Sabtu, 24 Mac 2018, TITIWANGSA: PAS Zon Keramat meneruskan misi kebajikan menemui penduduk Titiwangsa dengan ziarah syifa di sekitar Lorong Kiri, hari ini. Ziarah kali ini diketuai oleh Hal Ehwal Wanita (HALWA) Zon Keramat dan mensasarkan penduduk yang mempunyai rekod kesihatan yang kurang memuaskan.
Ziarah yang bermula seawal 9.00 pagi itu turut disertai oleh Ketua PAS Zon Keramat, AJK PAS Kawasan serta ahli-ahli PAS cawangan di sini.
Berbekalkan ilmu mengenai perubatan syifa dan rawatan alternatif, rombongan ziarah kali ini meminta izin untuk menawarkan kaedah rawatan tersebut kepada penduduk yang dijumpai. Rata-rata mereka sangat berbesar hati untuk menerima rawatan kerana sudah terlalu lama menderita sakit dan bergantung kepada ubatan yang dibekalkan.
Aishah Abdul Wahab, Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kawasan berkata mutakhir ini orang ramai menderita sakit yang pelbagai kesan daripada cara hidup yang tidak sihat dan amalan harian yang tidak dijaga. Bukan sahaja jasmani mereka terkesan, rohani mereka juga bertambah tenat.
“Rawatan syifa ini adalah alternatif kepada kita untuk mencari penawar kepada sakit yang dialami. Ramai orang menderita sakit dalam tempoh yang lama, Alhamdulillah semakin pulih setelah mencuba kaedah perubatan syifa,” katanya.
Sakit ini datang daripada Allah, kepada Allah jua kita bermohon untuk diberikan penawar dan diberikan kesihatan yang berpanjangan.
Sementara itu, Ketua PAS Zon Keramat Haji Mohd Amin Abdullah berkata ziarah ini juga bertujuan mengeratkan tautan kasih dan silaturahim antara PAS dan penduduk sekitar Zon Keramat. PAS sebagai sebuah parti yang berkebajikan, akan terus menawarkan khidmat kepada semua.
“Kita berharap dapat membantu seramai mungkin penduduk di sini. Bila kita menawarkan untuk dibuat buat sedikit bacaan tahlil dan Yasin di rumah mereka, mereka gembira untuk menerima dan berhasrat untuk menjemput jiran dan sanak saudara,” katanya.
Beliau berkata sempena bulan penuh keberkatan iaitu bulan Rejab ini, PAS Zon Keramat akan mengatur lebih banyak ziarah seumpanya supaya lebih banyak penduduk dapat dibantu untuk memudahkan mereka beribadat dan meluangkan masa berkualiti bersama ahli keluarga.