Islam mengiktiraf kewujudan kaum dan peranannya
KEPADA manusia yang buta al-Quran dan lupa akan Allah, lalu dijadikannya pelupa sehingga lupa akan asal usul bangsanya yang telah ditentukan oleh Allah Pencipta alam termasuk makhluk manusia. Bahkan, ramai kalangan yang buta al-Quran itu bercakap atau menulis mengikut selera akal dan perasaan mereka.
Perkara ini menjadi salah satu daripada tanda akhir zaman, dengan kemunculan kalangan yang jahil dan pendek akalnya, walaupun ada dalam kalangan mereka itu banyak ilmunya sehingga mengatasi akalnya sendiri. Lalu mereka berani membuat kenyataan dalam perkara besar yang berkait dengan ketetapan ilmu Allah.
Sabda Rasulullah SAW:
سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ، قِيلَ: وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ: الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ.
“Suatu masa nanti akan datang kepada orang ramai tahun-tahun yang banyak penipuan. Pembohong dianggap benar, sementara orang yang benar dibohongi. Pengkhianat diberikan amanah, manakala orang yang amanah dikhianati. Ruwaibidah (orang yang tidak mengerti) pula berkata-kata.” Rasulullah SAW ditanya, “Siapakah Ruwaibidah?” Baginda menjawab, “Orang biasa (tidak berilmu) bercakap berkenaan perkara yang besar (penting).” [Riwayat Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Kitab al-Fitan, no. 4036, dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, no. 7912, daripada Abu Hurairah. Lafaz bagi Ibn Majah]
Manusia tetap bersifat dengan kekurangan yang tidak disedarinya, namun ada juga kalangan yang menafikan kelemahan dirinya apabila ilmunya telah mengatasi akalnya. Maka, datang sifat sombong yang menjadi sifat Iblis iaitu makhluk yang menentang Allah, sehingga kalangan manusia itu bercakap dalam perkara di luar kemampuannya.
Keadaan ini berbeza dengan para malaikat yang mulia, mereka bertawadu‘ di hadapan Allah:
قَالُواْ سُبۡحَٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَآ إِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡحَكِيمُ ٣٢
“Mereka menjawab, ‘Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” [Surah al-Baqarah: 32]
Islam menjadikan semua ilmu itu dirujuk kepada mukjizat ilmu, iaitu al-Quran dan hikmah daripada Sunnah Rasulullah SAW. Islam juga menentukan terdapat perkara yang diizinkan kepada manusia untuk mengkajinya dengan akal dan pengalaman. Malah, di sana pula terdapat ketetapan Allah yang di luar kemampuan manusia, antaranya ialah berkenaan kejadian manusia pelbagai bangsa, bahasa dan warna kulit, kerana ada hikmahnya yang tersendiri.
Al-Quran menegaskan adanya kaum dan bangsa dalam kalangan manusia, serta bermasyarakat madani, adalah menjadi ketetapan Allah yang sekali gus menjadi fitrah (naluri) kemanusiaan.
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu saling berkenal-kenalan (bermasyarakat). Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]
Dan firman Allah SWT:
وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ ٢٢
“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi serta berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” [Surah al-Rum: 22]
Ciri fitrah adalah ketetapan Allah yang menjadi peraturan alam semesta yang tidak mungkin sekali-kali dapat diubah. Antaranya, perubahan yang boleh berlaku dengan pertambahan bangsa disebabkan adanya percampuran atau digantikan kaum atau bangsa yang terdahulu, kemudian dilahirkan pula berbagai-bagai kaum atau bangsa seterusnya.
Sebagai contoh, kehilangan bangsa Semitik (keturunan Sam) kepada kelahiran cabangnya kepada berbagai-bagai bangsa pula seperti Yahudi, Arab dan lain-lain. Manakala bangsa yang lahir daripada keturunan Yafith seperti bangsa Turki, Cina, Melayu dan lain-lain. Keturunan Ham pula melahirkan bangsa Afrika dan berbagai-bagai bangsa dan suku kaum yang lebih banyak cabangnya.
