Minda Presiden

POLITIK KETETAPAN ALLAH YANG BERSIH

Minda Presiden PAS
[Bil: 8 / 2026]
POLITIK KETETAPAN ALLAH YANG BERSIH


ALLAH merupakan Pencipta alam, termasuk Pentadbirnya (رب العالمين). Ini merupakan sebahagian daripada aqidah tauhid yang dinamakan Tauhid Rububiyyah dan menjadi fitrah manusia, sepertimana dinyatakan oleh firman Allah SWT:

وَلَئِن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُۚ قُلۡ أَفَرَءَيۡتُم مَّا تَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ إِنۡ أَرَادَنِيَ ٱللَّهُ بِضُرٍّ هَلۡ هُنَّ كَٰشِفَٰتُ ضُرِّهِۦٓ أَوۡ أَرَادَنِي بِرَحۡمَةٍ هَلۡ هُنَّ مُمۡسِكَٰتُ رَحۡمَتِهِۦۚ قُلۡ حَسۡبِيَ ٱللَّهُۖ عَلَيۡهِ يَتَوَكَّلُ ٱلۡمُتَوَكِّلُونَ ٣٨

“Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka, ‘Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?’, nescaya mereka menjawab, ‘Allah.’ Katakanlah, ‘Maka, terangkanlah kepadaku tentang apa yang kamu seru selain Allah, jika Allah hendak mendatangkan kemudaratan kepadaku, apakah berhala-berhalamu itu dapat menghilangkan kemudaratan itu, atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, apakah mereka dapat menahan rahmat-Nya?’ Katakanlah, ‘Cukuplah Allah bagiku.’ Kepada-Nya sahaja bertawakal orang-orang yang berserah diri.” [Surah al-Zumar: 38]

Kepercayaan kepada adanya Allah sebagai Pencipta dan Pentadbir alam menjadi fitrah manusia berbagai-bagai agama, termasuk juga yang tidak beragama.

Perkataan Allah merupakan nama yang termulia dan paling tinggi, tiada tandingan dan bandingan baginya, serta tidak dapat diterjemahkan kepada mana-mana bahasa pun dengan maknanya yang sempurna.

Di samping itu, nama Allah juga disebut berulang kali dalam beberapa surah dan diucapkan pada setiap rakaat ibadah solat melalui Surah al-Fatihah. Hal ini menunjukkan nama Allah mempunyai maksud yang lebih luas, merangkumi aspek undang-undang dan hukum alam semesta.

Allah SWT telah menetapkan ke atas setiap makhluk ketentuan masing-masing yang wajib dipatuhi sebagai suatu bentuk ibadah (memperhambakan diri). Termasuklah makhluk manusia mengikut sifat kejadian masing-masing yang menjadi tanda kekuasaan Allah, sehingga tidak boleh diciptakan undang-undang lain tanpa keizinan-Nya. Firman Allah SWT:

أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١

“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (daripada Allah) tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Syura: 21]

Khususnya dalam aspek fitrah alam (naluri) yang merangkumi sifat semula jadi, setiap makhluk mengikut undang-undang fitrah kejadian masing-masing. Adanya perbezaan antara alam langit dengan alam bumi, alam nyata dengan alam ghaib, alam manusia yang berakal dengan alam binatang yang tidak berakal, alam binatang yang bernafsu tanpa akal, dan alam jamadat (beku tidak bergerak) seperti bukit bukau, gunung-ganang, serta alam tumbuhan. Namun begitu, semuanya menyerah diri kepada Allah (Islam). Firman Allah SWT:

أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ ٨٣

“Maka, apakah mereka mencari agama yang lain daripada agama Allah, padahal kepada-Nya jua menyerahkan diri (Islam) segala apa yang ada di langit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan.” [Surah Ali ‘Imran: 83]

Maka, Islam ialah agama bagi seluruh alam dan semua nabi pilihan Allah.

