Negara bertaqwa membawa berkat
FIRMAN Allah SWT:
وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦ أَفَأَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا بَيَٰتٗا وَهُمۡ نَآئِمُونَ ٩٧ أَوَ أَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا بَأۡسُنَا ضُحٗى وَهُمۡ يَلۡعَبُونَ ٩٨ أَفَأَمِنُواْ مَكۡرَ ٱللَّهِۚ فَلَا يَأۡمَنُ مَكۡرَ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ ٩٩ أَوَ لَمۡ يَهۡدِ لِلَّذِينَ لِلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلۡأَرۡضَ مِنۢ بَعۡدِ أَهۡلِهَآ أَن لَّوۡ نَشَآءُ أَصَبۡنَٰهُم بِذُنُوبِهِمۡۚ وَنَطۡبَعُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ فَهُمۡ لَا يَسۡمَعُونَ ١٠٠
“Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka. (96) Maka, adakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada malam hari pada waktu mereka sedang tidur? (97) Atau adakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada waktu matahari sepenggalah naik ketika mereka sedang bermain? (98)” [Surah al-A‘raf: 96–98]
Menunjukkan bahawa sifat taqwa, mengerjakan perkara yang baik dan meninggalkan kejahatan adalah sangat penting bagi sebuah negara , sama ada pemimpin sehingga rakyat.
Pemimpin menjadi contoh dan teladan kepada rakyat. Dengan sebab itu disebut oleh firman Allah Ta’ala:
وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَىِٕمَّةࣰ یَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُوا۟ۖ وَكَانُوا۟ بِـَٔایَـٰتِنَا یُوقِنُونَ﴿ ٢٤ ﴾
“Dan kami menjadikan di kalangan umat zaman dahulu pemimpin-pemimpin yang memimpin mengikut petunjuk kami. Setelah mereka berjuang dengan sabar melakukan perubahan. Dan mereka yakin kepada ayat-ayat kami.” [Surah As-Sajdah: 24]
Dihuraikan ayat ini dengan kata ulama’:
النَّاسُ عَلَى دِينِ مُلُوكِهِم
“Rakyat terpengaruh dengan telatah pemimpin-pemimpin mereka.”
Kita menghadapi suasana negara yang sangat membimbangkan. Moral jenayah dan sebagainya sehingga berlaku di sekolah-sekolah.
Bukan saja peringkat masyarakat umum. Di sini menunjukkan ada tanda-tanda tidak kena. Dalam kempen negara yang kita pilih ini dan perlu dilakukan perubahan.
Al-Quran menunjukkan pemimpin-pemimpin teladan, supaya dicontohi oleh umat manusia. Nabi Daud, Nabi Sulaiman dan Zulqarnain. Contoh yang diteruskan oleh Nabi Muhammad SAW dan para khulafa’ al-Rasyidin.
Yang telah berjaya mengubah masyarakat Arab yang ganas, kacau-bilau, membunuh dan bermaksiat sehingga membunuh anak-anak perempuan hidup-hidup. Masyarakat yang degil itu dapat diubah dengan petunjuk Al-Quran sehingga berjaya menegakkan sebuah negara masyarakat majmuk yang besar dalam sejarah manusia.
Wilayahnya dari Nusantara merentasi Asia Tengah, selatan Eropah, utara Afrika dalam masa 1,300 tahun. Dalam keadaan sungguh aman sehingga dijatuhkan oleh penjajah yang hasad dengki dan tamak haloba, semata-mata untuk merampas kuasa dan harta dalam dunia ini.
Al-Quran menyebutkan dua contoh pemimpin yang menguasai dunia. Nabi Sulaiman AS dan Zulqarnain AS memerintah menjadi kuasa besar tunggal dunia. Nabi Sulaiman contoh menentang rasuah dengan sekeras-kerasnya. Adapun Zulqurnain menunjukkan negara berkebajikan. Apabila Raja Balqis ingin menyogok rasuah kepada Nabi Sulaiman AS.
