Minda PresidenPresiden

Maruah syarat wajib pemimpin

KEPIMPINAN negara ialah amanah yang paling besar kerana wajib berlaku adil kepada semua, termasuk terhadap diri sendiri. Amanah ini dibebankan kepada manusia sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا ٧٢

“Sesungguhnya, Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi, dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, lalu dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya, manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” [Surah al-Ahzab: 72]

Allah menjadikan Nabi Ibrahim AS sebagai pemimpin teladan kepada seluruh manusia, setelah Baginda berjaya dalam ujian ketaatan kepada-Nya. Firman Allah SWT:

۞وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِـۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٖ فَأَتَمَّهُنَّۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامٗاۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِيۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهۡدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٢٤

“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku akan menjadikanmu imam (pemimpin) bagi seluruh manusia.’ Ibrahim berkata, ‘(Dan aku mohon juga) daripada keturunanku.’ Allah berfirman, ‘Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim.’” [Surah al-Baqarah: 124]

Maka, Islam mewajibkan syarat iman (Islam), akhlak yang mulia dan maruah yang tinggi dalam pemilihan kepimpinan.

Malaysia sedang menghadapi krisis maruah dalam kepimpinan, apabila perkara ini tidak diberikan perhatian secara istiqamah.

Kini, berlaku dua isu yang sedang hangat dibincangkan. Kedua-duanya menerima hukuman daripada mahkamah dan mengangkat permohonan ampun kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengikut konsep Raja Berperlembagaan.

Pertama, Anwar Ibrahim yang dihukum dan meminta pengampunan, lalu diluluskan sehingga boleh bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) dan menjadi pemimpin utama negara.

Adapun Najib Tun Razak yang dihukum tetap tidak mengaku salah dan menerima hukuman, kemudian mengangkat permohonan (titah adendum) supaya diringankan, namun ditolak.

Memohon pengampunan bermakna mengaku kesalahan dilakukan, maka pertimbangan diberikan sama ada permohonannya diterima ataupun sebaliknya mengikut proses Lembaga Pengampunan yang memenuhi syarat-syaratnya.

Oleh itu, pihak yang telah dihukum berhak meminta agar hukuman diringankan, walaupun tetap tidak mengaku salah.

Berbeza dengan pihak yang meminta pengampunan, hal ini bermakna dia telah mengaku salah, maka hilanglah maruahnya. Kalau bermaruah, sepatutnya tetap tidak mengaku salah walaupun dihukum. Ada orang sanggup mati kerana mempertahankan maruahnya.

Adakah kita mengutamakan pihak yang tidak bermaruah dalam membuat penilaian yang adil lebih daripada pihak yang ingin mempertahankan maruahnya?

Adakah wajar Pakatan Harapan (PH) melantik pemimpinnya seorang yang tidak bermaruah, yang mafhumnya mengaku salah memohon pengampunan terhadap kesalahannya yang telah diputuskan oleh mahkamah?

Walaupun kedua-duanya tidak layak menjadi pemimpin kerana telah dihukum. Adapun yang tidak bermaruah kerana menjual maruah mereka dengan mengejar jawatan dan kedudukan, lebih-lebih lagi yang telah dihukum dan mengaku kesalahannya adalah paling tidak layak menjadi pemimpin seperti menghukum mati terhadap maruahnya.

Islam mewajibkan syarat bermaruah dalam perkara yang menentukan konsep keadilan ditegakkan, bukan sahaja kepada pemimpin utama, bahkan termasuk jawatan-jawatan yang lain seperti dalam aspek kehakiman, bilamana maruah menjadi syarat dalam semua yang terlibat daripada hakim sehingga saksi. Begitu juga dalam tugas-tugas pentadbiran masyarakat, daripada perkara yang kecil seperti saksi perkahwinan dan jual beli sehinggalah perkara yang besar pada peringkat ketua negara.

Almarhum Abu al-A‘la al-Maududi, pemimpin Islam Pakistan terkenal yang dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah tentera dipujuk supaya meminta pengampunan, namun beliau menjawab, “Saya tidak mahu melarikan diri daripada kematian yang mulia.”

Kita berada pada akhir zaman dunia yang tidak mempedulikan maruah kerana harga diri manusia lebih dipengaruhi oleh nafsu kebendaan, sehingga tidak membezakan manusia dengan makhluk yang tidak berakal. Hal ini disebabkan manusia sudah berakal tidak sihat lagi, sehingga bertuhankan hawa nafsu dan hilang maruah kemanusiaannya. Firman Allah SWT:

أَفَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمٖ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمۡعِهِۦ وَقَلۡبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَٰوَةٗ فَمَن يَهۡدِيهِ مِنۢ بَعۡدِ ٱللَّهِۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ ٢٣

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya, dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat)? Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” [Surah al-Jathiyah: 23]

Oleh yang demikian, berlaku perkara luar biasa dalam kehidupan manusia sehingga tidak menghormati kemuliaannya yang dikurniakan Allah yang ada pada maruahnya yang menjadi salah satu daripada maqasid syariah. Sehinggakan manusia lebih menghormati hak binatang daripada hak diri manusia sendiri, walaupun manusia menjadi mangsa binatang buas yang menggila.

Di samping itu, manusia juga menjadi lebih ganas daripada binatang sehingga boleh merosakkan alam sekitar apabila meluluskan projek yang rakus terhadap kemewahan dan kebanggaan, dengan rasuah menjual projek atau tidak amanah melaksanakan projek, selain mencari kekayaan mengambil hasil bumi dan laut tanpa kawalan kerana kebendaan mengatasi harga diri. Firman Allah SWT:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]

Akhirnya, menyusahkan kehidupan rakyat serta membawa bencana alam dan bencana akhlak yang tidak ada keselamatan dan keamanan.

Pemimpin yang tidak bermaruah juga sedia memacak bendera putih menyerahkan diri di bumi tanah airnya kepada sesiapa sahaja, sehingga menjemput kedatangan musuh yang menjajah semula dan bersedia menjadi abdi kepada mereka.

Selamatkanlah negara dan umat dengan mempertahankan maruah kemanusiaan. Firman Allah SWT:

۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا ٧٠ يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَـٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا ٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا ٧٢

“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan. (70) (Ingatlah) suatu hari (yang pada hari itu) Kami panggil tiap-tiap umat dengan pemimpin mereka; dan sesiapa yang diberikan kitab amalannya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membaca kitab mereka, dan mereka tidak dianiaya sedikit pun. (71) Dan sesiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) dia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (72)” [Surah al-Isra’: 70–72]

Itulah amaran kepada mereka yang buta akal dalam pemilihan pemimpin yang membawa akibat buruk di dunia dan akhirat.

Sabda Rasulullah SAW:

إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ ‌فَانْتَظِرِ ‌السَّاعَةَ.

“Apabila amanah (kepimpinan) diserahkan kepada orang yang tidak layak, maka tunggulah berlakunya Kiamat (saat kemusnahan alam).” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, no. 59, daripada Abu Hurairah]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Rajab 1447 / 24 Disember 2025
[Bil: 92 / 2025] - HARAKAHDAILY 24/12/2025

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️