Home Minda Presiden

Zionis merancang perdamaian yang zalim

130
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 97 / 2023]
ZIONIS MERANCANG PERDAMAIAN YANG  ZALIM


Siapakah Zionis? Mereka ialah penganut Zionisme. Zionisme (Ibrani: Tsiyonut; Arab:  صهيونية atau Sahyuniyyah; bahasa Inggeris: Zionism) ialah gerakan nasionalisme Yahudi antarabangsa yang menanamkan ideologi fanatik kebangsaan Yahudi yang percaya bahawa merekalah bangsa yang paling mulia, adapun bangsa lain (Goyim) pula bukanlah manusia yang sebenar.

Selain itu, mereka juga berjuang mendirikan negara bangsa Israel dalam kawasan Palestin sehingga daripada laut ke laut iaitu daripada Sungai Nil ke Sungai Furat. Berpusat di Bait al-Maqdis dan mendirikan Haikal Sulaiman (kuil besar Yahudi) di atas kawasan Masjid al-Aqsa.

Asal usul gerakannya telah bermula lebih awal sejak beberapa abad yang lalu dengan nama Freemason, namun secara rasmi dan lebih terbuka akhirnya diciptakan Pertubuhan Zionis Antarabangsa. Pertubuhan itu ditubuhkan oleh seorang wartawan berbangsa Yahudi Austria-Hungary, Theodor Herzl pada akhir kurun ke-19 melalui penerbitan bukunya, Der Judenstaat.

Kemudiannya, berlaku pula reformasi dalam agama Kristian sehinggakan tercipta mazhab baharu yang menggabungkan ajaran Kristian bersama Zionis kerana mereka mempercayai bahawa peristiwa akhir zaman akan berlaku apabila muncul pemimpin pada akhir zaman yang bergelar Mesias (Ibrani Moden: Mashiaẖ; Tiberian: Māšîăḥ; dan dalam teks-teks Yahudi Moden dalam bahasa Inggeris pula dieja Mashiach) iaitu tokoh besar yang memimpin negara Israel Agung yang menguasai dunia. Adapun Islam pula menamakannya al-Masih al-Dajjal (pembohong besar).

Gerakan Zionis yang bergabung ini berjaya menguasai dua kuasa besar dunia, iaitu Amerika Syarikat dan British. Malah, kumpulan ini juga berjaya menghasilkan Perjanjian Balfour yang terkenal bagi merampas bumi Palestin secara paksa dan ganas bagi menubuhkan negara haram Israel.

Theodor Herzl pergi menemui Khalifah ‘Uthmaniyyah terakhir, Sultan Abdul Hamid dengan menawarkan rasuah kepadanya sebanyak empat juta pound sterling British (pada zaman itu) supaya menyerahkan tanah Palestin yang berada di bawah kekuasaan Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah. Baginda menolak tawaran itu dengan penuh rasa murka, apabila beliau menegaskan:

“Aku sekali-kali tidak akan menodai jihad nenek moyangku yang ditulis dengan tinta emas kerana mempertahankan Islam.”

Penduduk pertama yang berada di Palestin ialah kabilah Kan‘an (rumpun Arab), ketika itu belum ada lagi Bani Isra’il atau bangsa Yahudi. Allah SWT memilih Nabi Ibrahim AS supaya berhijrah ke Palestin dan dilahirkan daripada zuriatnya para anbiya’, maka dijadikannya negeri bagi para anbiya’ untuk menegakkan kitab Allah pada zaman masing-masing. Termasuklah Nabi Musa AS yang datang dari Mesir setelah lahirnya kaum Bani Isra’il, diikuti nabi-nabi selepasnya yang berakhir dengan Nabi Muhammad SAW.

Kejayaan menjatuhkan Khilafah ‘Uthmaniyyah dicapai selepas Turkiye mengalami kekalahan dalam Perang Dunia Pertama. Hal ini berlaku akibat sokongan pemimpin Arab atas semangat kebangsaan Arab supaya menjatuhkan Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah yang berbangsa Turki, percaya dengan janji bohong pihak Barat yang menipu kononnya mereka menyokong bangsa Arab menjadi khalifah.