Antara alam ciptaan Allah ialah manusia yang bersifat dengan sifat fitrahnya yang tersendiri seperti memiliki jasad yang bernyawa dan mampu bergerak, berakal dan bernafsu, serta boleh hidup bermasyarakat. Daripada kejadiannya, terkandung beberapa hikmah, iaitu beribadah, berkhilafah (politik mentadbir) dan menunaikan amanah keadilan dengan melaksanakan hukum Allah. Firman Allah SWT:

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” [Surah al-Baqarah: 30]

Perkara ini diisytiharkan di hadapan para malaikat, makhluk yang paling suci dan paling taat, yang sentiasa berlumba-lumba melaksanakan ketaatan kepada Allah dan tidak sekali-kali derhaka menurut fitrah kejadian mereka. Maka, Allah berfirman menerangkan kepada para malaikat bahawa manusia diberikan ilmu dunia yang tidak ada pada diri mereka.

Firman Allah SWT:

وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ فَقَالَ أَنۢبِ‍ُٔونِي بِأَسْمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٣١ قَالُواْ سُبۡحَٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَآ إِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡحَكِيمُ ٣٢ قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ أَنۢبِئۡهُم بِأَسۡمَآئِهِمۡۖ فَلَمَّآ أَنۢبَأَهُم بِأَسۡمَآئِهِمۡ قَالَ أَلَمۡ أَقُل لَّكُمۡ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ غَيۡبَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَأَعۡلَمُ مَا تُبۡدُونَ وَمَا كُنتُمۡ تَكۡتُمُونَ ٣٣

“Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para malaikat lalu berfirman, ‘Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar!’ (31) Mereka menjawab, ‘Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.’ (32) Allah berfirman, ‘Wahai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini!’ Maka, setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman, ‘Bukankah sudah Aku katakan kepadamu, bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi, dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?’ (33)” [Surah al-Baqarah: 31-33]

Dalam urusan agama, terkandung dalamnya tugas mentadbir urusan dunia yang dinamakan khilafah, dan ditafsirkan oleh hadis-hadis dengan perkataan siasah (politik). Antaranya, sabda Rasulullah SAW:

‌كَانَتْ ‌بَنُو ‌إِسْرَائِيلَ ‌تَسُوسُهُمُ ‌الْأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ.

“Kaum Bani Isra’il pada zaman dahulu ditadbir (politik) oleh para nabi. Apabila seseorang nabi wafat, diganti pula oleh nabi selepasnya. Tiada lagi nabi selepas aku (Muhammad SAW), namun akan ada para pemimpin dan jumlah mereka ramai.”

قَالُوا: فَمَا تَأْمُرُنَا؟ قَالَ: فُوا بِبَيْعَةِ الْأَوَّلِ فَالْأَوَّلِ، أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ، فَإِنَّ اللهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ.

Para sahabat bertanya, “Apakah perintahmu (pesananmu) kepada kami?” Baginda menjawab, “Tunaikanlah baiah kepada yang pertama dan diikuti selepasnya. Tunaikanlah hak kamu (kewajipan kamu) terhadap mereka (ketaatan dalam perkara tidak bersifat maksiat). (Pohonlah kepada Allah perkara yang menjadi hak kamu), sesungguhnya Allah akan menyoal mereka berkenaan hak kamu yang wajib ditunaikan oleh mereka.” [Muttafaq ‘Alayh: Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya’, no. 3455, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, no. 1842, daripada Abu Hurairah. Lafaz bagi al-Bukhari]

Maka, wajib menurut al-Quran dan Sunnah, serta ijmak para ulama’ sahabat dan tabiin, adanya urusan melantik pemerintah negara (politik).

Allah menegaskan adanya para pemimpin yang mendapat hidayah-Nya dan sabar dalam perjuangan, serta mereka akan dihisab pada Hari Kiamat kelak, sepertimana firman-Nya:

وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْۖ وَكَانُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَا يُوقِنُونَ ٢٤ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفۡصِلُ بَيۡنَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ فِيمَا كَانُواْ فِيهِ يَخۡتَلِفُونَ ٢٥

“Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar (berjuang). Dan mereka meyakini ayat-ayat Kami. (24) Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah yang memberikan keputusan antara mereka pada Hari Kiamat tentang apa yang selalu mereka perselisihkan padanya. (25)” [Surah al-Sajdah: 24-25]

Sunnah ‘amaliah menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sendiri menegakkan negara serta memimpin pentadbirannya dengan petunjuk wahyu dan kebijaksanaan peribadinya yang luar biasa. Baginda SAW mengamalkan konsep ijtihad dan syura yang mampu menyelesaikan masalah yang muncul sepanjang zaman dan tempat bagi seluruh alam. Malah, beberapa ideologi ciptaan manusia telah mencuri teladannya, tetapi dengan menolak peranan agama dalam seluruh aspek kehidupan dunia.

