Home Berita PAS Wilayah

ZIARAH TAKZIAH: SEMANGAT UKHUWAH DI SAAT DUKA

6
SHARE

ZIARAH TAKZIAH PAS TAMAN JAYA: MENGHULUR SYAFAAT, MEMUPUK UKHUWAH

Taman Jaya, 5 Mei 2025 – PAS Cawangan Taman Jaya telah mengadakan satu kunjungan ziarah takziah ke atas Tuan Haji Md Abdullah Abd Kadir, Ahli Jawatankuasa Cawangan, yang baru sahaja kehilangan isteri tercinta, Allahyarhamah Puan Hajah Jemiah binti Ibrahim, 73 tahun, pada Sabtu lalu.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi penyakit kencing manis. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat keluarga dan sahabat handai. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba Allah yang beriman serta beramal soleh.

Turut hadir dalam ziarah ini ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Bandar Tun Razak, Haji Md Shukor Aziz; Ketua PAS Cawangan Taman Jaya; barisan Ahli Jawatankuasa Cawangan serta wakil-wakil Muslimat PAS Cawangan.

Dalam pertemuan penuh syahdu itu, Haji Md Shukor Aziz menyampaikan ucapan takziah dan kata-kata semangat kepada Tuan Haji Md Abdullah sekeluarga. Beliau juga menitipkan doa agar mereka diberikan ketabahan dan kecekalan hati dalam menghadapi ujian kehilangan insan tersayang.

“Kita mendoakan agar roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan para solihin dan mendapat keampunan serta kasih sayang Allah SWT. Kehilangan ini pasti dirasai, namun kita yakin ada hikmah besar di sebalik setiap ketentuan-Nya,” ujar beliau.

Kehadiran para pimpinan serta ahli jemaah dalam ziarah ini menggambarkan keutuhan semangat kebersamaan dan nilai ukhuwah Islamiah yang terus menjadi tunjang perjuangan PAS di peringkat akar umbi.

Semoga Tuan Haji Md Abdullah dan seluruh ahli keluarga diberi kekuatan serta keikhlasan dalam menerima ketentuan Ilahi dengan penuh reda dan tawakal.