Home Berita PAS Wilayah

130 Pelajar Terima Bantuan Program Back To School

617
SHARE

Oleh: Muhammad Hakim Al-Hashimi

WANGSA MAJU :Seramai 130 pelajar sekitar Wangsa Maju menerima bantuan awal persekolahan dalam Program Back To School 2021 pagi ini di Dewan Masyarakat Taman Setapak di sini.

Majlis telah dianjurkan oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan Wangsa Maju dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju dan Pertubuhan Kebajikan OKU dan Asnaf Wangsa Maju.

Sumbangan yang diberikan kepada murid-murid adalah berupa wang tunai serta beg peralatan alat tulis yang disampaikan kepada wakil ibu bapa dan penjaga dengan pematuhan kepada norma baharu.

Turut hadir dan menyampaikan sumbangan dalam majlis berkenaan ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud, Pengarah Jabatan Pilihanraya Parlimen Wangsa Maju, Mohd. Puzi Ahamat serta Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan OKU dan Asnaf Wangsa Maju, Puan Asiah Mohd Baki.

Ustaz Abdul Rani ketika merasmikan program berkenaan berkata bahawa program sebegini adalah komitmen tahunan di peringkat kawasan untuk membantu masyarakat dalam pendidikan anak-anak saban tahun.

“Pendidikan merupakan aspek penting yang perlu diberi kepada anak-anak kita dengan harapan, mereka boleh memberi kembali kepada masyarakat selaras dengan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini”, ujar beliau sebelum merasmikan majlis.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Zon Wangsa Maju turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang dana program berkenaan dan berharap agar usaha murni ini dapat diteruskan pada masa akan datang.