Apa yang dilakukan selepas itu ialah membahagikan wilayah-wilayah Islam laksana mengikut faraid, apabila dipusakakan wilayah yang diperintah oleh Turki ‘Uthmaniyyah kepada para pemimpin yang menyokong kejatuhannya. Negara-negara itu dicipta dengan sokongan kuasa besar Eropah dan Amerika Syarikat yang mempunyai kemajuan serta kekuatan dengan segala bekalan senjata. Namun, kekuatan negara-negara itu tidak boleh mengatasi kekuatan negara Israel yang ditubuhkan, di samping membantu mereka mendapatkan hasil petroleum dan gas yang banyak ditemui di kawasan negara-negara Arab.

Dalam pembahagian tersebut, pihak Arab mendapat limpahan hasil kewangan dan kemewahan, sebaliknya pihak Barat pula menguasai teknologi. Bahkan, mereka juga menempatkan pangkalan tentera atas nama menjaga keselamatan Arab, tetapi sebenarnya dengan tujuan menjaga keselamatan Israel dan telaga minyak kepunyaan mereka.

Apa yang menarik semua negara Arab itu menjadikan hari kebebasan daripada Turki ‘Uthmaniyyah sebagai hari kebangsaan negara masing-masing.

Adapun Palestin kekal berada di bawah jajahan British yang merancang pelaksanaan Perjanjian Balfour bagi menubuhkan negara Israel dengan melakukan pemindahan kaum Yahudi dari seluruh pelosok dunia. Dalam pada itu, mereka juga menubuhkan pasukan pengganas Haganah yang dilindungi serta dipersenjatai oleh British dan lain-lain pihak.

Syeikh Izzuddin al-Qassam RH, tokoh ulama’ Syria yang dibuang ke Palestin menubuhkan sebuah pasukan jihad bagi melawan keganasan Yahudi sehingga beliau akhirnya gugur syahid. Seterusnya pada tahun 1931, Mufti Palestin iaitu Syeikh Amin al-Husaini menganjurkan muktamar para ulama’ dan pemimpin Islam dari seluruh pelosok dunia yang terdiri daripada kalangan semua mazhab dan bangsa, dari Asia Tenggara iaitu Indonesia dan Malaysia, India, Iran, Arab, Afrika dan lain-lain bagi mempertahankan Islam dan tanah sucinya.

British yang terkenal menjadi penipu besar telah merancang pembentukan dua negara (two-state solution) untuk bangsa Yahudi di kawasan yang dirampas dan bangsa Arab di kawasan mereka ditempatkan setelah dihalau, di mana Bait al-Maqdis masih lagi berada dalam kawasan Arab.

Pada tahun 1948, diisytiharkan penubuhan negara haram bernama Israel yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Pemerintah Turkiye, Ataturk dan Iran, Shah Iran menjadi dua buah negara Islam pertama yang mengiktiraf negara haram itu, sehinggakan beberapa orang tokoh ulama’ Turkiye dan Iran yang menentang telah dijatuhkan hukuman bunuh atau penjara dan ada juga yang dibuang negeri.

Rakyat Palestin sekali-kali tidak menyerah kalah dan terus berjihad mempertahankan tanah air mereka dan tanah sucinya. Maka, berlaku perang menentang Israel pada tahun 1948 melibatkan para mujahidin Palestin, Arab, Iran dan lain-lain negara.

Walau bagaimanapun, negara-negara Arab menerima gencatan senjata dan mengekalkan keputusan agar dibahagikan Palestin kepada dua negara dalam keadaan Zionis terus mengganas untuk meluaskan wilayahnya dengan bantuan senjata sepenuhnya dari negara Barat khususnya Amerika Syarikat, British dan Perancis. Antara yang dibekalkan termasuklah senjata yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa, sehinggalah membekalkan senjata nuklear pada tahun 1960 tanpa diumumkan kepada masyarakat dunia.

Negara-negara yang bergabung dengan Zionis itu berusaha menyelamatkan Israel melalui pengaruh politik antarabangsa yang dikuasai oleh mereka. Sehinggakan, mereka menggunakan kuasa veto di PBB bagi membatalkan setiap keputusan yang menghukum Israel, walaupun nyata negara haram itu telah melakukan jenayah perang dan mencabul hak asasi manusia serta prinsip demokrasi yang menjadi kebanggaan negara Barat itu.

