Minda PresidenPresidenPusat

PAS berjuang meninggikan Islam, bukan menunggangnya

KESEDARAN untuk kembali semula kepada Islam berlaku selepas terdedah kegagalan ideologi ciptaan manusia yang mengambil alih kekuasaan, khususnya setelah kejatuhan Islam pada abad yang lalu oleh musuhnya. Mereka menjadikan gerakan Islam sebagai musuh pertama yang perlu diganyang.

Setelah kegagalan senjata Islamofobia bagi memburukkan wajah Islam, maka semua parti Islam yang berjuang untuk menegakkan semula Islam termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menjadi sasaran, antaranya dengan meletakkan pelbagai jenama yang buruk seperti pelampau Islam atau penunggang agama. Mereka bertopengkan simpati kepada Islam.

Sebenarnya, PAS berpolitik Islam yang tidak berpisah daripadanya konsep al-din yang menggabungkan aqidah, syariah, dan akhlak, dengan meletakkan kedudukan Islam dijunjung tinggi melalui perjuangan yang penuh pengorbanan harta, jiwa, dan raga.

Perlembagaan PAS menyatakan hukum Islam adalah paling tinggi dan haram bagi PAS menerima yang lain daripada Islam. Perkara ini tidak dinyatakan oleh semua parti yang lain, di samping PAS berpandukan firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩
Surah Al-Saff: 9
“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (Islam), agar Dia memenangkannya atas segala agama (dan ideologi), meskipun orang Musyrikin membenci.”

Perjuangan PAS bagi mendapat kuasa politik demi mendaulatkan Islam yang berkuasa memerintah, menjadikan PAS sasaran kepada semua kumpulan yang anti-Islam.

Apa yang menakutkan mereka ialah kebangkitan semula Islam dalam kalangan mereka yang berpendidikan Barat yang asalnya dirancang bagi menentang Islam, tiba-tiba bangkit melawan tuannya.

Antara mereka ialah Prof. Ahmad Ibrahim RH, salah seorang pengasas akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), mantan Peguam Negara Singapura, dan mantan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat pada tahun 50-an ketika PAS masih berpusat di Singapura.

Beliau yang merupakan seorang tokoh ilmuwan dalam bidang perundangan yang terkenal pernah mencadangkan dalam satu seminar perundangan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1976 — yang turut disokong oleh Prof. Nik Abdul Rashid, Hakim Tan Sri Harun Hashim, dan Tun Salleh Abas RH —, supaya meletakkan satu peruntukan yang tegas dalam Perlembagaan Persekutuan yang membatalkan segala undang-undang yang bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah, tidak cukup dengan hanya menyebut Islam sebagai agama negara atau agama rasmi.

Apa yang paling menarik, kalangan tersebut berdalilkan hujah Islam yang kuat dengan dalil firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩
Surah Al-Nisa': 59
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya) serta ulu al-amri antara kamu! Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”

Inilah dalil yang menegaskan kewajipan meletakkan Islam pada kedudukan paling tinggi dan berkuasa dalam negara.

Perkara ini ditafsirkan oleh Sahifah Madinah:

وَإِنَّهُ مَا كَانَ بَيْنَ أَهْلِ هَذِهِ الصَّحِيفَةِ ‌مِنْ ‌حَدَثٍ ‌أَوْ ‌اشْتِجَارٍ يُخَافُ فَسَادُهُ، فَإِنَّ مَرَدَّهُ إلَى اللَّهِ عز وجل، وَإِلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَإِنَّ اللَّهَ عَلَى أَتْقَى مَا فِي هَذِهِ الصَّحِيفَةِ وَأَبَرِّهِ.
“Dan bahawa sesungguhnya apa-apa perkara yang berlaku dalam kalangan yang terlibat dalam pemeteraian piagam ini sama ada pertelingkahan mahupun perbalahan yang dibimbangkan boleh membawa kerosakan, maka hendaklah diselesaikan dengan merujuk kepada Allah ‘Azza wa Jalla (al-Quran) dan Muhammad Rasulullah SAW (al-Sunnah). Dan sesungguhnya orang yang paling bertaqwa kepada-Nya dan terbaik dalam piagam ini meletakkan Allah pada kedudukan yang tertinggi.” — Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiyyah, jld. 1, hlm. 504

Islam menetapkan prinsip ibadah kepada pihak yang memerintah dengan peranan para ulama’ mujtahid yang memelihara hukum tertinggi al-Quran dan al-Sunnah. Islam juga meletakkan para pentadbir dan ketua negara yang dinamakan khalifah, amir, imam, sultan, atau raja berada bawah perlembagaan.