Antara hikmah sesebuah bangsa itu mendukung para rasul yang dilantik daripada kalangan bangsanya dalam perjuangan membawa risalah Islam daripada Allah yang mempunyai banyak cabaran dan musuhnya, dijelaskan oleh firman Allah SWT:
وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤ وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مُوسَىٰ بِـَٔايَـٰتِنَآ أَنۡ أَخۡرِجۡ قَوۡمَكَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَذَكِّرۡهُم بِأَيَّىٰمِ ٱللَّهِۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّكُلِّ صَبَّارٖ شَكُورٖ ٥
“Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul pun melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberikan penjelasan (hukum-hakam Allah) dengan terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan hidayah petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. (4) Dan sesungguhnya, Kami telah mengutus Musa (pada masa lalu) dengan membawa ayat-ayat Kami, (dan Kami perintahkan kepadanya), ‘Keluarkanlah kaummu daripada kegelapan kepada cahaya dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah.’ Sesungguhnya, perkara ini mengandungi tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang yang penyabar dan banyak bersyukur. (5)” [Surah Ibrahim: 4-5]
Firman Allah menceritakan berkenaan Nabi Shu‘aib AS:
قَالُواْ يَٰشُعَيۡبُ مَا نَفۡقَهُ كَثِيرٗا مِّمَّا تَقُولُ وَإِنَّا لَنَرَىٰكَ فِينَا ضَعِيفٗاۖ وَلَوۡلَا رَهۡطُكَ لَرَجَمۡنَٰكَۖ وَمَآ أَنتَ عَلَيۡنَا بِعَزِيزٖ ٩١
“Mereka berkata, ‘Wahai Shu‘aib, kami tidak banyak mengerti tentang apa yang kamu katakan itu dan sesungguhnya kami benar-benar melihat kamu seorang yang lemah antara kami; kalau bukan kerana keluargamu, tentulah kami telah merejam kamu, sedang kamu pun bukanlah seorang yang berwibawa di sisi kami.’” [Surah Hud: 91]
Firman Allah kepada Rasulullah SAW yang dilantik kepada seluruh manusia:
وَأَنذِرۡ عَشِيرَتَكَ ٱلۡأَقۡرَبِينَ ٢١٤
“Dan berikanlah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat..” [Surah al-Shu‘ara’: 214]
Allah juga membandingkan Nabi Lut AS yang hidup sebatang kara kerana tidak ada kaumnya yang bersamanya, firman Allah SWT:
قَالَ لَوۡ أَنَّ لِي بِكُمۡ قُوَّةً أَوۡ ءَاوِيٓ إِلَىٰ رُكۡنٖ شَدِيدٖ ٨٠
“Lut berkata, ‘Seandainya, aku mempunyai kekuatan (untuk menolakmu) atau kalau aku dapat berlindung kepada keluarga yang kuat (sudah tentu aku lakukan).’” [Surah Hud: 80]
Rasulullah SAW mentafsirkan ayat ini bahawa Allah mengutuskan rasul selepas Lut AS, bersama mereka itu kalangan kaumnya yang melindunginya.
Setiap orang rasul sayang akan kaumnya dan memulakan ucapannya kepada kaum masing-masing dengan lafaz:
يَٰقَوۡمِ…
“Wahai kaum kesayanganku…”
Dan Rasulullah SAW sendiri pernah berdoa kepada Allah:
اللَّهُمَّ اهْدِ قَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ.
“Wahai Tuhanku! Berikanlah hidayah kepada kaum bangsaku kerana sesungguhnya mereka itu tidak mengerti.” [Riwayat al-Bayhaqi, Syu‘ab al-Iman, no. 1375]
Namun, Islam mengharamkan sikap ‘asabiyyah perkauman dan keluarga, sehingga sanggup membela kezaliman yang dilakukan kaum dan keluarganya. Hal ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:
۞يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقِيرٗا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْۚ وَإِن تَلۡوُۥٓاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا ١٣٥
“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika mereka itu kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu akan kemaslahatannya. Maka, janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Nisa’: 135]
Dinyatakan oleh Rasulullah SAW apakah maksud ‘asabiyyah melalui sabdanya:
أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ.