Selain itu, mereka juga tidak mengiktiraf kemenangan majoriti besar kumpulan Hamas kerana dasar Islamnya, dan menangguhkan pilihan raya di Tebing Barat kerana merasa bimbang ia turut akan berpihak kepada Hamas. Pada masa yang sama, dilakukan kekerasan terhadap Hamas dan lain-lain kumpulan oleh Zionis.

Mereka mencadangkan semula penyelesaian mewujudkan dua negara yang pernah dicadangkan oleh British pada tahun 1948. Namun, pembahagian kepada bentuk yang lebih kecil dan sempit untuk Palestin mengikut sempadan baharu yang ditawan oleh Israel pada tahun 1967 termasuk kawasan yang menempatkan Bait al-Maqdis.

Pada masa yang sama, mereka membenarkan Israel membawa masuk pendatang Yahudi yang dilatih melalui ketenteraan untuk merampas kawasan Palestin secara kekerasan dan terus membekalkan Israel dengan segala senjata untuk meneruskan peperangan.

Seterusnya, ketika era Presiden Donald Trump pula, dibawa satu cadangan untuk memindahkan rakyat Palestin ke mana-mana tempat dengan sejumlah kecil bayarannya. Perkara ini semata-mata agar tanah Palestin semuanya dapat diserahkan kepada Israel.

Apakah jenis penyelesaian damai ini?

Malangnya, majoriti negara Arab dan Islam menerima cadangan Zionis tersebut. Perjuangan rakyat Palestin tidak boleh dipadamkan sekali-kali walaupun pihak kerajaan negara sahabat dan jiran telah mengecewakannya. Hal ini menepati sabda Rasulullah SAW:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّينِ ظَاهِرِينَ، لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ.

“Masih ada satu golongan daripada kalangan umatku yang nyata berjuang menegakkan agamanya, dalam keadaan gagah perkasa menghadapi musuh mereka. Tidak bolah dimudaratkan oleh kalangan yang mengecewakan mereka atau menentang mereka, melainkan mereka menghadapi kesusahan, namun mereka terus berjuang atas dasarnya sehingga datangnya ketentuan Allah (memenangkan mereka).”

قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟

Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, di manakah mereka?”

قَالَ: ‌بِبَيْتِ ‌الْمَقْدِسِ، وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.

Jawab Rasulullah SAW, “Mereka itu (penduduk) di Bait al-Maqdis dan di sekitat Bait al-Maqdis.” [Ahmad, Musnad Ahmad, Tatimmah Musnad al-Ansar, No. 22320, daripada Abu Umamah al-Bahili]

Kita menyaksikan benarnya sabda Rasulullah SAW tersebut.

Keadaan menjadi terbakar apabila pelampau Yahudi menceroboh Masjid al-Aqsa dengan perlindungan tentera dan polis Israel, di samping kumpulan pelampau yang bersenjata. Kemuncaknya tersebar berita akan dilakukan upacara korban lembu  merah yang dibakar, di mana abunya menjadi upacara permulaan bagi mendirikan Haikal Sulaiman (kuil besar Yahudi) di dalam Masjid al-Aqsa.

Oleh itu, kumpulan Islam Hamas mengambil keputusan untuk melancarkan serangan pada 7 Oktober 2023 diikuti oleh semua kumpulan Islam dan lain-lain pihak. Serangan yang dilakukan itu telah menggemparkan Israel dan mengerakkan negara pendukungnya bertindak menghantar bala tentera yang  besar bagi menyelamatkan Israel.

Kumpulan Zionis mendedahkan dirinya yang sebenar, apabila Amerika Syarikat bergabung dengan negara-negara Eropah khususnya British menyatakan sokongan secara mutlak kepada Israel.

Negara haram Israel tetap diberikan sokongan, walaupun negara itu telah melancarkan serangan yang melampaui batas undang-undang antarabangsa dalam peperangan sehingga sanggup menyerang hospital, sekolah, rumah ibadat dan lain-lain yang mengorbankan sebahagian besar nyawa kanak-kanak dan kaum wanita. Pada masa yang sama, menyebabkan berlakunya protes besar-besaran dalam negara Barat sendiri, sehingga beberapa negara bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel dan mahu mendakwa Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana telah melakukan jenayah perang.