Rasulullah SAW meletakkan pemimpin yang adil (politik mentadbir negara) pada kedudukan pertama daripada senarai tujuh golongan manusia yang mendapat naungan Allah pada Hari Kiamat nanti. Hal ini menunjukkan betapa mulianya kalangan yang menunaikan amanah melaksanakan hukum Allah Yang Maha Adil dalam urusan mentadbir (politik).

Maka, Allah meletakkan perintah mentadbir urusan umat manusia sebagai suatu amanah yang besar. Perkara ini dinyatakan oleh firman-Nya:

إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا ٧٢

“Sesungguhnya, Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya, manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” [Surah al-Ahzab: 72]

Firman Allah SWT lagi:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. [58] Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya), dan ulu al-amr antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” [Surah al-Nisa’: 58-59]

Amanah yang terbesar bagi menegakkan keadilan ialah politik mentadbir negara. Inilah ajaran Islam yang diperjuangkan oleh para anbiya’ dan rasul yang dilantik oleh Allah untuk menjadi teladan dan memimpin manusia ke jalan yang lurus. Firman Allah SWT:

كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ ٢١٣

“Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka, Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]

Allah memilih para anbiya’ dan rasul yang wajib bersifat benar, amanah, berani menyampaikan, dan memiliki kebijaksanaan luar biasa bersama tanda mukjizat, serta dikawal oleh wahyu (maksum).

Semua perkara tersebut menjadikan politik Islam yang paling bersih, adil dan sempurna. Bahkan, tiada kekurangan dan kelemahan sedikit pun padanya walaupun sekecil-kecilnya yang dikesan oleh musuh, melainkan secara pembohongan, penipuan dan fitnah.

Tuduhan politik itu kotor adalah ajaran sesat yang dimasukkan oleh penjajah yang mengotorkan politik dengan memisahkan politik daripada agama Allah (Islam) yang dibawa oleh para rasul dan anbiya’.

Allah menghukum mereka yang beramal dengan ajaran Islam yang tidak sempurna itu sebagai mereka yang mengikut jejak langkah syaitan yang menyesatkan manusia. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu menurut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” [Surah al-Baqarah: 208]

Allah menunjukkan kemusnahan yang berlaku secara meluas akibat ideologi yang memisahkan politik daripada agama di seluruh dunia kerana telah terpesong dari jalan petunjuk Allah. Firman Allah SWT:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]

Berlaku kemusnahan sifat kemanusiaan sehingga menjurus kepada kebinatangan, keruntuhan akhlak dan kemusnahan alam sekitar di seluruh dunia, bukan sahaja di darat malah di laut. Sedangkan Allah telah meletakkan manusia supaya mentadbir kedua-duanya dengan petunjuk Allah, tetapi mereka terus mencipta undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh-Nya kerana tidak mampu dicapai oleh kemampuan akal dan berada di luar sempadan fitrah mereka.

Sebenarnya, manusialah yang mengotorkan politik yang bersih, dengan hawa nafsu kebinatangan yang merosakkan akal dan lain-lain perkara yang mulia yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Firman Allah SWT:

۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا ٧٠

“Dan sesungguhnya, telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki daripada sumber yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” [Surah al-Isra’: 70]

Namun, ada kalangan manusia yang lebih hina daripada binatang yang tidak berakal. Firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩

“Dan sesungguhnya, Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Surah al-A‘raf: 179]

Kita menyaksikan dalam dunia kini kalangan manusia yang hidupnya lebih bebas daripada binatang seperti kalangan yang mengamalkan LGBT, dan syarikat yang mengeluarkan ubat-ubatan yang menambahkan penyakit demi keuntungan perniagaan. Malah, berlakunya peperangan yang lebih ganas daripada binatang buas dengan mencipta senjata pemusnah yang diharamkan oleh Allah, sehingga berperang tanpa sempadan perikemanusiaan. Firman Allah SWT:

وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]

Politik dalam Islam adalah amalan soleh yang bersih, apabila amanah itu dilaksanakan dengan iman, akhlak yang mulia dan niat yang ikhlas.

