Home Berita PAS Perlis

Zombie Run Bukan Budaya Rakyat Malaysia

2594
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PERLIS
10 Oktober 2017 | 19 Muharam 1439

ZOMBIE RUN BUKAN BUDAYA RAKYAT MALAYSIA

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis (DPPNPs) menyifatkan Penganjuran MPK Zombie Run pada 7 Oktober 2017 (Sabtu) oleh Majlis Perbandaran Kangar sebagai tidak wajar serta bertentangan dengan budaya masyarakat Malaysia.

2. Walaupun aktiviti berkenaan bertujuan menggalakkan rakyat bersukan, namun, tema yang dipilih adalah sangat memalukan bahkan amat bertentangan dengan negeri Perlis yang terkenal dengan jolokan ‘Negeri Sunnah’.

3. DPPNPs sentiasa menyokong sebarang bentuk galakan bersukan di kalangan rakyat pelbagai kaum, kerana aktiviti seperti ini dapat melahirkan masyarakat yang sihat di samping aktiviti tersebut menggalakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Walaubagaimanapun, DPPNPs ingin menegaskan, pelaksanaannya mestilah selari dengan tuntutan syariat serta tidak bercanggah dengan norma dan budaya masyarakat di negara kita.

4. Apa yang mendukacitakan, penganjuran MPK Zombie Run baru-baru ini seakan-akan mempromosikan budaya tahyul dan karut-marut yang bukan sahaja bertentangan dengan budaya masyarakat Timur, malah turut mencalar sensitiviti umat Islam. DPPNPs berpendapat, pihak penganjur seharusnya merujuk kepada pihak-pihak yang berkenaan seperti Jabatan Mufti, Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs) atau Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) terlebih dahulu sebelum menganjurkannya, apatah lagi acara larian ini berlangsung dalam bulan Muharram yang mulia ini!

5. DPPNPs juga menggesa supaya MPK mewujudkan garis panduan yang lebih jelas berhubung pelaksanaan aktiviti-aktiviti sukan dan riadah agar sebarang pelaksanaan program nanti tidak menyentuh sensitviti masyarakat berbilang agama dan kaum, khususnya di negeri Perlis. Sewajarnya semua pihak haruslah lebih peka dan bertanggungjawab dalam memelihara imej negeri Perlis yang kita sayangi ini.

“Mara Menuju Cita”
“Sejahtera Bersama Islam”

Haziq Asyraf Bin Dun
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis