Home Berita PAS Terengganu

Zionis : Permusuhan Paling Melampau Zalimnya Terhadap Islam

4
SHARE

Allah mendedahkan bahawa kumpulan Zionis merupakan makhluk perosak, iaitu kelompok manusia paling kufur aqidah dan ni‘mat terhadap Allah, serta paling melampau zalimnya dalam sejarah manusia. Mereka terdiri daripada kumpulan pelampau Yahudi dan bukan Islam yang bergabung dengannya yang berjuang untuk menakluk dunia dan memperhamba bangsa lain yang diberi nama goyim, iaitu makhluk yang bertaraf binatang berupa manusia.

Kepercayaan ini sejajar dengan teori Darwin yang menyatakan asal-usul manusia daripada monyet melalui teori evolusi ciptaannya yang bercanggah dengan al-Quran. Sebaliknya, al-Quran mengatakan bahawa semua manusia berasal daripada Adam dan Hawwa’ yang dijadikan daripada tanah, dan taraf kemuliaan mereka ditentukan oleh sifat taqwa, bukan baka dan keturunan, sebagaimana firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu saling berkenal-kenalan (bermasyarakat). Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan kamu).” [Surah al-Hujurat: 13]

Adapun bangsa Yahudi pada asalnya merupakan manusia pilihan Allah, namun berubah menjadi hina apabila mereka derhaka terhadap Allah. Meskipun demikian, mereka berjuang mengangkat diri atas nama Bani Isra’il (zuriat keturunan Nabi Ya‘qub) bagi mengembalikan semula kerajaan agung yang pernah dipimpin oleh Nabi Sulaiman bin Dawud AS, padahal mereka tidak beramal dengan kitab Allah sepertinya. Sebaliknya, mereka hanya bangga dengan sejarah silam yang telah ditelan zaman.

Pada asalnya, Allah memberikan kelebihan kepada mereka dengan melahirkan ramai para anbiya’ dan raja-raja daripada kalangan mereka sebagai ujian daripada-Nya. Firman Allah SWT:

تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢

“Maha Suci Allah, Tuhan yang menguasai kerajaan (pemerintahan); dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1) Dialah Tuhan yang telah menjadikan mati dan hidup untuk menguji kalian, siapakah antara kalian yang lebih baik amalannya; dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun. (2).” [Surah al-Mulk: 1-2]

Allah menugaskan manusia sebagai makhluk di bumi supaya beribadat (menjadi hamba) kepada-Nya dan mentadbir urusan dunia di bumi yang dimakmurkan dengan menunaikan amanah berdasarkan petunjuk-Nya. Adapun Allah memilih para rasul dan nabi daripada kalangan manusia yang terbaik, tidak seperti mereka.

Zionis ialah kumpulan Yahudi yang sangat terpengaruh dengan kebendaan dan keduniaan sahaja tanpa wawasan akhirat. Mereka membunuh manusia terbaik iaitu para nabi pilihan Allah kerana menyanggah ajaran para nabi yang bertentangan dengan nafsu mereka. Kezaliman mereka menyebabkan mereka hilang sifat kemanusiaan, sehingga sanggup melakukan kekejaman melebihi binatang yang paling buas.

Mereka juga menolak raja yang adil dan berilmu yang dilantik oleh Allah. Firman Allah SWT:

وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ ٢٤٧

“Dan nabi mereka mengatakan kepada mereka, ‘Bahawasanya, Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu.’ Mereka menjawab, ‘Bagaimana Talut mendapat kuasa memerintah kami, sedangkan kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan itu daripadanya, sedang dia pun tidak diberikan keluasan harta kekayaan?’ Nabi (mereka) berkata, ‘Sesungguhnya, Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu dan mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan.’ Dan (ingatlah), Allah jua yang memberikan pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya) lagi meliputi ilmu-Nya.” [Surah al-Baqarah: 247]

Mereka menolak kurniaan Allah yang melantik seorang raja yang berilmu dan gagah berani bagi berjuang menegakkan agama Allah kerana mahukan seorang raja yang kaya-raya walaupun jahil dan zalim. Akhirnya, mereka terpaksa menerimanya kerana terdesak dan berjaya menegakkan negara yang diwarisi oleh Nabi Dawud AS, dan kemudiannya Nabi Sulaiman AS yang memerintah dengan petunjuk Allah daripada kitab Taurat.