Disebut:
وَإِنِّی مُرۡسِلَةٌ إِلَیۡهِم بِهَدِیَّةࣲ فَنَاظِرَةُۢ بِمَ یَرۡجِعُ ٱلۡمُرۡسَلُونَ﴿ ٣٥ ﴾
“Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita” [Surah Al-Naml: 35]
Nabi Sulaiman menjawab:
فَلَمَّا جَاۤءَ سُلَیۡمَـٰنَ قَالَ أَتُمِدُّونَنِ بِمَالࣲ فَمَاۤ ءَاتَىٰنِۦَ ٱللَّهُ خَیۡرࣱ مِّمَّاۤ ءَاتَىٰكُمۚ بَلۡ أَنتُم بِهَدِیَّتِكُمۡ تَفۡرَحُونَ﴿ ٣٦ ﴾ ٱرۡجِعۡ إِلَیۡهِمۡ فَلَنَأۡتِیَنَّهُم بِجُنُودࣲ لَّا قِبَلَ لَهُم بِهَا وَلَنُخۡرِجَنَّهُم مِّنۡهَاۤ أَذِلَّةࣰ وَهُمۡ صَـٰغِرُونَ﴿ ٣٧ ﴾
“Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang menghadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): “ Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah) (36) “Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba’ dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan” (37). [Surah Al-Naml: 36-37]
Adakah kamu sogokkan aku dengan harta ini? Harta yang melimpah ruah Tuhan beri pada aku ini lebih baik daripada apa yang ada pada kamu. Pulang dengan gembira dengan hadiah kamu ini. Kami akan hantar bala tentera untuk mengajar kamu sehingga kamu dijatuhkan.
Nabi Sulaiman bukannya menerima sogokan itu, bahkan mengambil tindakan yang keras terhadap mereka yang nak menyogok itu.
Apa yang berlaku pada hari ini makin banyak sogoknya, makin banyak dapat projek. Makin banyak sogokannya makin banyak dapat peluang.
Yang maha kaya itu dibebaskan, diambil yang kecil-kecil yang rendah ikan bilis saja. Ini yang berlaku menyebabkan kita gagal menangani masalah rasuah.
Zulqarnain, contoh negara berkebajikan apabila baginda tiba di negeri yang menghadapi ancaman musuh di Asia Tengah penduduk negeri itu berkata kepada Zulqarnain:
قَالُوا۟ یَـٰذَا ٱلۡقَرۡنَیۡنِ إِنَّ یَأۡجُوجَ وَمَأۡجُوجَ مُفۡسِدُونَ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَهَلۡ نَجۡعَلُ لَكَ خَرۡجًا عَلَىٰۤ أَن تَجۡعَلَ بَیۡنَنَا وَبَیۡنَهُمۡ سَدࣰّا﴿ ٩٤ ﴾
“Mereka berkata” “Wahai Zulqarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?” [Surah al-Kahfi: 94]
Adakah boleh kami bayar cukai kepada tuanku supaya tuanku boleh tolong buat kota yang menghalang kami daripada serangan musuh yang ganas itu.
Lalu Zulqarnain menjawab dengan jawapan yang sangat menarik:
قَالَ مَا مَكَّنِّی فِیهِ رَبِّی خَیۡرࣱ فَأَعِینُونِی بِقُوَّةٍ أَجۡعَلۡ بَیۡنَكُمۡ وَبَیۡنَهُمۡ رَدۡمًا﴿ ٩٥ ﴾
“Dia menjawab: “(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan aku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah aku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh” [Surah al-Kahfi: 95]
Apa yang Tuhan beri kepada aku lebih baik, aku tak perlu cukai, tak payah bayar cukai aku nak tolong kamu. Cuma kamu bawa tenaga kerja, bawa ketulan besi untuk aku binakan kota itu.
Dalam dunia hari ini yang gilakan kewangan walaupun banyak cukai dikenakan, kadang-kadang cukai yang zalim, orang yang tak patut kena cukai, kena juga. Kadang-kadang rakyat miskin terkesan dengan cukai yang dilakukan. Ini merupakan perkara negatif yang berlaku.
Insya-Allah kami daripada Perikatan Nasional (PN) akan berusaha untuk membuat perubahan dalam kepimpinan negara sedaya upaya.
