Home Berita PAS Terengganu

14 Atlet Kemaman Pemenang Pingat Sukma diraikan

21
SHARE

KEMAMAN – Seramai 14 atlet daripada Kemaman yang telah memenangi pingat dalam acara masing-masing di Sukan Malaysia (SUKMA) yang ke-21 diraikan sempena kejayaan mereka mewakili Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata kemenangan yang diperolehi oleh para atlet muda ini sangat membanggakan dan telah mengharumkan nama negeri.

“Kejayaan mereka ini adalah usaha keras daripada mereka sendiri. Bagi mencapai kejayaan seperti ini bukan sesuatu yang mudah.

“Oleh yang demikian, kita adakan majlis ini bagi meraikan kejayaan mereka,” ujarnya.

Majlis tersebut telah diadakan dalam satu program sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat DUN Cukai 2024 yang berlangsung di Padang Astaka Kemaman, baru-baru ini.

Hanafiah telah menyampaikan hadiah berbentuk wang tunai sebanyak RM500 buat atlet yang mendapat pingat emas, RM400 untuk pingat perak dan RM300 untuk atlet yang memenangi pingat gangsa.

Kesemua mereka telah menyumbang empat pingat emas, satu perak dan sepuluh gangsa dalam acara pencak silat, judo, sepak takraw, ragbi, berbasikal dan hoki (wanita).

Beliau yang juga merupakan bapa angkat kepada sukan Tenpin Bowling Terengganu juga mengharapkan kejayaan mereka akan memberikan contoh serta menjadi sumber inspirasi kepada atlet yang lain untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang.