Kabinet bercampur selera
SAYA tidak mahu campur tangan terhadap pelbagai pihak yang membuat ulasan sama ada secara positif ataupun negatif terhadap anggota kabinet menteri atau ramuannya, sehingga menyebut salah laku dan rekod lama yang terpalit terhadap tokoh-tokoh yang dinamakan.
Mungkin sesuai dengan Malaysia Madani yang bersifat mutlak yang menjadi tabii manusia seperti air mutlak yang dibincangkan dalam kitab fiqh Islam. Bilamana hukumnya boleh berubah mengikut apa-apa yang menjadi campurannya, termasuk yang bersih tetapi tidak boleh digunakan untuk bersuci dan minum, walaupun harum baunya dan jernih pada zahirnya.
Memang sesuai kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) yang bersifat liberal sekular, sehingga menghilangkan ciri bangsa yang menjadi fitrah manusia dan berprinsip sekularisme yang menjadi perjuangan DAP dan dipacak dalam perlembagaannya.
Kepada Melayu Islam, sila tepuk dada tanya iman, dan kepada Melayu yang bebas pula, sila tepuk dada tanya selera.
PAS berserta kumpulan Melayu Islam dan bukan Melayu Islam tetap tidak berminat dengan hidangan yang begitu rupa kerana tidak ada sempadan halal dan haram, bahkan menjadi syubhah dan keliru hukumnya, termasuk kalangan bukan Islam juga ada yang tidak berselera dengan campuran tersebut.
Demikianlah pendekatan baharu Malaysia Madani, sangat sesuai dengan konsep agama Abraham yang dibawa oleh Donald Trump yang menjadi tetamu yang amat diraikan, membawa pendekatan perpaduan umat baharu bagi menyatukan semua agama yang sangat berbeza aqidahnya.
Islam tidak boleh memaksa seseorang dalam anutannya. Namun, penganutnya yang sebenar tetap teguh beristiqamah berjalan di atas sempadan dan acuan Allah, iaitu halal, haram, atau syubhah yang tidak nyata halal dan haramnya.
Rasulullah SAW membawa petunjuk berpandukan al-Quran yang diucapkan, sambil membaca firman Allah SWT:
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]
Rasulullah SAW menyebut ayat di atas selepas Baginda melakarkan garisan yang panjang dan lurus di atas tanah berserta garis cabang yang banyak di kanan dan kirinya, sambil memberikan amaran bahawa di setiap cabang itu ada syaitan-syaitan yang menggoda. [Lihat: Hadis riwayat al-Nasa’i, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Tafsir, no. 11109 dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, no. 4142, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud]
Kita tetap mengikut sempadan; adanya makanan yang boleh dimasak di dalam periuk yang sama dan dihidangkan dalam hidangan yang sama. Ada pula yang wajib diasingkan kerana berbeza selera.
Begitulah perbezaan konsep masyarakat madani yang bersifat mutlak dalam menangani masyarakat majmuk seperti makanan campuran kuetiau yang tidak dilarang untuk memakannya, tetapi hendaklah mengikut sempadan Allah berkaitan halal dan haram dengan perlu dimuhasabah ramuan dan campurannya, walau sesiapa pun yang menjadi tukang masaknya serta walaupun dia memakai kopiah dan serban ketika memasaknya dan membaca bismillah pada permulaannya.
Kalau makanan yang salah campurannya akan menjadi masalah kepada perut yang diisinya, akhirnya menyebabkan berbagai-bagai penyakit yang menimpa jasad dan akal.
Maka begitulah campuran politik negara boleh berlaku berbagai-bagai natijah kalau salah pendekatannya. Akibatnya lebih besar kepada seluruh kehidupan kemanusiaan.
Islam menerima kewujudan masyarakat majmuk yang bercirikan fitrah madani secara holistik yang tidak ada pada ajaran yang lain. Hal ini disebabkan terkawal oleh aqidah atau iman yang boleh mengarahkan tindakan pemimpin mengikut sempadan Allah, Tuhan semesta alam Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana yang tidak boleh ditandingi oleh kebijaksanaan manusia, walaupun berakal dan berilmu.
Rasulullah SAW memulakan pendekatan dalam menangani masyarakat majmuk dengan perpaduan bangsanya yang menganut Islam, diikuti perpaduan umat manusia majmuk pelbagai agama dan bangsa yang boleh dikawal mengikut perpaduan bercirikan kemanusiaan yang sebenar dan juga bermasyarakat madani mengikut acuannya.
Begitulah, bukan semua bahan makanan boleh dicampurkan dalam satu masakan kerana ada ramuan yang mesti diasingkan dan tidak boleh dicampur aduk sewenang-wenangnya.
Penyertaan PAS dalam politik campuran bersama Pakatan Rakyat (PR) dahulu atas prinsip ada titik persamaan kemanusiaan yang boleh bekerjasama, bukan bermakna PAS menerima kesemuanya.
Perpisahan berlaku apabila terjadi pertembungan dalam aspek kenegaraan Islam yang memaksa PAS menerima kehendak pihak lain sehingga meninggalkan dasar asasinya.
PAS dapat menyaksikan kini betapa pengaruh campuran yang salah berlaku dalam masyarakat yang ditembusi oleh pengaruh luar yang sangat negatif, sehingga lebih menjaga keselamatan anjing gila yang berbahaya daripada mengutamakan keselamatan manusia. Kalau dibiarkan, nescaya akibatnya sangat buruk kepada negara dan rakyatnya.
Allah SWT menetapkan sempadan campuran dengan semua pihak dalam masyarakat majmuk dengan firman-Nya:
لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, serta membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8–9]
Maka, PAS memilih pendekatan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan menyatukan bangsanya dahulu bersama Islam, diikuti oleh perpaduan kemanusiaan dalam masyarakat majmuk berkonsepkan adil kepada semua dan tiada paksaan dalam beragama.
Kita tegaskan bersama firman Allah SWT yang tidak memaksa manusia:
وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡۚ إِنَّآ أَعۡتَدۡنَا لِلظَّـٰلِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمۡ سُرَادِقُهَاۚ وَإِن يَسۡتَغِيثُواْ يُغَاثُواْ بِمَآءٖ كَٱلۡمُهۡلِ يَشۡوِي ٱلۡوُجُوهَۚ بِئۡسَ ٱلشَّرَابُ وَسَآءَتۡ مُرۡتَفَقًا ٢٩
“Dan katakanlah, ‘Kebenaran itu datangnya daripada Tuhanmu. Oleh itu, sesiapa yang ingin (beriman), maka hendaklah dia beriman, dan sesiapa yang ingin (kafir), maka biarlah dia kafir.’ Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu Neraka yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelik.” [Surah al-Kahf: 29]
Terpulang kepada masing-masing sama ada tepuk dada tanya iman ataupun tepuk dada tanya selera nafsu makan.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Jumada al-Akhirah 1447 / 20 Disember 2025
[Bil: 89 / 2025] - HARAKAHDAILY 20/12/2025