PAS memperkenalkan cara pemilihan Islam. Tiap-tiap calon yang bertanding sejak dinilai ilmunya, akhlaknya dan perangainya. Dinilai segala-galanya, integritinya baru boleh jadi calon.
Kemudian kalau salah laku bukan salah laku terhadap parti, salah laku peribadi, moral pun dipecat daripada parti, walaupun kita kurang kerusi. Ini usaha yang kita boleh lakukan, yang kita cuba buat untuk membuat perubahan dalam negara ini.
Mungkin orang bertanya, mengapa tak umum lagi Perdana Menteri? Satu soalan kerap kali ditanya.
Suka saya nak jawab, yang penting memilih pemimpin berintegriti, tak menentukan orang lagi dan tentukan menang pilihan raya dulu. Ni tak menang pilihan raya dah nak lantik perdana menteri.
Mengapa kita tak namakan daripada awal?
Nak jaga keselamatan, ada bahayanya. Kadang-kadang kalau tahu dia calon Perdana Menteri disogoknya jongkong emas, letak jongkong emas dalam kereta, letak dadah dan sebagainya. Menyebabkan tak boleh bertanding dengan sebab-sebab yang berlaku. Ini perkara yang perlu difahami oleh semua pihak.
Allah menunjukkan kepada kita bagaimana kerajaan dimusnahkan oleh Allah Taala seperti kaum Ad, kaum Thamud, Firaun, Rom, Parsi, terkini kuasa-kuasa besar dunia, Jerman, Jepun, Itali, Britain dan sebagainya.
Kejatuhan mereka dengan sebab-sebab yang diberi amaran oleh Allah Taala:
ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ ١٤
“Yang berbuat sewenang-wenang di dalam negeri. (11) Lalu mereka berbuat banyak kerosakan di dalam negeri itu. (12) Oleh sebab itu, Tuhanmu menimpakan kepada mereka cemeti azab. (13) Sesungguhnya, Tuhanmu benar-benar mengawasi. (14)” [Surah al-Fajr: 11–14]
Yang berlaku zalim dalam negeri dan banyak melakukan kejahatan dan kemusnahan. Munculnya bila kerajaan itu melakukan kezaliman, kemusnahan dan kejahatan dalam negeri dia.
Kezaliman dengan makna meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya bukan dari kehakiman saja banyak orang baca dari sudut kehakiman saja.
Islam dalam semua aspek termasuklah meletakkan kedudukan pangkat, jawatan dan sebagainya tak kena pada tempatnya.
Pilih orang jabatan-jabatan berdasarkan kepada kroni, kepentingan mereka yang berkuasa bukan berdasarkan kepada kebolehan dan pengalaman dia. Ini berlaku, sebab itulah kita jadi celaru dalam pemerintahan negara.
Mereka semua diamanahkan berlaku adil terhadap rakyat, melaksanakan sesuatu kena pada tempatnya. Maka mestilah orang yang boleh menunaikan amanah itu. Ini sangat penting yang perlu difahami oleh semua.
Dalam pentadbiran negara,aspek kewangan satu perkara yang perlu dibicarakan. Kita bukan sahaja memerlukan duit yang banyak seperti konsep yang penting dalam bajet kewangan dan mengurus kewangan itu.
Dalam hal ini, Islam meletakkan yang pertama sumber kewangan, yang kedua cara perbelanjaan.
Sumber kewangan yang pertama pentingnya halal bukan yang haram. Firman Allah Taala:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَنفِقُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا كَسَبۡتُمۡ وَمِمَّآ أَخۡرَجۡنَا لَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِۖ وَلَا تَيَمَّمُواْ ٱلۡخَبِيثَ مِنۡهُ تُنفِقُونَ وَلَسۡتُم بِـَٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغۡمِضُواْ فِيهِۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ ٢٦٧
“Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa-apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk, lalu kamu menafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” [Surah al-Baqarah: 267]
Semua hasil negeri tak lari daripada hasil bumi. Hasil dari perut bumi yang diteroka yang diambil kerajaan dengan berbagai cara.
