Home Berita PAS Terengganu

14,457 Penjawat Awam Terengganu Bakal Naik Gaji

31
SHARE

KUALA TERENGGANU –  Pelarasan gaji untuk kira-kira 14,457 penjawat awam negeri Terengganu akan dilaksanakan seperti kenaikan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, berkata kadar kenaikan dibuat sama seperti jumlah dilaksanakan kepada penjawat awam Persekutuan.

Menurutnya, sejak dulu lagi, Terengganu tidak pernah gagal untuk mengikut Pekeliling berkaitan dengan pelarasan gaji kepada penjawat awam.

“Bermula dengan pelarasan gaji daripada Skim Gaji Kabinet kepada Skim Saraan Baru, Skim Saraan Malaysia hingga lah sekarang.

“Cuma kebiasaannya, kerajaan akan memberi pilihan kepada penjawat awam sama ada mahu mengikut skim baharu atau nak kekal skim lama…, jadi kena tengok Pekeliling dahulu,” katanya kepada pemberita.

Mengulas lanjut, Tengku Farok berkata, kenaikan gaji penjawat awam perlu dipandang dari sudut yang positif kerana pelarasan kali terakhir yang dilakukan ialah lebih 10 tahun lalu.

“Mengambil kira situasi ekonomi semasa, kenaikan gaji penjawat awam adalah wajar dilaksanakan dan serentak itu, mereka perlu memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat pelbagai lapisan,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan negeri sudah bersedia dengan implikasi kewangan susulan pelarasan gaji penjawat awam tersebut, Tengku Farok optimis untuk Terengganu berusaha mencari sumber kewangan untuk menampung kenaikan tersebut.

Pada 16 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan & Profesional.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT), dengan pelaksanaan pemberian pelarasan gaji itu akan dilakukan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan 1 Januari 2026 untuk Fasa 2.