KUALA TERENGGANU – Program pendigitalan perniagaan hasil kerjasama kerajaan negeri dengan syarikat telekomunikasi Maxis bakal memanfaatkan 2,000 usahawan di Terengganu pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata kerjasama itu akan memacu pembangunan ekonomi yang lebih rancak di Terengganu kerana usahawan akan didedahkan dengan kemahiran pemasaran digital, fotografi serta pengiklanan melalui platform dalam talian dan media sosial.
Katanya, untuk permulaan seramai 120 usahawan dipilih untuk mengikuti kelas e-usahawan bersama Maxis yang merangkumi beberapa segmen termasuk webinar dan bengkel pemasaran digital.
“Sebagai rakan strategik digital, Maxis akan menawarkan produk dan perkhidmatannya termasuk penyelesaian perniagaan yang komprehensif untuk usahawan e-dagang dan syarikat berkaitan industri 4.0 yang beroperasi di Terengganu.
“Kerajaan negeri melalui TD1303 pula akan membimbing usahawan yang berminat dengan program pendigitalan untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan Maxis termasuk memohon geran perniagaan digital dengan pelbagai pakej yang menarik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran kerjasama Maxis dan TD1303 di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil serta Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Gokhan Ogut.
Tambah Ariffin, maxis juga memberi tawaran pelbagai pakej perniagaan yang sesuai untuk usahawan dengan kadar harga lebih murah.