Rasulullah SAW mengekalkan Raja Habsyah, Oman, Yaman, dan lain-lain yang menerima Islam. Begitu juga raja-raja Melayu yang asalnya beragama Hindu atau Buddha, setelah menerima Islam, mereka turut dikekalkan sebagai raja bawah perlembagaan yang dikawal oleh para ulama’. Hal ini berpandukan peringatan Rasulullah SAW kepada pemimpin yang mentadbir negara:

إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِالْأَمِيرِ خَيْرًا ‌جَعَلَ ‌لَهُ ‌وَزِيرَ ‌صِدْقٍ، إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ، وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ، وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ.
“Apabila Allah menghendaki seseorang pemimpin atau raja itu baik, nescaya Allah menjadikan bersamanya wazir (menteri, mufti, dan lain-lain) yang menegakkan kebenaran. Jika dia lupa, wazir itu akan memperingatkannya, manakala jika dia sedar, wazir itu akan menolongnya. Dan apabila Allah menghendaki dia sebaliknya, nescaya Allah menjadikan bersamanya wazir yang jahat. Jika dia lupa, wazir itu tidak akan memperingatkannya (membiarkannya), manakala jika dia sedar, wazir itu tidak akan menolongnya.” — Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Kharaj wa al-Imarah wa al-Fai’, no. 2932, daripada ‘Aishah binti Abi Bakar

Peranan parti Islam ialah memimpin umat selepas ketiadaan kerajaan Islam yang berkuasa. Maka, PAS menegaskan dalam Fasal 7(1) Perlembagaan PAS, iaitu meletakkan Islam adalah yang tertinggi dan PAS memperjuangkannya melalui negeri dan persekutuan dengan meletakkan kedudukan Islam sebagai agama yang wajib dimuliakan.

Apabila PAS berkuasa di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis, maka konsep tersebut dilaksanakan. Di Terengganu khususnya, PAS berusaha mengembalikan kedudukan Islam sebagaimana dalam Itqan al-Muluk bi Ta’dil al-Suluk (perlembagaan Terengganu sebelum berlakunya penjajahan) dan keputusannya ditandatangani dengan dukungan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pada peringkat persekutuan pula, PAS telah beberapa kali membawa usul persendirian supaya meminda Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menghalang kuasa negeri melaksanakan syariat dengan sempurna.

Tun Salleh Abas, mantan Ketua Hakim Negara dan Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) Kerajaan Negeri Terengganu pernah mengemukakan beberapa cadangan, antaranya memberikan kuasa kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan syariat.

Maka, PAS melalui ta’awun siyasi dengan Barisan Nasional (pada masa pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak) berjaya membawa usul persendirian pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) bagi memperkenalkan hukuman sebatan yang bersifat mendidik cara Islam, bukan menyeksa menurut cara yang ada sekarang sebagai usaha memperkenalkan hukuman Islam yang adil dan berperikemanusiaan.

Malangnya setelah diluluskan, pengundiannya ditangguhkan pula kerana tidak mencukupi undian apabila ditentang oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan golongan Melayu yang berwala’ bersama mereka. Mereka takut akan berlaku dan terbukanya perbandingan yang adil antara Islam dengan bukan Islam yang dibimbangkan mempengaruhi masyarakat bukan Islam.

Dalam Perlembagaan Persekutuan yang ada sekarang, kerajaan negeri tidak ada kuasa untuk bertindak terhadap ajaran sesat seperti Qadiani (Ahmadiyyah) yang dibawa masuk oleh penjajah dahulu apabila mereka mengisytiharkan diri sebagai bukan Islam, di samping banyak lagi hukuman syariat yang terhalang pelaksanaannya. Keadaan ini menunjukkan kedudukan Islam yang rendah dan tidak berkuasa.

Beginilah cara kemerdekaan yang dihadiahkan oleh penjajah kepada negara umat Islam bagi menghalang Islam kembali berdaulat semula. Kebanyakan negara Islam menerima ‘hadiah’ kemerdekaan yang membatalkan kuasa Islam dan menghalang kedaulatannya.

Keseluruhan negara Islam sekadar meletakkan Islam sebagai agama negara mengikut tafsiran bahasa penjajah yang memisahkan Islam daripada politik pemerintahan negara. Bahkan, ada negara Islam yang tidak menyebut kedudukan Islam secara khusus seperti Turkiye, Indonesia, Syria, dan beberapa negara lain.