Namun, mereka menjadi kaum yang dilaknat oleh Allah dan para anbiya’ kerana kembali menjadi kufur dan sesat, sebagaimana firman Allah SWT:

… وَبَآءُو بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِ وَضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلۡمَسۡكَنَةُۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلۡأَنۢبِيَآءَ بِغَيۡرِ حَقّٖۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ ١١٢

“…Dan mereka kembali ditimpa bencana kemurkaan Allah, dan mereka menerima pukulan kehinaan; disebabkan mereka kufur (melawan) ayat-ayat Allah (segala perintah-Nya), dan mereka membunuh para nabi tanpa alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan sentiasa melampaui batas (hukum-hukum Allah).” [Surah Ali ‘Imran: 112]

Hal ini demikian kerana, Bani Isra’il mudah terpengaruh dengan kebendaan yang dapat dilihat dengan mata. Sehingga mereka tertarik kepada penyembahan berhala dalam ibadat apabila mereka meminta Nabi Musa menjadikan mereka tuhan yang dapat dilihat. Firman Allah SWT:

وَجَٰوَزۡنَا بِبَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ ٱلۡبَحۡرَ فَأَتَوۡاْ عَلَىٰ قَوۡمٖ يَعۡكُفُونَ عَلَىٰٓ أَصۡنَامٖ لَّهُمۡۚ قَالُواْ يَٰمُوسَى ٱجۡعَل لَّنَآ إِلَٰهٗا كَمَا لَهُمۡ ءَالِهَةٞۚ قَالَ إِنَّكُمۡ قَوۡمٞ تَجۡهَلُونَ ١٣٨

“Dan Kami selamatkan Bani Isra’il menyeberangi laut, tiba-tiba mereka mendatangi kaum yang menyembah patung berhala yang mereka ada-adakan. Mereka berkata, ‘Wahai Musa, jadikan kepada kami Tuhan seperti mereka yang boleh melihat tuhan mereka.’ Musa berkata, ‘Kamu adalah kaum yang jahil.’” [Surah al-A‘raf: 138]

Mereka juga mengumpulkan harta dengan bernafsu tanpa mengira halal atau haram. Firman Allah SWT:

وَتَرَىٰ كَثِيرٗا مِّنۡهُمۡ يُسَٰرِعُونَ فِي ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِ وَأَكۡلِهِمُ ٱلسُّحۡتَۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ٦٢

“Kamu saksikan kebanyakan daripada kalangan mereka bersegera mengerjakan dosa, menceroboh dan memakan yang haram (rasuah). Alangkah buruknya apa yang mereka lakukan!” [Surah al-Ma’idah: 62]

Mereka memesongkan ayat dalam kitab Allah dan hukum-hukumnya, serta mencipta teori yang memuja kemewahan dan nafsu yang jahat, sehingga menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Mereka juga yang paling memusuhi Islam yang dianut oleh semua para anbiya’ AS dan pengikutnya yang beriman. Hal ini demikian kerana, Islam menentang kemungkaran, kesalahan dan kezaliman yang dilakukan oleh mereka.

