang pendapatan dalam pandemik COVID-19,” katanya.
Antara wakil PAS Kawasan Labuan yang menerima watikah tersebut adalah Tuan Haji Hadnan Mohammad telah ditaklifkan sebagai Timbalan Pengerusi Zon, Encik Abdul Rahim Mohd Salleh ditaklifkan sebagai Pengerusi Sub Zon 1, Encik Ahmad Junid@Junit Aling ditaklifkan sebagai Pengerusi Sub Zon 4 dan Encik Jenno Jamil ditaklifkan sebagai Setiausaha Sub Zon 3.
Yang Dipertua PAS Kawasan Labuan, Haji Hamir Haji Zahari mengucapkan tahniah dan takziah kepada wakil-wakil PAS yang telah menerima watikah MPPWP.
“Semoga wakil-wakil PAS dalam MPPWP dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan cemerlang. Membantu rakyat daripada pelbagai sudut semampu yang mungkin tanpa mengira apapun latar belakang,” katanya.