Home Berita PAS Wilayah

100 keluarga terima bantuan bakul makanan

345
SHARE

Muhammad Hakim Al-Hashimi

WANGSA MAJU – Kira-kira 100 keluarga di PPR Gombak Setia dekat sini yang terjejas pendapatan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 13 Januari lalu menerima bantuan bekalan makanan.

Penyelaras Parlimen Wangsa Maju, YB Senator Ustazah Nuridah Binti Mohd Salleh berkata, siri ke-8 pemberian diagihkan kepada penduduk di PPR Gombak Setia Ahad lalu melibatkan keluarga daripada golongan B40.

“Antara bantuan diberikan ialah bakul makanan bersama beras dan barangan keperluan harian bernilai RM70 bagi setiap keluarga.

“Bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), semua bantuan diserahkan kepada penerima secara berjadual untuk mengurangkan perkumpulan orang ramai”, jelasnya.

Timbalan Pengerusi MPPWP Zon Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud pula menegaskan komitmen yang akan diberi kepada kebajikan penduduk Wangsa Maju bagi memastikan tidak ada keluarga yang kehabisan bekalan makanan akibat kawalan pergerakan yang dilaksanakan kini.

Sementara itu, wakil persatuan penduduk PPR Gombak Setia, Puan Che Faridah berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan bantuan bekalan makanan yang diberikan kepada golongan B40 di sini.

Menurutnya, bantuan tersebut sangat bermakna buat mereka yang benar-benar memerlukan dan terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 yang melanda sejak setahun yang lalu.

“Diharapkan semua penerima dapat menggunakan sebaik mungkin bantuan ini bagi memastikan bekalan makanan mereka mencukupi,” katanya.

Turut hadir ke program tersebut ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Wangsa Maju, Mohd Nur Azmi dan wakil NGO Muslim Care, Cik Zuriati.