Home Berita PAS Wilayah

25 pelajar terima tablet, pakej Internet

91
SHARE

Oleh MUHAMMAD ABDUL FATEH

WANGSA MAJU, 23 Ogos: PAS Kawasan Wangsa Maju mengedarkan bantuan pakej tablet dan data Internet kepada 25 pelajar semalam di Pejabat PAS Kawasan Wangsa Maju.

Bantuan berkenaan bertujuan membantu mereka mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dengan lebih berkesan.

Sumbangan tablet tersebut disempurnakan oleh Penyelaras Parlimen Wangsa Maju, YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh (YB Kak Nuri).

“Dengan keadaan sistem pendidikan yang berubah dengan mendadak sebaik pandemik Covid-19 melanda, semua pihak perlu mengambil peranan masing-masing dalam memikir dan menyediakan keperluan asas alat pembelajaran.

“Sehubungan itu, dalam Belanjawan 2021, Kerajaan Perikatan Nasional telah memasukkan pakej tablet ini selain daripada bantuan tunai kepada ketua keluarga yang layak.

“Kita akan ada lagi fasa bantuan seterusnya yang kini dalam proses mengenalpasti mereka yang layak dan benar-benar memerlukan agar setiap mereka daripada keluarga yang berpendapatan rendah ini memiliki sekurang-kurangnya satu peranti,” ujarnya.

Beliau yang juga mewakili PAS Kawasan Wangsa Maju turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Perikatan Nasional dan Yayasan Kebajikan Negara atas inisiatif 1 Tablet 1 Keluarga ini dan berharap ia dapat diperluas dari semasa ke semasa.

Hadir sama ialah YDP PAS Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud, Setiausaha PAS Wangsa Maju, Hairul Anuar dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Wangsa Maju, Muhd Nur Azmi Yusuf.