PAS melalui Ahli Parlimen tunggalnya, Tuan Guru Ahmad Tuan Hussein RH pada tahun 1955 mendesak supaya meletakkan Islam menjadi agama negara, namun dinafikan oleh Suruhanjaya Reid, disokong oleh Parti Perikatan yang dianggotai oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaysia (MCA), dan Kongres India Malaysia (MIC) apabila disertakan hak beragama lain kepada masyarakat bukan Islam dalam negara masyarakat majmuk.

Selepas kemerdekaan, PAS mendesak dan berjuang supaya Islam itu ditafsirkan daripada perkataan ‘al-din’ menurut bahasa al-Quran, bukan daripada perkataan ‘religion’ atau ‘agama’ dalam bahasa lain yang memberikan makna yang salah. Konsep al-din tidak memisahkan syariah daripada aqidah kerana firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا ٣٦
Surah Al-Ahzab: 36
“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang Mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang Mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguh dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.”

Islam menolak kalangan yang menafikan hubungan politik negara dengan aqidah. Pemisahan dalam pembahagian ilmu al-din berlaku akibat berilmu tanpa bertafaqquh. Sedarkah mereka bahawa menghina perkara sunat juga boleh merosakkan aqidah mereka, walaupun perkara tersebut di luar ilmu aqidah?

Semua perkara yang disebut dalam al-Quran dan al-Sunnah walaupun dalam perkara yang berlainan, tetap berada dalam jaringan yang semuanya berkait dengan keimanan kepada Allah yang bersifat dengan sifat kesempurnaan Ilmu, Kalam, Adil, Bijaksana, dan lain-lain, juga keimanan kepada kerasulan yang dilantik oleh Allah. Segalanya disimpulkan dalam dua kalimah syahadah yang diucapkan dengan lidah, dibenarkan oleh kepercayaan hati, dan dinyatakan dengan amalan.

Allah mewajibkan amar ma’ruf dan nahi mungkar dalam semua urusan agama. Mereka yang membisu terhadap kemungkaran ialah syaitan bisu. Hal ini sebagaimana seruan Allah SWT yang berfirman:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨
Surah Al-Baqarah: 208
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan! Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”

PAS terus berjuang supaya Islam yang sempurna ditegakkan setinggi-tingginya, bukan memperalatkan atau menunggang agama sepertimana yang dituduh oleh kalangan mereka yang jahil akan agama dan tidak memahami Islam ataupun kalangan agamawan yang berpihak kepada musuh yang sengaja mentafsirkan dengan makna yang salah dan menyesatkan.

Malah, PAS berjuang sehingga ada kalangan ahlinya yang menjadi korban dan gugur syahid oleh pembunuhan, dizalimi sehingga dihumban ke dalam penjara, ditahan pangkatnya walaupun paling layak dalam jawatan kerajaan, dibuang kerja, dinafikan bantuan, dan pelbagai lagi tindakan yang zalim. Semua ini disebabkan perjuangannya menegakkan Islam, bukan menunggang Islam yang mudah melompat dan melarikan diri.

Al-Quran memberikan amaran sebagai iktibar mengenai keburukan adanya ulama’ jahat yang boleh dipergunakan oleh syaitan dengan kesenangan hidup, sehingga menjadi laksana anjing belaan bagi merosakkan manusia. Firman Allah SWT:

وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّالِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦
Surah Al-A'raf: 175-176
“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berinya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikannya (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah. Maka, perumpamaannya seperti anjing; jika kamu menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika kamu membiarkannya, ia menghulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176)”

Allah SWT memberikan amaran yang keras kepada para ulama’ yang tidak menegakkan Islam kerana kepentingan isi perut mereka dengan firman-Nya:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَيَشۡتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلًا أُوْلَـٰٓئِكَ مَا يَأۡكُلُونَ فِي بُطُونِهِمۡ إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ ١٧٤ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلضَّلَٰلَةَ بِٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡعَذَابَ بِٱلۡمَغۡفِرَةِۚ فَمَآ أَصۡبَرَهُمۡ عَلَى ٱلنَّارِ ١٧٥
Surah Al-Baqarah: 174-175
“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang telah diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perut mereka melainkan api, dan Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada Hari Kiamat dan tidak menyucikan mereka, dan bagi mereka seksa yang amat pedih. (174) Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk dan keseksaan dengan ampunan. Maka, alangkah beraninya mereka menentang Api Neraka! (175)”

Imam al-Ghazali RA menulis dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din karangannya bahawa para ulama’ itu ada dua jenis, iaitu ulama’ akhirat dan ulama’ dunia (sesetengah kitab menamakannya sebagai ulama’ jahat atau su’). Hal ini disebabkan para ulama’ tidak maksum (terpelihara) seperti para anbiya’ AS.

