NegeriTerengganu

Larangan ‘Busking’ 10 Malam Akhir Ramadan


Ketetapan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung larangan aktiviti ‘busking’ pada 10 malam terakhir Ramadan di Terengganu perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas, iaitu sebagai usaha mengimbangi keperluan kehidupan bermasyarakat dengan tuntutan ibadah yang mempunyai kedudukan tinggi dalam Islam.

2. 10 malam terakhir Ramadan merupakan tempoh yang sangat signifikan dari sudut keagamaan, di mana umat Islam digalakkan untuk meningkatkan ibadah, menghidupkan malam dengan qiamullail serta mencari keberkatan Lailatulqadar.

3. Justeru, larangan aktiviti ‘busking’ pada tempoh ini bertujuan memastikan ruang awam berada dalam suasana yang lebih tenang, tertib dan kondusif, selari dengan keperluan rohani masyarakat.

4. Pendekatan ini berteraskan prinsip pemeliharaan agama dalam kerangka maqasid syariah, tanpa menafikan realiti kehidupan dunia. Larangan tersebut tidak dilaksanakan secara menyeluruh sepanjang Ramadan, sebaliknya dihadkan kepada tempoh tertentu yang mempunyai keutamaan ibadah, sekali gus mencerminkan keseimbangan antara tuntutan akhirat dan keperluan dunia.

5. Bagi tempoh selain 10 malam terakhir Ramadan, kebenaran aktiviti ‘busking’ secara terkawal menunjukkan bahawa aspek seni dan kreativiti masih diberi ruang, namun dipandu dengan garis adab yang jelas.

6. Penetapan waktu persembahan, pemilihan lokasi yang tidak berhampiran masjid dan surau, serta keperluan persembahan bercorak ketuhanan bertujuan memastikan aktiviti tersebut tidak melalaikan atau mengganggu kekhusyukan ibadah.

7. Larangan menjalankan aktiviti ‘busking’ berhampiran rumah ibadah pula selari dengan keperluan menjaga adab terhadap masjid dan surau sebagai pusat ibadah, ilmu dan ketenangan masyarakat. Langkah ini juga membantu mengekalkan keharmonian komuniti serta mengelakkan gangguan bunyi yang tidak sesuai dalam persekitaran sensitif sepanjang Ramadan.

8. Dalam masa yang sama, ketetapan agar Pihak Berkuasa Tempatan tidak mengenakan fi atau caj yang membebankan busker yang mematuhi syarat ditetapkan memperlihatkan pertimbangan terhadap kebajikan dan sumber rezeki, selaras dengan nilai keadilan dan ihsan dalam pentadbiran Islam.

9. Secara keseluruhannya, larangan ‘busking’ pada 10 malam terakhir Ramadan ini mencerminkan satu pendekatan pengurusan yang berhemah, berpaksikan nilai agama serta mengambil kira realiti sosial. Ia bertujuan memastikan Ramadan di Terengganu dapat dihayati dalam suasana yang aman, beradab dan seimbang antara keperluan dunia serta tuntutan akhirat.

‘Indahnya Hidup Bersyariat’

YB USTAZ DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
PENGERUSI JAWATANKUASA PENERANGAN, DAKWAH DAN PEMERKASAAN SYARIAH NEGERI TERENGGANU

20 Januari 2026/1 Syaaban 1447H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️