Firman Allah SWT:

۞لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْۖ …٨٢

“Sesungguhnya, engkau (wahai Muhammad) akan mendapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik…” [Surah al-Ma’idah: 82]

Kedatangan Rasulullah SAW sebagai nabi akhir zaman telah diberitahu oleh nabi-nabi mereka dan disebut dalam kitab suci Taurat dan Injil. Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَٰهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ يَعۡرِفُونَهُۥ كَمَا يَعۡرِفُونَ أَبۡنَآءَهُمۡۖ وَإِنَّ فَرِيقٗا مِّنۡهُمۡ لَيَكۡتُمُونَ ٱلۡحَقَّ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ ١٤٦

“Mereka (orang Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami berikan al-Kitab (Taurat dan Injil), mengenali Muhammad seperti mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Akan tetapi, sebahagian antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 146]

Dalam al-Quran, adanya persamaan dalam ayat-ayat yang menyebut tentang perkara dasar Islam dan hukum, sehingga Allah menghalalkan makanan mereka kepada penganut Islam. Malah, ramai daripada kalangan mereka bermukim di Madinah menunggu kelahiran nabi akhir zaman.

Namun begitu, mereka sangat marah dan dengki apabila nabi yang ditunggu-tunggu dilantik daripada bangsa Arab, meskipun daripada keturunan Ibrahim. Perkara ini dinyatakan dalam kalangan agamawan mereka yang memeluk Islam.

Kaum Yahudi yang berada di Madinah telah diajak bersama menubuhkan negara Islam di Madinah melalui Sahifah Madinah (Piagam Madinah). Namun begitu, mereka melakukan pengkhianatan walaupun dilayan dengan adil tanpa sebarang paksaan untuk memeluk Islam. Bahkan, mereka merancang membunuh Rasulullah SAW dan menubuhkan bala tentera Ahzab (pasukan bersekutu) bersama pemimpin Arab yang menentang Islam di Makkah dan lain-lain.

Pada zaman mutakhir, pertubuhan Zionis berjaya mempengaruhi para pemimpin di Amerika dan Eropah dengan kekayaannya dan menguasai media. Akibatnya, mereka turut bersama dalam gerakan Zionis yang menentang Islam secara melulu, bukan demi menegakkan kebenaran dan keadilan kepada seluruh dunia mengikut amanah Allah.

Kumpulan ini menentang Islam dan penganutnya bukan atas sempadan mencari kebenaran. Sebaliknya, disebabkan perasaan dengki dan dendam kerana kejayaan Islam dan perkembangannya yang tidak boleh dihalang dan cahayanya yang tidak boleh dipadamkan.

Mereka mahu supaya umat Islam meninggalkan ajaran Islam dan menghalang segala kemajuannya dalam kemajuan ilmu dunia. Sedangkan Islam telah membuktikan kejayaannya selama beberapa abad menjadi kuasa besar yang menyelamatkan manusia, bukan menjajah dan menakluk secara zalim. Keadilan Islam yang sempurna berjaya menawan hati manusia sehingga ke seluruh wilayah timur dan barat.

Allah menjadikan kerajaan yang silih berganti bagi menguji manusia. Firman Allah SWT:

قُلِ ٱللَّهُمَّ مَٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِي ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ ٢٦

“Katakanlah, ‘Wahai Tuhanku yang memiliki kerajaan, Engkau kurniakan kerajaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan cabutkan kerajaan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam tangan (kekuasaan) engkau sahaja segala kebaikan dan Engkau Maha Berkuasa atas segala-galanya.’” [Surah Ali ‘Imran: 26]

Allah memberikan kesenangan dunia kepada golongan yang baik mahupun yang jahat, dan kuasa memerintah kepada yang adil mahupun yang zalim, bagi menguji manusia. Demikian juga, Allah memberikan rezeki kepada sebahagian manusia dan tidak memberi rezeki kepada sebahagian lagi bagi menguji manusia dalam kehidupan dunia, sama ada mereka bersyukur kepada Allah ataupun kufur menentang Allah.

