Pemergian Cikgu Mohd Amin Yang Akan Sentiasa Dirindui
DUNGUN – Pemergian Allahyarham Cikgu Mohd Amin Hamid akan sentiasa dirindui oleh mereka yang pernah mengenali keperibadiannya dan terus hidup dalam ingatan mereka.
Yang Dipertua PAS Dungun, YB Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli menyifatkan demikian mengulas kembalinya ke rahmatullah Ketua As Sabiqun kawasan itu petang semalam.
“Pemergian insan sebaik ini bukan mudah untuk diterima oleh sesiapa, kita menyayangi beliau, tetapi yakinlah bahawa Allah lebih menyayangi Allahyarham, melebihi kasih kita semua.
“Asbab kebaikan dan keikhlasan hidupnya, Allah memilih beliau lebih awal untuk kembali kepada-Nya.
“Hidupnya banyak dihabiskan bersama gerak kerja bersama jemaah dan berkhidmat, serta menabur jasa untuk rakyat tanpa mengharapkan balasan,” katanya menerusi ‘facebook’ beliau’ pada 17 Januari seusai ziarah kematian Allahyarham di rumah arwah di Kampung Sungai Udang di sini.

Manakala, Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli pula menyifatkan Allahyarham bukan sekadar seorang pendidik dan pejuang, bahkan ibarat seorang ayah dalam keluarga besar PAS Kawasan Dungun.
“Kehilangan Allahyarham meninggalkan satu ruang kosong yang sukar diisi, sosok yang sentiasa menenangkan ketika perbezaan, menyatukan ketika berpecah, dan menguatkan ketika kami hampir lemah, ” luahnya menerusi ‘facebook’ pada 17 Januari.
Seterusnya beliau menambah, setiap nasihatnya penuh hikmah, setiap tegurannya sarat dengan kasih sayang, membuatkan sesiapa sahaja yang bersamanya.
“Kini telah pergi menghadap Ilahi, namun, jasa dan teladan beliau akan terus hidup dalam ingatan dan perjuangan kami.
“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham Cikgu Mat Min, menerima seluruh amal kebajikannya, meluaskan kuburnya dengan rahmat, serta menempatkannya dalam kalangan para solihin,” ujarnya..