Home Berita PAS Terengganu

Ziarah Tanda Prihatin Dan Sokongan

9
SHARE

Oleh: Azhar Yusof

HULU TERENGGANU – Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, menzahirkan tanda prihatin dan sokongan serta penghargaan atas sumbangan besar kepada tokoh agama setempat, Ustaz Abidin Abdul Samad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, menyampaikan ucapan takziah serta kata-kata semangat kepada beliau dan ahli keluarga, selain menzahirkan penghargaan atas sumbangan besar Ustaz Abidin dalam bidang dakwah dan kebajikan masyarakat.

“Ziarah ini adalah tanda keprihatinan dan manifestasi sokongan moral daripada saf kepimpinan parti kepada sahabat seperjuangan. Kami mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan segera dan kekuatan kepada beliau untuk terus menyumbang kepada pembangunan ummah,” kata beliau.

Ustaz Hadi berkata demikian ketika mengadakan kunjungan ziarah ke rumah Ustaz Abidin, di Kampung Temir, Kuala Berang dekat sini semalam, berikutan insiden kemalangan jalan raya yang berlaku baru-baru ini.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, YB Haji Mohd Zawawi Ismail, bersama barisan kepimpinan PAS DUN Telemong dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Temir.

Ustaz Abidin dilaporkan mengalami kecederaan ringan akibat kejadian berkenaan dan kini sedang menjalani rawatan serta berehat di kediaman beliau..

YB Haji Mohd Zawawi turut merakamkan penghargaan atas kesudian Tuan Guru hadir ke Kampung Temir, menyifatkan kunjungan itu sebagai bukti komitmen kepimpinan tertinggi terhadap kebajikan ahli dan pendokong parti di semua peringkat.

Kunjungan berkenaan diakhiri dengan bacaan doa khas memohon kesejahteraan dan kesembuhan buat Ustaz Abidin, serta keselamatan seluruh warga Kampung Temir.