Adapun kaum Yahudi telah mengkhianati para anbiya’ iaitu bapa-bapa mereka sendiri yang mereka banggakan, sedangkan para nabi telah memberikan wasiat, sebagaimana yang tercatat dalam al-Quran:

وَوَصَّىٰ بِهَآ إِبۡرَٰهِ‍ۧمُ بَنِيهِ وَيَعۡقُوبُ يَٰبَنِيَّ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰ لَكُمُ ٱلدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ ١٣٢

“Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya‘qub. (Ibrahim berkata), ‘Wahai anak-anak kesayanganku! (Ketahuilah) bahawa sesungguhnya, Allah telah memilih kepada kamu al-din (Islam), maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.’” [Surah al-Baqarah: 132]

Mereka juga derhaka menentang Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS yang telah menyelamatkan mereka daripada kezaliman Firaun, apabila mereka tidak mahu berjihad membebaskan Palestin dan menyelamatkan rakyatnya yang dijajah dan diperhambakan oleh kaum Jabbarin yang ganas. Sehinggakan, Allah menyesatkan mereka dengan berpusing-pusing di padang pasir selama 40 tahun.

Kumpulan Yahudi yang fanatik terhadap kaum mereka sangat marah, apabila nabi akhir zaman yang dijanjikan adalah daripada bangsa Arab bukan daripada kalangan bangsa Yahudi Bani Isra’il. Padahal, pelantikan para rasul dan nabi adalah hak Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

ٱللَّهُ يَصۡطَفِي مِنَ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ رُسُلٗا وَمِنَ ٱلنَّاسِۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعُۢ بَصِيرٞ ٧٥

“Allah yang memilih para rasul-Nya daripada kalangan para malaikat dan manusia, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Hajj: 75]

Kaum Yahudi yang diberikan hak kebebasan beragama di Madinah telah dilayan dengan adil supaya mereka dapat menyaksikan keindahan dan kebenaran Islam, agama asal para anbiya’, termasuk daripada kalangan mereka sendiri. Malah, negara Islam Madinah melaksanakan hukum daripada kitab al-Quran yang banyak persamaan dalam aspek keadilannya dengan kitab Taurat dan Injil yang asal sebelum ia diselewengkan.

Tiba-tiba, kaum Yahudi telah berbuat khianat dengan merancang membunuh Rasulullah SAW dengan pelbagai cara, daripada menggunakan senjata sehinggalah menggunakan racun dan sihir. Kemuncaknya, mereka mengumpulkan kaum Musyrikin dan memberi semangat kepada mereka untuk menghapuskan Rasulullah SAW dan negara Islam Madinah dengan menggunakan pengaruh dan kedudukan mereka sebagai Ahli Kitab.

Mereka menyebarkan fitnah bahawa Islam adalah sesat dan wajib diperangi lalu membentuk bala tentera bersekutu yang dinamakan tentera Ahzab. Bala tentera ini terdiri daripada semua kumpulan Musyrikin, sehingga berjaya membentuk bala tentera yang besar dan lebih ramai jumlahnya daripada seluruh penganut Islam pada masa itu.

Mereka mengepung Madinah setelah gagal menyerangnya kerana strategi pertahanan menggali parit (khandaq) yang dicadangkan oleh Salman al-Farisi RA, sahabat yang berasal daripada Parsi (kini dinamakan Iran). Akhirnya, mereka dikalahkan dengan pertolongan Allah oleh Rasul-Nya, serta mereka yang beriman yang dipuji oleh Allah dalam firman-Nya:

وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَٰنٗا وَتَسۡلِيمٗا ٢٢ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا ٢٣

“Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Ahzab, berkatalah mereka, ‘Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kami dan benarlah (apa-apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya.’ Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberikan sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. (22) Antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa-apa yang telah dijanjikan mereka kepada Allah (untuk berjuang membela Islam). Maka, antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan antara mereka ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa-apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun. (23)” [Surah al-Ahzab: 22-23]

Akhirnya, mereka diperangi dan diusir keluar dari Madinah. Namun begitu, permusuhan mereka terhadap Islam berterusan sehingga hari ini.

