Home Berita PAS Terengganu

2,000 peluang pekerjaan khas buat wanita Terengganu

62
SHARE

KUALA TERENGGANU, 20 September – Golongan wanita dalam negeri diseru agar merebut kira-kira 2,000 peluang kekosongan jawatan dan ilmu keusahawanan dalam Karnival Kerjaya & Usahawan Wanita 2021 Peringkat Negeri Terengganu.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, karnival atas talian yang julung kali diadakan itu memfokuskan peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan khusus kepada golongan hawa.

“Tujuan program ini diadakan bagi membantu masyarakat dalam mengatasi kesan ekonomi teruk akibat pandemik COVID-19.

“Dengan peningkatan kecil kadar pengangguran Terengganu kepada 4.1 peratus pada tahun lepas, pelaksanaan ini penting dalam merancakkan lagi ekonomi wanita.

“Sehubungan itu, saya berharap warga Terengganu mengambil peluang ini untuk sama-sama mengikuti karnival melalui pelbagai platform seperti Cisco Webex, Zoom dan siaran langsung Facebook di ‘JPW Terengganu’,” katanya ketika bersiaran langsung di FB JPW Terengganu.

Tambah beliau, pengisian program bermula hari ini sehingga 23 September turut melibatkan peluang mendapatkan insentif-insentif kerajaan serta perkongsian penceramah berpengalaman dalam pelbagai industri.

Untuk pengetahuan, pelaksanaan tersebut dianjurkan oleh Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu dengan kerjasama Urus Setia Pekerjaan Negeri Terengganu.