Home Berita PAS Melaka

4 lagi PASTI baharu dibuka di Melaka tahun ini

197
SHARE
Ustaz Mohd Norfaizal Nordin

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 24 Mac: Sebanyak empat buah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) baharu telah dibuka pada sesi ini, kata pengarahnya, Ustaz Mohd Norfaizal Nordin.

Menurut beliau, ini menjadikan jumlah PASTI yang beroperasi di seluruh Negeri Melaka pada sesi ini meningkat kepada 85 buah.

“Dua daripada PASTI baharu ini ialah di Kawasan Jasin iaitu PASTI Ibnu Talib dan Ar Rasyiden. Sebuah di Kawasan Hang Tuah Jaya iaitu PASTI Ibnu Rusyb. Sebuah lagi di Tangga Batu iaitu PASTI Al Fatah-2.

“Jadi yang terkini di Kawasan Jasin kita ada jumlah 18 buah premis PASTI; Hang Tuah Jaya ada 18 buah; Kota Melaka ada 11 buah; Masjid Tanah ada sembilan buah; Alor Gajah ada 13 buah dan Tangga Batu ada 16 buah,” ujar beliau ketika dihubungi WARM-Berita PAS hari ini.

Tambah beliau, seramai 4292 pelajar telah mendaftar di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) seluruh Melaka tahun ini, meningkat hampir 500 orang berbanding 3800 orang pada tahun lepas.

Kata Ustaz Faizal lagi, pada sesi ini terdapat seramai 326 orang guru dan 60 orang pembantu guru bagi menggerakkan operasi PASTI seluruh Melaka.

Beliau turut menzahirkan harapan agar semua pelajar dapat mencapai sasaran penguasaan ‘Membaca, Mengira, Menulis, Menghafal dan Mengenal Huruf’ seperti yang ditetapkan.

“Kita nak kejar balik semula pembelajaran yang tertinggal akibat daripada pendemik Covid-19 supaya pelajar-pelajar PASTI dapat mengikut semula pembelajaran mengikut takwim yang telah ditetapkan.

Ustaz Norfaizal.ketika mengadakan lawatan ke salah sebuah PASTI pada hari pertama persekolahan.

“Dan insya-Allah ia akan dilakukan dengan pemantauan penaziran yang agak tersusun lepas ini,” ujar beliau yang baru dilantik sebagai Pengarah PASTI Melaka bermula sesi ini.

Beliau turut menyatakan komitmen bahawa pentadbiran PASTI Melaka pada kali ini akan mengemas kini semula sistem data dan pengurusan PASTI cawangan selaras dengan kehendak PASTI Pusat.