Sehingga kini, umat Islam masih menanggung ujian besar akibat kejatuhan kerajaan Islam yang dahulunya bertaraf kuasa besar yang paling kuat, lalu bertukar menjadi umat yang dijajah dan ditindas di seluruh pelosok dunia. Kejatuhan kerajaan Islam tersebut turut melibatkan perancangan jahat Yahudi yang bersekongkol dengan kuasa besar penjajah. Namun, Islam tidak dapat dipadamkan cahayanya.

Disebabkan itulah, umat Islam tidak dibenarkan kembali semula mendirikan negara Islam, walaupun melalui sistem demokrasi yang kononnya bebas dan menjadi perjuangan manusia sejagat. Kebebasan itu diharamkan ke atas Islam dan penganutnya, walaupun dikatakan sudah merdeka melalui perjanjian antarabangsa selepas Perang Dunia Kedua.

Kemerdekaan hanya diizinkan dengan syarat pemerintahan mestilah bersifat sekular dan tidak memberi kuasa kepada Islam untuk berdaulat di negaranya sendiri. Mereka memaksa supaya Islam ditinggalkan, tanpa mengambil kira apakah ideologinya. Malah, mereka tidak memberi kuasa kepada Islam sebagai al-din untuk mengatur seluruh urusan negara dan dunia.

Negara-negara Islam juga disekat daripada mencapai kemajuan dalam bidang sains dan teknologi yang bertaraf kuasa besar yang kuat dan berkuasa dalam politik dan ekonomi. Antara yang paling diharamkan ialah pencapaian dalam aspek kekuatan ketenteraan yang setaraf dengan negara-negara lain.

Mereka menentang sebarang kemajuan negara Islam tanpa mengira ideologi atau bangsa, khususnya kemajuan dalam sains dan teknologi tenaga yang terkini. Semua negara Islam yang membangunkan teknologinya diserang tanpa mengira ideologi dan mazhabnya, bahkan mereka sendiri memecah-belahkan umat Islam secara adu domba melalui perbezaan bangsa, mazhab, dan ideologi.

Iraq, Mesir, dan Iran diperangi, begitu juga Pakistan dengan menggunakan India yang bekerjasama dengan Israel, kerana menjalankan ujian nuklear yang menjadi sumber tenaga terkini, walaupun bertujuan menjaga kebajikan rakyat dan bukan untuk menghasilkan senjata. Bahkan, para ulama’ telah mengharamkan penggunaan senjata yang membunuh dengan keganasan yang melampau sehingga melebihi binatang. Hal ini sebagaimana firman Allah:

وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]

Republik Islam Iran dianggap musuh yang paling besar, apabila mereka kembali kepada Islam setelah menjatuhkan kerajaan Shah Iran yang pro-Barat dan menyokong Israel. Maka, disebarkan segala jenis fitnah agama dan mazhab kerana mazhab Syiah yang dipegang mereka atau dituduh kembali kepada agama Majusi dan Zoroastrianisme.

Hakikatnya, Iran telah bertukar menjadi kerajaan Islam sejak zaman Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA lagi. Rakyatnya memeluk Islam dan mengikuti pelbagai mazhab yang terdapat dalam Islam. Malah, Iran juga telah melahirkan ramai ulama’ daripada semua mazhab, termasuk daripada Sunni seperti Imam Abu Hanifah (Mazhab Hanafi), al-Shirazi, al-Ghazali dan ramai lagi, di samping melahirkan ilmuwan Islam dalam ilmu sains dan teknologi.

Namun, Iran tetap difitnah hanya kerana kewujudan segelintir yang jahil dan sesat daripada kalangan penganut Syiah, sebagaimana juga terdapat segelintir yang jahil dan sesat daripada kalangan Sunni.

Pada tahun 1948, golongan Zionis berjaya menubuhkan negara haram Israel yang dirompak daripada rakyat Palestin dengan bantuan kuasa-kuasa besar penjajah. Negara tersebut dijadikan pangkalan hadapan untuk menentang Islam dan umatnya.

Akan tetapi, mereka tidak mampu memadamkan cahaya Islam yang dipelihara oleh Allah SWT di seluruh dunia Islam, termasuk di Iran yang menyaksikan lahirnya kumpulan Islam.