Yang kedua, lain pada hasil bumi seperti cukai dan zakat. Konsep zakat dalam Islam dikenakan mereka yang berada saja, mereka tak mampu tak kena zakat.
Cukai dalam Islam termasuk pemerintahan Islam daripada orang bukan Islam dikenakan kepada mereka yang mampu saja, yang tak mampu tak kena cukai dan tak terkesan dengan cukai. Kadang-kadang walaupun dia tak bayar cukai, terkesan dengan cukai dengan sebab berlaku inflasi dan sebagainya. Ini mesti difikirkan dengan sedalam-dalamnya.
Di sana ada sumber yang haram membawa tidak berkat, membawa laknat dan penyakit besar.
Saya tertarik dengan angka-angka besar dalam bajet yang dibentang. Belanja kerajaan 420 bilion campur duit anak syarikat kerajaan 50 bilion jadi besar 470 bilion. Sepatutnya tak campurlah kerana Ketua Pembangkang dah sebut perkara ini.
Hutang kerajaan terus meningkat berisiko bahaya kepada negara di masa depan bila menghadapi keadaan yang tertentu bukan dilihat jumlah duit saja. Bagaimana sumber duit itu diambil bagaimana dibelanjakan. Sumber duit mesti halal, jangan haram. Jangan mengambil hutang. Hutang adalah masalah kepada kehidupan manusia.
Sumber haram seperti riba. Dunia masih menganggap riba ni satu rukun ekonomi. Islam tetap mengatakan riba tak boleh selesai masalah ekonomi sampai bila-bila, sampai kiamat tak boleh selesai.
Riba membebankan, hutang yang lebih banyak, masalah lebih banyak pada negara. Sebab itu Allah Taala kata
فَأۡذَنُوا۟ بِحَرۡبࣲ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦۖ …﴿ ٢٧٩ ﴾
“Maka ketahuilah kamu; akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya (akibatnya kamu tidak menemui selamat)..” [Surah al-Baqarah: 279]
Kalau kamu buat riba juga kamu izin Allah memerangi. Ekonomi kamu tak berkat sampai bila-bila.
Dan kita masih berkiblat dengan Bank Dunia (WB) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), bapa riba yang paling besar dalam dunia. Kita tak bergantung dengan hasil negara kita sendiri. Padahal kita ada negara sahabat, negara yang dekat, negara Islam yang kaya dengan hasil hasil bumi. Kalau ada kerjasama antara kita boleh selesaikan semua masalah ini.
Negara Eropah yang tak ada hasil, Kesatuan Eropah boleh menjana ekonomi dia, memanfaatkan hasil-hasil kita. Mengapa kita tak manfaatkan sama-sama kita? Negara lebih dekat, negara Islam, negara ASEAN, China, Rusia dan Jepun lebih dekat daripada Amerika lagi.
Islam menghormati hak orang bukan Islam. Kita tak boleh larang orang bukan Islam minum arak, makan babi dan sebagainya. Hak dia tak boleh diganggu tetapi maruah negara hendaklah dipelihara dan mesti dijaga.
Jangan kegiatan negara, pelancongan dan sebagainya, kita masukkan arak, ini termasuk maruah negara kita. Pelancong-pelancong Eropah datang bukan untuk minum arak, di negeri dia banyak arak lagi pada tempat kita. Dia datang untuk lihat budaya kita, nak lihat perangai kita, akhlak kita. Ini penting, ini kita kena sedar.
Cukai zalim saya dah sebut tadi. Cukai yang tinggi sangat menyebabkan inflasi dan bebanan pada orang miskin.
Hutang masih banyak. Hutang ni termasuk perkara yang diminta berlindung oleh Nabi SAW:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُبِكَ مِنَ الْهَمَ وَالْحِزَنِ وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوْذُبِكَ مِنَ الْجَبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوْذُبِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
“Aku berlindung denganMu daripada sedih dukacita, daripada bakhil, daripada kedekut, daripada penakut, daripada hutang dan digagahi oleh orang.”
