Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

15 Mei 2018 : Memperingati Hari ‘Nakbah’ Palestin di Ambang Ramadan

1601
SHARE

1. Kerakusan rejim Zionis meratah bumi Palestin dengan nafsu amarah terus menzalimi umat Islam tanpa sekelumit jiwa peri kemanusiaan sehingga mengundang hiba buat seluruh dunia.

2. Dunia seakan buta menilai kesakitan anak-anak Palestin yang kehilangan keluarga, tandus tempat berteduh, bumi yang dahulu subur kini menjadi lantai berselerakkan peluru seakan tiada harapan untuk mereka menikmati erti kehidupan.

3. Atas dasar prihatin, Muslimat PAS menyatakan rasa sedih, marah dan kesal atas kekejaman rejim Zionis dan sekutunya ke atas Muslim di Gaza hingga ke saat ini tidak langsung menampakkan penyesalan, malah semakin hari semakin menjadi-jadi perbuatan zalim mereka.

4. Kekejaman direncanakan demi menghapuskan Muslim Palestin ini telah pun bermula sejak tahun 1948 lagi dan sejak detik itu sehingga kini ia terus segar diingati bahkan ianya dikenali sebagai Nakbah Palestin yang berlalu selama 70 tahun.

5. Sedarkah kita bahawa hingga ke saat dan ketika ini, seramai 58 orang telah syahid terkorban manakala 2,700 rakyat Palestin tercedera akibat serangan bertubi-tubi daripada Zionis semenjak perhimpunan aman ‘Great Return March’ pada 30 Mac lalu.

6. Muslimat PAS mengajak seluruh Muslimin dan Muslimat sentiasa mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin agar mereka sentiasa dikurniakan kekuatan demi kekuatan bagi melawan kekejaman ini, selain mendoakan puak-puak Zionis ini dihancurkan oleh Allah dengan sebesar-besar kehancuran sebagai balasan yang setimpal atas perbuatan jahat mereka.

7. Qunut Nazilah mesti kita baca selepas setiap kali solat Fardhu serta saat dalam tahajjud kita. Mohonlah dengan bersungguh kepada Allah kerana doa ke atas Muslim yang lain merupakan doa yang tiada hijab. Mudah-mudahan Allah menerima doa, permohonan dan rayuan kita ini.

8. Semoga Allah S.W.T menerima hajat kita kerana kita sendiri tidak mampu untuk bantu mereka secara fizikal ke sana, sumbangan dalam bentuk kewangan dan doa sebagai wakil kita tanda persaudaraan Islam ini begitu kukuh walau jarak yang sangat jauh.

Nuridah Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
15 Mei 2018 bersamaan 29 Syaaban 1439