Artikel PimpinanPusat

PAS Parti Politik atau Gerakan Dakwah ?

1- Baru-baru ini dalam program Tamrin Asas PAS peringkat negeri Pahang saya menghuraikan konsep PAS sebagai parti politik dan gerakan dakwah.

2- Apabila PAS terlibat dengan politik pilihanraya, seolah-olah ia membataskan PAS untuk terlibat dalam lapangan lain seperti dakwah, pendidikan, kebajikan dan yang sewaktu dengannya.

3- Dalam pemikiran masyarakat, sebuah parti politik hanyalah terlibat dalam gerak kerja pilihanraya sahaja seperti kempen dan cula pengundi, menyediakan manifesto dan seumpamanya.

4- Sebenarnya itulah amalan mana-mana parti politik dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi pilihanraya tidak terkecuali PAS.

5- Setiap parti mengemukakan agenda perjuangan masing-masing untuk meyakinkan rakyat supaya menyokong dan mengundi parti tersebut dalam pilihanraya.

6- UMNO membawa tajuk nasionalisma Melayu.

7- DAP membawa tajuk Malaysian Malaysia.

8- PKR membawa tajuk kesamarataan dan keadilan untuk semua.

9- Begitulah seterusnya dengan hanya menyebut beberapa parti.

10- Adapun PAS membawa tajuk politik Islam.

11- Dalam ilmu dakwah, terdapat beberapa rukun utama; tajuk dakwah, pendakwah, orang yang didakwah (mad’u) dan uslub atau cara berdakwah.

12- Bagi PAS tajuk dakwah yang dibawa kepada rakyat Malaysia adalah POLITIK ISLAM.

13- Tajuk utama dakwah PAS bukan mengajak umat Islam ke masjid, membina sekolah agama, walaupun kesemuanya itu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin PAS di semua peringkat.

14- Politik Islam maksudnya; agama dan politik tidak boleh dipisahkan, tonggak negara hendaklah dipimpin oleh umat Islam, memelihara hak bukan Islam, memberi kebajikan kepada rakyat, menegakkan amar makruf dan nahi munkar, pentadbiran yang berintegriti dan lain-lain lagi.

15- PAS memperkenalkan konsep politik Islam dalam pelbagai bentuk dan kaedah sama ada ketika menjadi pembangkang mahupun dalam kerajaan.

16- PAS mengambil pendekatan politik damai melalui pilihanraya bukannya kekerasan kerana itulah yang diajar dalam politik Islam

17- Mad’u PAS adalah seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, keturunan, umur dan taraf kehidupan.

18- Dakwah PAS kepada umat Islam supaya memahami bahawa Islam dan politik tidak boleh dipisahkan.

19- Dakwah PAS kepada tonggak kepimpinan negara; orang Islam mestilah memimpin tampuk pemerintahan.

20- Dakwah PAS kepada masyarakat bukan Islam; hak mereka dalam beragama, bersosial, kebebasan bersuara, mengamalkan budaya masing-masing dijamin dalam politik Islam mengikut lunas undang-undang.

21- Dakwah PAS kepada seluruh rakyat Malaysia supaya boleh menerima sistem politik Islam yang merangkumi sistem pentadbiran, ekonomi, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan dan lain-lain lagi.

22- Menerima sistem politik Islam bukan bermaksud memeluk agama Islam.

23- Menerima sistem politik Islam bukan bermaksud merungkai sistem yang sedia ada yang kebanyakannya diwarisi dari penjajah British.

24- Menerima politik Islam bukan bermaksud menolak pembangunan.

25- Politik Islam membimbing pembangunan agar selari dengan fitrah manusia, rohani dan jasmani.

26- Sebahagian besar sistem di atas selari dengan sistem politik Islam seperti pemisahan kuasa, rakyat berhak memilih dan menegur dan lain-lain lagi yang terdapat dalam kerangka sistem politik demokrasi Barat.

27- Rakyat Jepun dan Korea boleh menerima sistem politik demokrasi Barat walaupun asing kepada mereka.

28- Rakyat China boleh menerima sistem ekonomi sosialisma Barat walaupun asing kepada mereka.

29- Mengapa rakyat Malaysia dari kalangan bukan Islam tidak boleh menerima sistem politik dan ekonomi Islam ?

30- PAS berdakwah dengan politik Islam dalam semua keadaan, sama ada ketika pembangkang mahupun berkerajaan.

31- PAS berjaya mendesak UMNO supaya meletakkan Islam sebagai agama negara ketika perlembagaan negara dibentuk.

32- PAS berjaya merubah beberapa agenda Islam dalam pentadbiran ketika berada dalam kerajaan perpaduan bersama UMNO dan lain-lain parti pada 1970an seperti melarang hidangan arak dalam program kerajaan.

33- PAS mendokong agenda pemerkasaan politik Islam yang dibawa oleh kepimpinan negara seperti penubuhan Felda, Tabung Haji, Bank Islam, Universiti Antarabangsa Islam dan lain-lain lagi.

34- Antara agenda pertama yang dilakukan oleh almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika menjadi Menteri Besar Kelantan ialah memindahkan akaun negeri kepada Bank Islam.

35- PAS membenarkan wanita menjadi calon dalam pilihanraya dan memposisikan mereka dalam pentadbiran kerana hak berpolitik untuk kaum wanita dijamin dalam politik Islam.

36- PAS membenarkan orang bukan Islam menjadi ahli dan calon kerana hak bukan Islam dalam berpolitik dijamin dalam politik Islam.

37- PAS memperkenalkan istilah-istilah politik Islam kepada rakyat Malaysia seperti tahaluf siyasi, wala’ kepada pemimpin, konsep bai’ah, ta’awun siyasi, muwajahah silmiyyah dan lain-lain lagi.

38- PAS bekerjasama dengan semua parti politik tanpa mengira latar belakang selagi mana tidak menggadaikan prinsip politik Islam.

39- PAS pernah bekerjasama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat dahulu di atas prinsip memperbetulkan salah guna kuasa dalam sistem pilihanraya.

40- PAS pernah bekerjasama dengan UMNO sama ada secara langsung atau tidak langsung demi kepentingan agama, bangsa dan negara seperti isu Palestin, Bosnia Herzegovina dan lain-lain isu sejagat umat Islam dan kemanusiaan.

41- PAS bukanlah parti yang sempurna kerana ia dipimpin oleh manusia yang mempunyai serba serbi sifat kekurangan.

42- PAS akan terus konsisten mengajak rakyat Malaysia menerima POLITIK ISLAM sebagai jalan penyelesaian di tengah kegagalan sistem-sistem selain Islam.

43- Itulah dakwah PAS kepada rakyat Malaysia.

” Kembali Kepada Penyelesaian Islam “

YB Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Burok, Terengganu Darul Iman
2 Sya’ban 1447 bersamaan 21 Januari 2026

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️