Berbeza dengan Hamas, Tanzim Jihad, Hizbullah dan lain-lain melancarkan dengan menyasarkan pasukan tentera sahaja, kerana mereka berpandukan perintah Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠﴾

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]

Peristiwa yang berlaku itu benar-benar menguji umat manusia. Firman Allah SWT:

﴿الٓمٓ ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٣﴾

“Alif, lam, mim. (1) Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan, ‘Kami telah beriman’, sedangkan mereka belum lagi diuji? (2) Dan sesungguhnya, kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (3)” [Surah al-‘Ankabut: 1-3]

Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا ٩ إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠ ١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا ١٢﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah akan ni‘mat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan Allah itu Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. (9) (Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatanmu dan hatimu naik menyesak sampai ke tenggorokan dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam prasangka. (10) Di situlah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hatinya) dengan goncangan yang sangat kuat. (11) Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.’ (12)” [Surah al-Ahzab: 9-12]

Akhirnya, percayalah ketetapan Allah dalam al-Quran bahawa Bani Isra’il pasti akan dibinasakan setiap kali mereka datang melakukan kejahatan dan kezaliman, saat mereka masih diizinkan oleh Allah berada di Palestin hari ini. Firman Allah SWT:

﴿وَقَضَيۡنَآ إِلَىٰ بَنِيٓ إِسۡرَآءِيلَ فِي ٱلۡكِتَٰبِ لَتُفۡسِدُنَّ فِي ٱلۡأَرۡضِ مَرَّتَيۡنِ وَلَتَعۡلُنَّ عُلُوّٗا كَبِيرٗا ٤ فَإِذَا جَآءَ وَعۡدُ أُولَىٰهُمَا بَعَثۡنَا عَلَيۡكُمۡ عِبَادٗا لَّنَآ أُوْلِي بَأۡسٖ شَدِيدٖ فَجَاسُواْ خِلَٰلَ ٱلدِّيَارِۚ وَكَانَ وَعۡدٗا مَّفۡعُولٗا ٥ ثُمَّ رَدَدۡنَا لَكُمُ ٱلۡكَرَّةَ عَلَيۡهِمۡ وَأَمۡدَدۡنَٰكُم بِأَمۡوَٰلٖ وَبَنِينَ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ أَكۡثَرَ نَفِيرًا ٦ إِنۡ أَحۡسَنتُمۡ أَحۡسَنتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡۖ وَإِنۡ أَسَأۡتُمۡ فَلَهَاۚ فَإِذَا جَآءَ وَعۡدُ ٱلۡأٓخِرَةِ لِيَسُـۥٓـُٔواْ وُجُوهَكُمۡ وَلِيَدۡخُلُواْ ٱلۡمَسۡجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٖ وَلِيُتَبِّرُواْ مَا عَلَوۡاْ تَتۡبِيرًا ٧﴾

“Dan telah Kami tetapkan terhadap Bani Isra’il dalam Kitab itu, ‘Sesungguhnya, kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini sebanyak dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar.’ (4) Maka, apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) pertama daripada kedua-dua (kejahatan) itu, Kami datangkan kepadamu hamba-hamba Kami yang mempunyai kekuatan yang besar, lalu mereka bermaharajalela di kampung-kampung, dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana. (5) Kemudian, Kami berikan kepadamu giliran untuk mengalahkan mereka kembali dan Kami membantumu dengan harta kekayaan dan anak-anak dan Kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar. (6) Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri, dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang kedua, (Kami datangkan orang-orang lain) untuk menyuramkan muka-muka kamu dan mereka masuk ke dalam masjid, sebagaimana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa sahaja yang mereka kuasai. (7)” [Surah al-Isra’: 4-7]

Apa yang berlaku kali ini adalah kedatangan mereka buat kali terakhir dengan bantuan negara yang telah dipengaruhinya yang memberikan talian hayat dengan kekuatan senjata bala tentera Ahzab yang bakal tumbang bersamanya. Justeru, ada dalam kalangan mereka yang berpegang dengan kandungan Taurat yang asal menentang penubuhan negara Yahudi kerana telah dilaknat oleh Allah SWT.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 6 Jumada al-Ula 1445 / 20 November 2023