Kumpulan Islam di Iran berjaya melaksanakan revolusi Islamnya sehingga berjaya memerintah negara. Mereka mengisytiharkan konsep kepimpinan ulama’ yang berkuasa dalam perkara dasar melalui istilah wilayah al-faqih, yang sama maknanya dengan istilah wilayah ulama’ mujtahid dalam mazhab Sunni.

Melalui konsep ini, ketua negara boleh dilantik daripada kalangan pemimpin yang berpengaruh dan bijaksana, sama ada dalam kalangan ulama’ atau ilmuwan mengikut perlembagaan Islam yang dikawal oleh para ulama’. Inilah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW apabila mengekalkan raja-raja yang memeluk Islam walaupun masih bergelar mualaf seperti Raja Oman, Raja Habsyah dan lain-lain. Begitu juga di Tanah Melayu yang mengekalkan raja-raja atau pemimpin yang asalnya Hindu dan Buddha kemudian memeluk Islam, berkonsepkan kepimpinan ulama’ atau wilayah al-faqih.

Langkah kembali semula kepada Islam inilah yang menyebabkan kumpulan Zionis menubuhkan pasukan Ahzab baharu bersama negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, negara-negara Eropah, India dan lain-lain bagi menentang kebangkitan Islam.

Alasannya semakin kuat apabila Republik Islam Iran mencapai kemajuan sains nuklear walaupun para pemimpin daripada kalangan ulama’ telah mengisytiharkan hukum haram menggunakan senjata nuklear. Demikian juga apabila kumpulan Islam Hamas dan Tanzim Jihad di Palestin yang bangkit atas nama Islam menentang negara haram Israel yang telah merampas Bait al-Maqdis, salah satu tanah suci umat Islam.

Kini, Palestin dan Iran dibelasah habis-habisan oleh kumpulan Zionis dengan keganasan yang melampau sehingga sanggup membunuh orang awam seperti kanak-kanak, warga tua, kaum wanita, termasuk masjid, hospital dan lain-lain dengan cara yang paling ganas dan melampau.

Allah SWT telah mewajibkan hamba-Nya berperang, sebagaimana yang dinyatakan melalui firman-Nya:

… فَمَنِ ٱعۡتَدَىٰ عَلَيۡكُمۡ فَٱعۡتَدُواْ عَلَيۡهِ بِمِثۡلِ مَا ٱعۡتَدَىٰ عَلَيۡكُمۡۚ … ١٩٤

“…Oleh itu, sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu…” [Surah al-Baqarah: 194]

Dan firman-Nya lagi:

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ ٣٩

“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).” [Surah al-Hajj: 39]

Para ulama’ mewajibkan semua umat Islam dan menjadi fardu ain ke atas semua untuk melibatkan diri bersama menentang bala tentera Ahzab yang sudah menceroboh dengan cara yang paling ganas dan melampau. Hal ini demikian kerana, persaudaraan umat Islam adalah laksana anggota-anggota dalam satu jasad.

Malangnya, masih ada kalangan negara Islam yang duduk diam membisu, ada yang menjadi pendamai yang tidak berpihak dan ada yang terus berpihak kepada Zionis. Benarlah firman Allah dalam peristiwa Ahzab dahulu:

هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١

“Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.” [Surah al-Ahzab: 11]

Dan firman Allah SWT:

وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَٰنٗا وَتَسۡلِيمٗا ٢٢ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا ٢٣

“Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Ahzab, berkatalah mereka, ‘Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kami dan benarlah (apa-apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya.’ Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberikan sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. (22) Antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa-apa yang telah dijanjikan mereka kepada Allah (untuk berjuang membela Islam). Maka, antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan antara mereka ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa-apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun. (23)” [Surah al-Ahzab: 22-23]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 26 Zulhijjah 1446 / 23 Jun 2025

[Bil: 37 / 2025]