Para ulama’ akhirat ialah mereka yang bertaqwa kepada Allah dan menjadi pewaris kepada pusaka para anbiya’ AS yang meneruskan perjuangan mereka. Mereka disebut oleh Allah SWT:

ٱلَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَٰلَٰتِ ٱللَّهِ وَيَخۡشَوۡنَهُۥ وَلَا يَخۡشَوۡنَ أَحَدًا إِلَّا ٱللَّهَۗ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ حَسِيبٗا ٣٩
Surah Al-Ahzab: 39
“(Iaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang (pun) selain Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan.”

Firman Allah SWT:

… إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَـٰٓؤُاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ ٢٨
Surah Fatir: 28
“…Sesungguhnya, yang takut kepada Allah antara hamba-hamba-Nya hanyalah ulama’. Sesungguhnya, Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

Sabda Rasulullah SAW:

وَإِنَّ ‌فَضْلَ ‌الْعَالِمِ ‌عَلَى ‌الْعَابِدِ، ‌كَفَضْلِ ‌الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ، وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ.
“Sesungguhnya, kelebihan seorang alim mengatasi seorang abid sahaja laksana kelebihan bulan purnama mengatasi semua bintang cakerawala yang lain. Dan sesungguhnya, para ulama’ menjadi waris yang berhak menerima pusaka para anbiya’. Sesungguhnya, para anbiya’ itu tidak meninggalkan pusaka harta berupa wang dinar dan dirham, (sebaliknya) mereka meninggalkan pusaka ilmu. Maka, sesiapa yang berhak mengambilnya, nescaya dia mendapat harta yang paling banyak dan mahal harganya.” — Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-‘Ilm, no. 3641, al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-‘Ilm, no. 2682, dan lain-lain perawi, daripada Abu al-Darda’

Para ulama’ PAS bukan waris yang mengkhianati pusaka para anbiya’.

Para ulama’ dan ilmuwan Islam menunaikan perintah Allah yang menetapkan kewajipan adanya kumpulan Islam yang menyambung perjuangan para anbiya’ pada zaman tidak ada lagi para anbiya’ selepas kewafatan Rasulullah SAW. Antara dalilnya ialah firman Allah SWT:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤
Surah Ali 'Imran: 104
“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.”

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦
Surah Al-Ma'idah: 55-56
“Sesungguhnya, penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55) Dan sesiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang. (56)”

Ayat di atas ditafsirkan oleh hadis Rasulullah SAW melalui sabdanya:

‌لَا ‌تَزَالُ ‌طَائِفَةٌ ‌مِنْ ‌أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ، حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ.
“Sentiasa ada dalam kalangan umatku kumpulan yang berjuang menegakkan kebenaran (Islam) secara terbuka dan mereka tidak boleh dimudaratkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka, sehingga datangnya urusan Allah (memenangkan mereka), mereka masih dalam keadaan demikian.” — Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, no. 1920, daripada Thauban bin Bujdud

PAS ialah mata rantai kumpulan perjuangan Islam yang tidak putus, walaupun pernah diharamkan berkali-kali pada zaman penjajahan dan selepasnya. PAS bukannya penunggang agama yang bermudah-mudah terjun bagi menyelamatkan diri.

PAS terus berjuang melalui kebebasan bersuara menerusi demokrasi pilihan raya tanpa mengira kalah dan menang serta rebah dan bangun. PAS tetap kembali menunaikan kewajipan beragama Islam sehingga beberapa generasi yang sentiasa bersambung, bukan memperalatkan Islam.

Kewajipan memuliakan dan meninggikan Islam diwajibkan kepada semua penganut dan kumpulan Islam yang setia, bukan hanya menjadi kewajipan PAS sahaja.

Kewajipan mempertahankannya juga menjadi kewajipan semua umat Islam daripada kalangan parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO), termasuk para ulama’ yang berada dalam kerajaan mahupun luar kerajaan.

Islam ialah ujian Allah kepada manusia sebagaimana firman Allah SWT:

الٓمٓ ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٣
Surah Al-'Ankabut: 1-3
“Alif lam mim. (1) Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedang mereka tidak diuji lagi? (2) Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (3)”

Namun, Islam sekali-kali tidak boleh dihapuskan, walaupun seluruh manusia mengecewakannya. Firman Allah SWT:

… إِن تَكۡفُرُوٓاْ أَنتُمۡ وَمَن فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا فَإِنَّ ٱللَّهَ لَغَنِيٌّ حَمِيدٌ ٨
Surah Ibrahim: 8
“…Jika kamu dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya mengingkari (ni’mat Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 1 Sha’ban 1447 / 20 Januari 2026
[Bil: 7 / 2026]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️