Home Berita PAS Pahang

Peruntukan disekat kerajaan menyebabkan wakil rakyat sukar menjalankan tugas – Andansura

236
SHARE

OLEH: LIZA ALI

INDERA MAHKOTA, 24 Jun ♦ “Ya betul, saya rasa ralat dan sedih bila banyak permohonan bantuan dan sumbangan daripada para pengundi DUN yang saya wakili tidak dapat saya penuhi sejak kebelakangan ini,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu ketika dihubungi semalam.

Beliau mengesahkan apa yang ditulisnya di laman Facebook miliknya kelmarin.

“Saya memohon banyak-banyak maaf kepada semua yang memohon kerana kami betul-betul tiada keupayaan untuk membantu di sudut kewangan,” ujar beliau.

Andansura merujuk kepada perubahan dasar bantuan kewangan kerajaan negeri Pahang yang baharu (BN-PH) sejak tahun lalu bila mana peruntukan untuk wakil rakyat bukan kerajaan (PN) telah tidak disalurkan kepada rakyat yang berhak.

“Peruntukan yang disekat menyebabkan keadaan telah menjadi sulit bagi wakil rakyat untuk menjalankan tugas,” katanya.

Beliau menambah, banyak permohonan tidak dapat dipenuhi seperti Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), sekolah, kelab, kumpulan nelayan, surau, wakil penduduk, dan tidak ketinggalan orang perseorangan.

“Pihak kami terpaksa mengumpul dana sendiri seperti masa dahulu. Masalahnya pertambahan jumlah pengundi yang mendadak pada PRU15 yang lalu menyebabkan ada di antara mereka yang tidak dapat dibantu, seolah-olah hak mereka dinafikan, padahal mereka juga adalah pembayar cukai kepada kerajaan.

“Kerajaan telah gagal memahami maksud peruntukan bagi kegunaan wakil rakyat yang telah dilantik kerana memenangi pilihan raya lalu. Peruntukan yang diharapkan bukan untuk kegunaan kami, sebaliknya utk kepentingan ramai,” tegasnya lagi.

Beliau menambah, kerajaan negeri juga telah membelakangkan titah KDYMM Pemangku Raja Pahang yang menyeru kerajaan agar memberi peruntukan kepada semua wakil rakyat.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dalam titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN pada 8 Mei lalu, antaranya menitahkan kerajaan negeri memberikan peruntukan adil kepada ADUN pembangkang.

Menurut Andansura, sebanyak 70 peratus peruntukan digunakan untuk kepentingan rakyat di mana 40 peratus untuk kebajikan dan 30 peratus untuk menangani pelbagai masalah yang melibatkan masalah setempat.

Beliau berharap supaya pihak-pihak yang mengharapkan bantuan atau sumbangan kewangan agar dapat memahami kedudukan beliau itu.

Rujukan: https://www.facebook.com/100063680255326/posts/pfbid02mLrPaxY33p7sftnujZKB65ghCrdZ3eZGHSxVVhCa7EsmGtjivDYPLcRrfgLm9gExl/?mibextid=cr9u03