Home Kenyataan Media PAS Pahang

Kenyataan Media | Selamatkan Masyarakat Daripada Bahana Arak

104
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PAHANG
3 November 2021 | 27 Rabiulawal 1442H

SELAMATKAN MASYARAKAT DARIPADA BAHANA ARAK

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang merakamkan setinggi tahniah kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas ketegasan dalam memperketatkan penjualan minuman keras melalui garis panduan dan syarat permohonan lesen minuman keras Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berkuatkuasa serta merta bermula 1 November 2021 yang lalu. Kami sangat mengarapkan langkah ini menjadi contoh dan tanda aras baru kepada badan-badan berautoriti yang lain terutamanya kerajaan Negeri Pahang dalam usaha ke arah bebas arak di semua peringkat.

2. Hal ini adalah selari dengan penegasan kami dalam kenyataan media DPPNP bertarikh 26 Mei 2020 yang mencadangkan agar lesen pengeluaran dan penjualan arak yang baru dihentikan serta merta sebagai langkah berperingkat ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara bebas arak untuk jangka masa akan datang. Cadangan ini kami tegaskan susulan kematian Allahyarham Irwan Herman (41 tahun) yang telah terkoran akibat dilanggar sebuah kereta yang dipandu secara melawan arus di Jalan Pintasan Kuantan yang dipandu oleh seorang individu mabuk semasa dalam perjalanan ke tempat kerja. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

2. Gejala alcoholism atau ketagihan arak sehingga memudaratkan diri dan orang lain akan terus merosakkan komuniti masyarakat negara ini jika tidak segera diambil tindakan drastik bagi menanganinya. Gejala ini bukan sahaja akan menyebabkan kemalangan akibat pemandu mabuk, malahan boeh menimbulkan pelbagai penyakit sosial yang lain seperti membunuh, membunuh diri, keruntuhan institusi keluarga, penderaan dan sebagainya.

3. Mengikut kajian Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UN Report 201), arak telah membunuh lebih daripada 3 juta manusia setahun di seluruh dunia melebihi kadar kematian yang disebabkan penyakit AIDS dan Tibi. Data ini juga merangkumi kematian yang disebabkan oleh pemabuk seperti kemalangan, penderaan, wabak peyakit dan lain-lain. Perkara ini cukup menggambarkan kepada kita betapa kritikalnya isu arak yang mampu untuk menghancurkan tamadun manusia moden hari ini jika tidak ditangani dengan sebaiknya.

4. Di samping itu, kami juga sangat prihatin dengan nasib keluarga kepada individu yang terpalit dengan gejala ketagihan arak dan juga keluarga kepada mangsa yang disebabkan oleh individu yang terlibat dengan arak yang membawa kepada kematian dan kecacatan. Perkara ini boleh menjerumuskan kepada kesan jangka masa panjang buat keluarga yang terlibat termasuklah kehancuran institusi keluarga, kehilangan kasih sayang, hilang mata pencarian, anak-anak terabai dan hilang tempat pergantungan untuk selama-lamanya.

5. Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang mencadangkan agar semua umat Islam kembali kepada syariat Islam yang jelas mengharamkan arak sebagai minuman kerana langsung tidak mendatangkan kebaikan dan faedah kepada manusia. Besar harapan kami untuk melihat negara ini yang majoritinya beragama Islam tampil dengan imej sebuah negara yang bebas arak sepenuhya.

Marilah kita bersatu untuk selamatkan masyarakat dan negara ini daripada kebatilan dengan bersama kembali kepada fitrah syariat agama Islam.

“Islam Memimpin”
“Memacu Perpaduan”

Ustaz Aireroshairi Roslan
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP)

Dipetik dari:
https://www.facebook.com/210212482508598/posts/1747390608790770/?d=n

#PemudaPAS
#MemacuPerpaduan