“‘Asabiyyah itu ialah menolong kaum bangsamu melakukan kezaliman.” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Adab, No. 5119, daripada Wathilah bin al-Asqa‘]
Sirah Nabawiah menunjukkan bahawa Rasulullah SAW memulakan dakwah kepada keluarga terdekat dan bangsa Arab terlebih dahulu. Baginda memulakan penubuhan negara Islam yang berdaulat di Madinah dengan menyatukan kalangan kabilah Arab yang menganut Islam, kemudian disertakan kalangan bukan Arab yang masuk Islam dan bukan Islam yang bersedia berada di bawah kerajaan Islam berkonsepkan adil kepada seluruh manusia.
Firman Allah SWT:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menunaikan segala jenis amanah kepada yang layak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu supaya menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah itu Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]
Firman Allah SWT lagi:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah dan menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]
Pendekatan Islam mewajibkan adanya kaum yang menguasai kepimpinan negara kerana kesempurnaannya yang tidak boleh dipenuhi oleh agama yang lain dan ideologi ciptaan manusia yang tidak berdasarkan keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat. Hal ini disebabkan firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١
“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar. Dan kepada Allah jua kembali segala urusan.” [Surah al-Hajj: 41]
Apabila Allah melantik Nabi Muhammad SAW buat seluruh manusia dan ke seluruh pelosok dunia dalam tempoh masa yang panjang, maka Allah menukarkan mana-mana kaum yang lebih kuat untuk mendominasi umat Islam apabila berlaku kelemahan kepada kaum sebelumnya.
Firman Allah SWT kepada generasi awal dalam kalangan bangsa Arab:
هَـٰٓأَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨
“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) di jalan Allah, maka antara kamu ada yang bakhil. Dan sesiapa yang bakhil, sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allah itulah Yang Maha Kaya, sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]
Perkara ini berpandukan sabda Rasulullah SAW:
الْأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ.
“Para pemimpin (utama) hendaklah daripada kalangan Quraisy.” [Hadis riwayat al-Nasa’i, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Qada’, No. 5909, dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, No. 12307, daripada Anas bin Malik]
Maka, dalam pemilihan Khulafa’ al-Rashidin selepas kewafatan Rasulullah SAW dipilih daripada kalangan Quraisy kerana mereka mendominasi kabilah Arab dan bangsa lain pada masa itu.
Apabila keadaan berubah, maka kepimpinan Islam bertukar kepada bangsa penganut Islam yang paling besar pengaruhnya seperti bangsa Kurdi, Turki dan sebagainya.
Negara Islam di India pernah dipimpin oleh kaum Mogul (Sultan Aurangzeb Alamgir), manakala di Alam Melayu pula diwakili oleh raja-raja rumpun Melayu seperti Kerajaan Melaka, Jawa, Demak, Mataram, Aceh, Makassar dan lain-lain.
Maka, dalam mengembalikan semula kedaulatan Islam di Tanah Melayu dan Nusantara, maka mestilah daripada kalangan rumpun Melayu yang mendominasi penduduk Islam.
Justeru, kita mesti mengambil contoh daripada Rasulullah SAW dengan memulakan usaha perpaduan Melayu Islam bagi memimpin negara masyarakat majmuk, yang hanya layak bagi orang Melayu yang masih ada wajah Islamnya dan pernah menempa sejarahnya di Nusantara sebelum dijajah dahulu.
Ciri-ciri Islam yang ada pada bangsa Melayu inilah yang membolehkan pelbagai bangsa berada di tengah masyarakat Melayu Islam yang majoriti. Maka, tuduhan yang salah kerana ada yang mengatakan Melayu Islam itu bersifat rasis.
Di mana bumi kita berpijak, maka di situlah kita tegakkan Islam dalam kalangan bangsa dan penduduknya.
Teori yang cuba menghapuskan bangsa pula adalah mustahil kerana bertentangan dengan kejadian alam yang menjadi ketetapan Allah.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 1 Rajab 1447 / 22 Disember 2025
[Bil: 90 / 2025] - HARAKAHDAILY 22/12/2025