Home Berita PAS Sabah

350kg daging korban diagihkan di Kunak

162
SHARE

Oleh : Suziana Ghani
12 Julai 2022

KUNAK : Majlis Tindakan DUN (MTD) PAS Kunak telah menganjurkan Korban Perdana di SRITI Al Falah, di sini pada ahad.

Menurut Timbalan Yang Dipertua PAS Lahad Datu, Kasman Karate, tahun ini merupakan tahun ke 10 ibadah korban ini dilaksanakan dan pada tahun ni 350kg daging serta 70 kampit beras telah diagihkan kepada masyarakat setempat.

Sebanyak lapan ekor lembu telah ditumbangkan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Lestari, Kelab Belia Kampung Bagiang, Dai Yayasan Amal Malaysia serta PAS Cawangan Pekan dan Mostyn yang melibatkan 80 orang tenaga kerja.

“Bagi kami program ini bertemakan misi penyelamat dan kasih sayang, untuk semua lapisan masyarakat yang memerlukan kerana kami berusaha untuk menyerahkan daging korban ini untuk mereka yang kurang berkemampuan.

“Saya berharap usaha ini dapat diteruskan di masa akan datang yang melibatkan semua lapisan masyarakat bagi wujudkan rasa kecintaan sesama insan,” ujarnya yang juga Ketua Pemaju Mukim UPPM Kunak.

Menurut Kasman lagi, sebanyak 100kg daging telah diagihkan di Kampung Bagiang, 50kg di Kampung Palauh manakala selebihnya untuk asnaf sekitar daerah Kunak bersama sekampit beras untuk setiap keluarga.