Hutang ni sangat besar seolah-olah hutang ni rukun kepada kewangan negara dan kita kena usaha elak daripada berhutang supaya kita selamat daripada bayar hutang. Hutang tak boleh selesai masalah, sebenarnya akan jadi masalah.
Malangnya banyak negara negara Islam yang ada sumber alam, kaya hasil bumi termasuk kita jadi lembu susuan kepada negara barat, duduk melabur di negara negara barat di Eropah dan Amerika melabur. Keuntungan kita sikit, dia lebih banyak. Kita tak lebih jadi lembu susuan.
Yang paling terkini kita lihat apa yang berlaku masih ada lagi sifat-sifat yang membimbangkan dalam kewangan negara. Sepatutnya kita orang Islam bersifat wasatiyah, bersifat sederhana, tidak bakhil dan tidak kedekut.
Kadang-kadang berlaku bakhil, kadang-kadang berlaku boros. Bakhil dan boros sifat yang buruk, perlu dielak tapi masih ada lagi boros. Banyak benda boros yang kita buat antaranya lawatan ke luar negeri, melawat sana sini, melawat banyak negara tetapi hasil pulangannya tak banyak, pergi melancong. Ini termasuklah boros.
Kemudian bakhil. Kedekut nak berbelanja sama ada bakhil terhadap sama sendiri ataupun bakhil terhadap lawan. Tanggungjawab kerajaan ialah membantu semua rakyat dan membantu semua negeri. Ini ada pilih-pilih pula, negeri pembangkang dan ahli parlimen pembangkang dilambat-lambatkan, berlaku masalah birokrasi. Ini termasuk dalam bakhil yang boleh merosakkan.
Akhirnya saya nak mengingatkan Kerajaan sedang bersedia untuk menyambut seorang tokoh yang dianggap besar iaitu Donald Trump yang dianggap sebagai tokoh dunia, tokoh keamanan.
Saya dengar ucapan dia di Knesset, Israel sebelum dia pergi ke Mesir untuk tandatangan perjanjian damai. Ucapan dia terang-terang menyatakan dia akan bersama dengan Israel, sedia membekal Israel apa saja jenis senjata yang Israel mahu. Israel boleh teruskan peperangan dan dia sanggup rebah bangun dengan Israel.
Dalam masa yang sama, dia berlagak jadi pendamai pergi ke Mesir buat perjanjian damai.
Damai yang sangat mengarut di mana HAMAS dan kumpulannya dipaksa melucutkan senjata, Gaza ditadbir oleh barat bukan ditadbir oleh orang Palestin sendiri. Ini satu pendekatan yang sangat jahat, namun HAMAS menolak kerana HAMAS telah mencapai kemenangan moral yang besar, dia terpaksa tunduk kepada desakan HAMAS, tak letak senjata dan Gaza diterajui oleh teknokrat kalangan Palestin bukan mesti orang HAMAS.
Ini satu perkembangan yang sangat menarik. Saya mengharapkan supaya kerajaan kita menyediakan peruntukan yang sewajarnya untuk bantu Gaza dan bina balik Gaza bersama dengan negara-negara Islam.
Saya anggap tokoh ini (Donald Trump), satu syaitan besar yang nak menipu. Apa lagi dia mendukung sebuah kerajaan dilaknat oleh Allah. Disebut dalam Sirah Nabawiyah bila Nabi lalu di Madain Soleh, kawasan dilaknat oleh Allah, kaum Thamud, nabi tak bagi sahabat dia singgah. Bila sahabat dia ambil air telaga, suruh curah balik telaga itu. Air telaga tu jangan minum, negeri dilaknat Allah. Nabi tak bagi singgah.
Ini kita jemput masuk ke negeri kita dengan sebab itu saya akan menegaskan bahawa kami akan mengerahkan rakyat untuk memprotes dengan sekeras kerasnya terhadap lawatan ini dan akhirnya saya tutup dengan pantun:
Memang bajet mudah dibentang,
Cerita duit memang banyak,
Nanti negara rebah terlentang,
Kerana dibeban hutang yang banyak.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Ahli Parlimen Marang
(Dibahaskan pada Rabu, 15 Oktober 2025) – HARAKAHDAILY 15/10/2025