Allah telah meletakkan prinsip tiga serangkai ini dalam Surah al-‘Asr, sepertimana firman-Nya:

وَٱلۡعَصۡرِ ١ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَفِي خُسۡرٍ ٢ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ ٣

“Demi masa. (1) Sesungguhnya, manusia itu benar-benar dalam kerugian. (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran. (3)” [Surah al-‘Asr: 1-3]

Ayat ini menerangkan konsep iman, amal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran dalam aspek diri sendiri dan bermasyarakat.

Iman adalah asas penerimaan amalan. Amalan yang soleh ialah mengerjakan perintah Allah, sama ada menyuruh dan melaksanakan yang baik ataupun mencegah dan meninggalkan yang haram. Adapun berpesan dan saling menasihati pula ialah amalan bermasyarakat madani, termasuklah berpolitik.

Ketiga-tiga perkara ini tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam yang berasaskan iman atau aqidah, amal dan akhlak mulia bagi membina insan (manusia). Apabila dipisahkan, maka berlaku kerosakan dan kejahatan yang menjadi amalan yang kotor sehingga merosakkan diri manusia dan alam semesta.

Ketiga-tiga aspek tersebut merupakan rantaian yang tidak boleh dipisahkan. Imam al-Syafi‘i RH pernah menegaskan:

لَوْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ حُجَّةً عَلَى خَلْقِهِ إِلَّا هٰذِهِ السُّورَةَ، لَكَفَتْهُمْ.

“Sekiranya Allah tidak menurunkan hujah (dalil) atas makhluk-Nya melainkan surah ini sahaja, nescaya ia sudah mencukupi bagi mereka.” [Al-Shafi‘i, Tafsir al-Imam al-Shafi‘i, jld. 3, hlm. 1461]

Sabda Rasulullah SAW:

كُلُّ ‌مَوْلُودٍ ‌يُولَدُ ‌عَلَى ‌الفِطْرَةِ، ‌فَأَبَوَاهُ ‌يُهَوِّدَانِهِ، ‌أَوْ ‌يُنَصِّرَانِهِ، ‌أَوْ ‌يُمَجِّسَانِهِ.

“Setiap kanak kanak yang dilahirkan asalnya bersih, (pendidikan) ibu bapanya jua yang mewarnai anaknya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jana’iz, no. 1358, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Qadr, no. 2658, daripada Abu Hurairah]

Manusia dilahirkan semasa bayinya dalam keadaan fitrah (suci bersih). Pelajaran dan pendidikannya selepas itulah yang mewarnai peribadinya, sama ada mulia dan bersih atau dikotorkan dalam segala aspek sepanjang kehidupannya secara individu, berkeluarga dan bermasyarakat.

Kekotoran itu berpunca daripada penyelewengan, akibat manusia terpesong dari jalan agama Islam yang lurus. Firman Allah SWT:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]

Maka, politik Islam adalah satu bidang daripada perkara yang berada di atas jalan yang lurus menurut ketetapan Allah Yang Maha Suci daripada segala sifat kekurangan dan kelemahan. Ia merupakan pancaran daripada sifat Ilmu-Nya yang dinyatakan daripada Kalam-Nya dan disebut dalam semua kitab-Nya yang dibawa oleh semua rasul yang wajib kita beriman kepada semuanya.

Allah menetapkan petunjuk yang nyata dalam politik Islam sehingga tidak boleh diselewengkan, ditipu dan dikelirukan, atau dicampuradukkan dengan kebatilan. Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١

“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka (Makkah) tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa, (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah jua kembali segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 40-41]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 10 Sya‘ban 1447 / 29 Januari 2026

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️